Car Boot Sales Seksyen 13 Shah Alam |
Keseronokan mencari rezeki menerusi jualan terus dari but kenderaan atau lebih dikenali sebagai car boot sale semakin mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai terutama bagi mereka yang mahu berjinak-jinak dalam perniagaan.
Biasanya, peniaga yang mengikuti jualan dari but kenderaan ini tidak terlalu mementingkan keuntungan besar sebaliknya sekadar menambah pendapatan bulanan mereka.
Lagipun, jualan sebegitu memang terkenal dengan harga barangan yang murah sebagai tarikan utama para pengunjung.
Kini, aktiviti jualan dari but kenderaan yang berlangsung di Tesco Extra, Seksyen 13, Shah Alam, Selangor itu merupakan lokasi cukup meriah. Pelbagai jenis kenderaan dan but terbuka menanti para pelanggan.
Menurut seorang peniaga kasut terpakai, Mohd. Fauzi Abu Seman, 30, jualan dari but kenderaan sememangnya memberi keuntungan besar kerana peniaga tidak perlu membayar sewa tapak yang terlalu tinggi.
“Pada hujung minggu, saya akan bergerak mengikuti jualan berkonsepkan seperti ini kerana kadang-kadang keuntungan yang diperoleh sangat memuaskan iaitu mencecah RM300 sehari. Ia sangat berbaloi berbanding sewa kedai.
“Selain itu, kelebihan jualan dari but kenderaan yang diadakan di lokasi ini ialah kawasan yang lapang, sekali gus memberi keselesaan kepada peniaga dan pengunjung.
“Biasanya, sebagai pengunjung, mereka suka datang ke lokasi senang untuk dapatkan tempat letak kereta,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Perniagaan tersebut dibuka pada setiap hari Jumaat iaitu pukul 6 petang hingga 11 malam. Para pelanggan juga boleh berkunjung pada hari Sabtu dan Ahad iaitu dari pukul 4 petang hingga 11 malam.
Produk berkualiti
Ia menawarkan pelbagai jenis produk yang dijual dengan harga murah dan berkualiti. Antaranya ialah pakaian wanita, pakaian kanak-kanak, buku, kasut, hiasan, barangan terpakai, aksesori dan makanan kering.
Seorang lagi peniaga kain, Alia Nazira Mohammad Zakaria, 23, berkata, konsep jualan dari but kenderaan harus diperluaskan bukan sahaja tertumpu pada hujung minggu tetapi pada hari-hari biasa.
“Ada segelintir peniaga menjadikan perniagaan ini sepenuh masa kerana caranya sangat mudah. Misalnya, dengan hanya menaiki kereta jenis Perodua Viva, saya boleh bergerak mencari rezeki di mana-mana sahaja.
“Jualan but dari kenderaan seperti hari ini banyak membantu peniaga kecil atau graduan yang tidak mempunyai modal untuk memiliki kedai dan sebagainya,” jelasnya.
Sementara itu, menurut penganjur, Car Boot Sales Shah Alam, Mohd. Nazim Badruddin, konsep itu semakin popular dan mendapat sambutan yang menggalakkan dalam kalangan peniaga tanpa mengira faktor usia.
Katanya, kadar sewa yang dikenakan sebanyak RM10 sehari juga antara faktor utama menarik perhatian peniaga untuk turut serta.
“Car Boot Sales Shah Alam ini merupakan inisiatif pihak Tesco Extra di Seksyen 13 untuk mengajak orang ramai turut serta berniaga setiap minggu pada kadar kos yang sangat rendah.
“Konsep perniagaan seumpama ini hanya memerlukan modal kecil dan tidak perlu ruang yang besar. Lebih menarik, tempat letak kereta Tesco Extra ini berbumbung. Jadi, ia mudah dan selesa untuk pengunjung serta peniaga,” katanya.
Tambah Mohd. Nazim, pihaknya menjangkakan Car Boot Sales Shah Alam akan bertambah meriah menjelang bulan Ramadan nanti kerana orang ramai akan berpusu-pusu mendapatkan kelengkapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.
“Setakat minggu pertama penganjuran, kami menerima seramai 90 peniaga untuk menyertai jualan ini. Kami hanya menyediakan sebanyak 120 tapak. Jadi, kemungkinan pada minggu kedua dan seterusnya keadaan bertambah meriah.
“Bagi individu yang ingin menempah tapak perniagaan, mereka boleh menghubungi Farhan Azhari di talian 011-2200 7730. Tapak akan diberikan kepada peniaga yang membuat pembayaran terlebih dahulu,” jelasnya.
Sumber: Kosmo! Online