Kafe Big Daddy Little Chefs

Terletak di Quill City Mall di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, kafe Big Daddy Little Chefs ada kelainan yang tersendiri.

Mula beroperasi sejak 15 Disember 2014, premis yang dimiliki oleh Happikiddo (M) Sdn. Bhd. (Happikiddo) itu menampilkan konsep mesra kanak-kanak, sesuai buat pengunjung yang sudah berkeluarga.

Menurut pemiliknya, Mohd. Faisal Bohari, kekurangan restoran yang bercirikan mesra keluarga di sekitar Kuala Lumpur memberikan dia idea untuk mengusahakan kafe berkenaan.

Mempunyai seorang anak perempuan berusia setahun, Mohd. Faisal cukup memahami perasaan ibu bapa yang tidak berpeluang menjamu selera dalam suasana aman gara-gara terpaksa melayan kerenah anak.

“Saya dan isteri gemar membawa anak kami makan di luar. Pun begitu, kami sukar mencari restoran yang sesuai untuk anak bersantai.

“Dia (anak) akan cepat bosan dan mula meragam jika kami melepak terlalu lama. Jadi, bertitik tolak daripada situ, tercetus idea untuk mewujudkan kafe yang dapat memberi ruang kepada anak-anak melakukan aktiviti tanpa mengganggu waktu makan ibu bapa,” katanya sambil memberitahu, kafe tersebut dirasmikan pada 15 April lepas.

Memiliki keluasan kira-kira 500 meter persegi, fokus utama kafe itu tentulah taman permainan mini yang terletak di ruang makan utama.

Terbahagi kepada dua bahagian, taman permainan mini itu bukan sahaja menyediakan pelbagai jenis permainan yang dapat merangsang kreativiti kanak-kanak, malah turut dilengkapi ruang khas yang berlantaikan cip kayu bagi memberi suasana bermain seperti di luar.

Cip kayu

Mohd. Faisal memberitahu, cip kayu berbentuk dadu yang diimport khas dari Korea itu tidak memiliki hujung yang tajam, jadi kanak-kanak tidak akan berasa sakit apabila memijaknya.

Menariknya, cip kayu sitrus itu juga dipercayai memberi manfaat kesihatan kepada si cilik.

“Bau semula jadinya bukan sahaja bersifat antibakteria dan antinyamuk malah dapat membantu melegakan ekzema, asma dan sinus.

“Kanak-kanak perlu memakai stoking ketika berada di ruang ini dan digalakkan mencuci tangan selepas bermain untuk tujuan kebersihan,” katanya sambil memberitahu, taman permainan mini itu khas untuk pelanggan kafe yang berbelanja minimum RM20 ke atas.

Bahagian dinding di ruang bermain tidak dilupakan malah dihias dengan pelbagai item dekoratif untuk membangkitkan mood ceria.

Uniknya, hiasan dinding itu bukanlah lukisan mural seperti yang disangka, sebaliknya sejenis bentuk permainan interaktif.

“Semua objek pada dinding ini bersifat magnetik, jadi kanak-kanak boleh main dengan tanggalkan dan ubah kedudukannya mengikut kreativiti masing-masing.

“Kawasan taman permainan ini juga dikelilingi gelas tebal dan pagar pancang bagi membolehkan ibu bapa memantau keselamatan anak-anak mereka,” jelas Mohd. Faisal.

Menjengah ke ruang makan utama, kafe Big Daddy Little Chefs yang mendapat khidmat perunding hiasan dalaman itu menampilkan susun letak perabot yang tidak sarat.

Selain mencetuskan suasana menjamu selera yang tenang, jarak antara perabot yang lapang memudahkan pergerakan pengunjung cilik yang lincah.

Dari segi pemilihan perabot, meja dan kerusi makan yang disediakan berasaskan kayu semula jadi dan bebas toksik.

Bagi pengunjung cilik, terdapat set kerusi dan meja makan khas untuk tubuh kecil mereka.

Corak-corak haiwan seperti kuda belang, zirafah dan harimau pada perabot berkenaan menyuntik ciri-ciri keanak-anakan sesuai dengan konsep mesra kanak-kanak yang diketengahkan.

“Selain menjamu selera, mereka juga boleh duduk dalam satu kumpulan dan berinteraksi antara satu sama lain,” kata Mohd. Faisal.

Di satu sudut lain, kerusi tinggi dengan meja panjang disediakan bagi pelanggan dewasa yang mahu bersantai.

Pinggan organik

Dinding bata tanpa lepaan simen yang diberi kemasan cat putih memberi imej bersih, selain membuatkan ruang yang terhad nampak lebih luas.

Bahagian itu tidak dibiarkan kosong sebaliknya dilatari hiasan jendela kayu berserta bumbung kanopi bagi menyerlahkan konsep outdoor.

Kreativiti pemilik terus dapat dilihat sementelah permainan kanak-kanak berbentuk ulat beluncas dijadikan ornamen dekoratif dinding.

“Ia bukan hiasan semata-mata, sebaliknya permainan ini boleh dimanfaatkan ibu bapa untuk mengasah kemahiran kanak-kanak khususnya yang berusia dua tahun ke bawah,” tutur Mohd. Faisal.

Rakan kongsi Mohd. Faisal yang juga Pengarah Happikiddo, Elaine Chew berkata, hampir semua kelengkapan di kafe Big Daddy Little Chefs adalah bebas toksik dan selamat untuk kegunaan kanak-kanak.

Selain perabot, makanan juga dihidangkan dalam set pinggan mangkuk jenama Rice yang diperbuat daripada 100 peratus melamin, iaitu sejenis bahan kimia organik.

“Ia diimport khas dari Denmark. Coraknya yang menarik dapat membangkitkan selera anak dan ia juga tahan lasak serta tidak mudah pecah.

“Hampir semua barang dan kelengkapan termasuk perabot di sini boleh didapati di butik Happikiddo,” ujar Elaine yang mendedahkan, kos dekorasi kafe tersebut menelan belanja sekitar RM200,000.

Lokasi premis yang terletak di dalam butik tersebut juga memudahkan ibu bapa membeli-belah barang kelengkapan bayi dan kanak-kanak.

“Selepas penat berjalan, mereka boleh singgah makan dan bersantai di sini,” ujar Elaine.

Kafe Big Daddy Little Chefs menyediakan pelbagai menu menarik yang bukan sahaja merangsang selera kanak-kanak malah sesuai untuk santapan orang dewasa.

Antaranya ialah jejari ikan kod goreng, nasi ayam Hainan, chicken chop, pasta carbonara, spageti bolognese, filet ikan dory bersama kentang goreng, burger ayam, soto dan laksa Johor.

Mampu memuatkan sehingga 40 orang pelanggan pada satu-satu masa, kafe ini juga menyediakan pakej berpatutan untuk sambutan hari lahir dan parti baby shower.

“Pelanggan boleh mengadakan majlis ringkas sambil menikmati pelbagai makanan enak yang disediakan di sini,” ujarnya.

Sumber: Kosmo! Online

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::