Kulit Pisang - Pengilat Mesra Alam |
Tidak ramai memanfaatkan ‘idea kampung’ cetusan masyarakat dahulu untuk diinovasikan penggunaannya.
Bagi yang kreatif, idea itu mungkin dapat dikembangkan kepada produk yang boleh memberi keuntungan.
Buktinya, kulit pisang terbuang yang tidak bernilai dapat dijadikan produk pengilat mesra alam.
Dikenali sebagai ‘Eco Polisher’, pengilat pelbagai guna itu hasil penyelidikan tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandaraya, Kota Kinabalu, Sabah.
Menggelarkan diri mereka sebagai Tri-Ace, kumpulan itu dianggotai Aquila Abdul Hamid, Nur Nabilah Abd Rahman dan Siti Amanina Sahira Saidi yang berusia 17 tahun.
Projek bermula pada 2012 itu dibimbing guru penasihatnya, Theresa Au.
Produk inovasi itu menerima dua pingat emas sempena pameran Rekacita, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2014 dalam dua kategori iaitu Asian Youth Inventors Exhibition (AYIE) dan Malaysian Youth Inventors Exhibiton (MYIE).
Aquila yang juga ketua projek itu berkata, ‘Eco Polisher’ adalah sejenis pengilap yang mesra alam dan mesra pengguna.
“Ia boleh digunakan ke atas semua barangan termasuk kulit sepenuhnya atau separa kulit.
“Ia juga tidak mengandungi bahan kimia berbahaya, tiada pencemaran alam sekitar dan kos yang rendah,” katanya.
Aquila berkata, menggunakan bahan utama daripada kulit pisang, produk pengilat itu cetusan idea ibunya tiga tahun lalu.
“Ketika itu saya memakai kasut kulit yang agak teruk rupanya, tidak berkilat dan kusam.
“Dengan tidak sengaja, ibu mencadangkan saya mengilatkan kasut berkenaan menggunakan kulit pisang,” katanya.
Menurutnya, idea itu cukup berkesan untuk mengilatkan kasut, tetapi tidak tahan lama.
Melihat keupayaan kulit pisang dikitar semula, Aquila membawa idea itu ke pengetahuan gurunya.
“Saya rasa produk itu baik untuk dipertandingkan dan kebetulan ada pertandingan inovasi iaitu Sabah Invention and Design Exhibition (SINDEX),” katanya.
Sepanjang tempoh itu, pelbagai usaha penambahbaikan dilakukan bagi meningkatkan kualiti produk berkenaan.
“Kami dapati ada enam bahan yang dapat berfungsi bersama-sama untuk menghasilkan produk pengilat.
“Kami ekstrak bahagian putih kulit pisang yang mengandungi potassium dengan campuran bahan lain,” katanya.
Katanya, pada peringkat awal, mereka menghasilkan pengilat jenis cecair.
“Terdapat keburukan jenis cecair seperti tidak tahan lama, berbau dan kesan kilauan yang kurang disebabkan terdedah kepada kulat.
“Akhirnya kami menemui formula untuk meningkatkan kualiti bahan ini iaitu produk berbentuk gel,” katanya.
Katanya, bersandarkan penggunaan bahan kitar semula, produk itu dapat ditawarkan pada harga berpatutan.
“Pertamanya bahan ini sangat mudah didapati dan kelebihannya kerana pisang mudah diperoleh di Malaysia.
“Kami sendiri memperoleh bahan mentah ini secara percuma daripada pengusaha kantin,” katanya.
Mereka juga sedang berusaha menghasilkan produk yang dapat memudahkan pengguna.
“Paling penting produk kami selamat digunakan, apatah lagi pengilat terdapat di pasaran mengandungi banyak bahan kimia dan tidak sesuai untuk kanak-kanak,” katanya.
Sementara itu, Theresa berkata, produk pengilat itu satu-satunya produk mesra alam di pasaran.
“Produk kami tidak berbau dan tahan sekurang-kurangnya seminggu,” katanya.
Sumber: myMetro