Asam Pedas & Seafood Senibong

Hidangan asam pedas ikan jenahak yang disajikan saat perut sudah lama berkeroncong nyata tidak mengecewakan. Kuah asam pedas yang pekat dan ikan jenahak segar digabungkan dalam satu hidangan sangat sedap sehingga menjilat jari.

Angin laut Selat Johor yang bertiup sepoi-sepoi bahasa ketika menikmati keenakan asam pedas itu secara tidak langsung menambahkan suatu rasa enak yang tidak terungkap dengan kata-kata.

Mahukan hidangan asam pedas yang enak ini? Kunjungan ke Restoran Warisan Asam Pedas & Seafood Senibong di Senibong, Johor Bahru pastinya membuat­kan anda pulang dengan senyuman puas.

Restoran di bawah Koperasi Warisan Senibong ini terletak di sebelah kanan pintu masuk ke beberapa restoran makanan laut.

Bagi penduduk Johor Bahru dan penggemar makanan laut, Senibong sememangnya terkenal dengan restoran makanan laut yang biasanya beroperasi pada waktu malam.

Saat ditanya keistimewaan asam pedas dihidangkan di restoran ini yang mula beroperasi sejak November 2012, Pengurus Operasi, Ahmad Tarmizi Abu Bakar berkata, ia adalah asam pedas tradisional negeri berkenaan.

Malah katanya, asam pedas yang dihidangkan sa­ngat berbeza dengan hidangan asam pedas Melaka.

“Biasanya asam pedas di sesetengah tempat menggunakan bunga kantan sebagai salah satu bahan utama, tetapi tidak di restoran ini.

“Memang bahan digunakan kebanyakannya sama, namun penggunaan daun kesum adalah satu kewajipan. Kelainan ini juga yang membuatkan ia berbeza dengan asam pedas di tempat lain,” katanya.

Selain itu, resipi dalam menyediakan masakan asam pedas yang enak ini daripada warisan Kampung Senibong.

“Satu lagi keistimewaan asam pedas ini adalah cara memasak dan resipinya yang menggunakan resipi penduduk Kampung Senibong.

“Dengan kata lain, rasa asam pedas ini adalah lain daripada yang lain dan ia sama dengan yang selalu dimasak oleh penduduk kampung,” katanya.

Menu istimewa lain yang boleh dinikmati di sini adalah Ketam Telur Asin, Siakap Stim Limau, Udang Nestum dan Ketam Black Peper ­dengan pelengkap hidangan ialah air asam limau kasturi.

Bagi anda yang mengambil berat mengenai kesegaran makanan laut disajikan, menjamu selera di restoran ini tidak akan mengecewakan.

Ini kerana kata Ahmad Tarmizi, ikan yang disajikan seperti siakap adalah segar, diperoleh daripada ahli koperasi sendiri sementara lokan disajikan juga adalah hasil ternakan sendiri.

Mula beroperasi dari jam 10 pagi hingga 12 tengah ­malam pada setiap Isnin ­hingga Sabtu dan 4 petang hingga 1 pagi pada Ahad, restoran ini juga menyediakan hidangan makanan tengah hari secara bufet buat pengunjung.

Justeru, mahu merasai sendiri keenakan asam pedas tradisional Johor dan pelbagai lagi makanan laut segar, Restoran Warisan Asam Pedas & Seafood Senibong adalah tempatnya.

Sumber: myMetro

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::