Bak Bunus Tailor Jalan Tuanku Abdul Rahman

Sebuah cawangan Bak Tailor (Bak), Bak Bunus Tailor di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada hari itu tidak putus-putus menerima kunjungan orang ramai. Pelanggan yang keluar dan masuk kedai itu ada antaranya ingin mengambil baju.

Setelah hampir 30 minit berada di situ, salah seorang pelanggan masuk ke kedai dalam keadaan tergesa-gesa sambil menghulurkan resit bayaran baju yang ditempahnya kepada Penyelia kedai, Elisa Zulkifli, 29.

Ujar lelaki berusia lingkungan 30-an itu, dia perlu cepat kerana memarkirkan kenderaannya di bahu jalan. Setelah bungkusan baju diterima, lelaki berkenaan terus hilang dalam kesibukan warga kota yang sudah mula melakukan persiapan menyambut Aidilfitri.

Elisa memberitahu, keadaan bertali arus itu adalah suasana biasa menjelang Aidilfitri. Ujarnya, cawangan Bak Bunus menerima sebanyak 1,000 tempahan pada tahun ini dan ukuran baju mula diterima seawal dua bulan sebelum Ramadan.

Kebiasaannya, sebanyak lima pasang diterima setiap hari manakala Jumaat, Sabtu dan Ahad jumlahnya melonjak sehingga 30 pasang.

“Namun, kami mempunyai kuota pengambilan tempahan supaya jumlah tidak melebihi kesediaan tenaga kerja dan mereka tidak terbeban untuk menyiapkannya. Ia juga bagi menjaga kualiti jahitan.

“Setiap tempahan mengambil masa 10 hari untuk disiapkan tetapi jika kain lewat dihantar atau menjelang Ramadan, baju hanya boleh diberikan selepas 20 hingga 25 hari iaitu seminggu sebelum menyambut Aidilfitri,” jelasnya yang telah berkhidmat di kedai Bak Bunus selama tujuh tahun.

Permintaan yang meningkat itu disebabkan keselesaan dan kualiti pakaian yang dibuat berdasarkan pengalaman pengasas label berkenaan, Muhammad Sohaimi Omar yang telah berkecimpung dalam bidang jahitan baju lelaki lebih 40 tahun. Kemahiran menjahit dizahirkan dalam setiap tempahan diterimanya bermula pada tahun 1980.

Menurut Muhammad Sohaimi, Bak pada dasarnya adalah nama singkatan abangnya, Bakhtiar Afandi Omar yang membuka kedai tersebut pada tahun 1975 di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Namun, dia mengambil alih kedai tersebut pada tahun 1980 setelah Bakhtiar memperkenalkan label baharunya, BMO Tradisional di Wisma Yakin, Kuala Lumpur.

Walaupun berganti tangan, nama kedai jahit itu dikekalkan kerana potensi dan nama jenama telah terbina. Kedai jahit Bak mengukuhkan kedudukannya di ibu kota dengan mengambil tempahan baju korporat untuk golongan lelaki.

Merosot

“Pada awal tahun 70-an Kuala Lumpur sedang pesat membangun. Pada waktu itu, golongan lelaki ramai menempah baju korporat sama ada baru memulakan karier atau menghadiri mesyuarat serta acara-acara formal.

“Begitupun, pada tahun 80-an jumlah tempahan baju korporat semakin merosot ekoran pengenalan baju korporat siap dan Bakhtiar mengambil keputusan meninggalkan Bak dan membuka kedai jahit lain.

“Saya yang ketika itu baru menamatkan pengajian di United Kingdom (UK) telah mengambil alih kedainya,” jelas anak jati Kampung Baru, Kuala Lumpur itu.

Dia dan dua abangnya, termasuklah Bakhtiar dihantar belajar ke UK oleh ayahnya yang merupakan pemilik jenama pakaian Omar Ali untuk melanjutkan pelajaran dalam Diploma Rekaan dan Jahitan.

Melihat kesungguhan ayahnya yang menjalankan perniagaan baju sejak cetusan Perang Dunia Kedua telah mendorong Mohammad Sohaimi untuk menyimpan cita-cita mengusahakan jenama pakaiannya sendiri.

Pada tahun 1985, Bak memecahkan norma dengan menerima tempahan baju Melayu dewasa secara kecil-kecilan.

Selain itu, Bak memperkenalkan baju kanak-kanak dan kain samping siap pakai.

“Pada ketika itu, hanya Bak yang menawarkan baju kanak-kanak siap pakai di ibu kota dan kami menerima sambutan menggalakkan daripada orang ramai. Kedai Bak Bunus ini juga mula beroperasi selama 24 jam khusus pada waktu Ramadan sejak tahun 90-an.

“Jenama kami terus dikenali ramai dan tempahan baju Melayu lelaki terus meningkat. Atas permintaan ramai, kami mengambil tempahan baju kurung pada tahun 2007, sekali gus melengkapkan koleksi serta perkhidmatan disediakan Bak,” jelasnya sambil memberitahu, Bak Bunus menjadi kedai induk label berkenaan sehingga tahun 2007.

Pada tahun sama, Bak berjaya memasuki Wisma Yakin, Kuala Lumpur dan langkah itu seiring dengan perniagaan kelas atasan seperti Omar Ali, Maroz dan Den Wahab.

Setahun kemudian, Bak telah menubuhkan dua syarikat iaitu Bak Tailoring Sdn. Bhd. untuk peruncitan dan Bak Hemme Sdn. Bhd. (pengeluaran).

Bak juga mengembangkan perniagaan dengan membuka enam cawangan di sekitar Kuala Lumpur dan satu di Ayer Keroh, Melaka.

Mengulas lanjut, anak kesembilan daripada 11 adik-beradik itu memberitahu, Bak mempunyai misi dan visi untuk mencipta nama serta reputasi seperti syarikat pakaian gergasi di Malaysia iaitu rumah fesyen Padini.

Kekangan pekerja

Meskipun begitu, Bak berhadapan dengan kekangan jumlah tenaga kerja dalam mengembangkan perniagaan dalam skop lebih besar.

Jelasnya, sehingga kini Bak menggunakan tenaga kerja tempatan untuk menguruskan tujuh cawangannya.

Begitupun, jumlah tersebut menyukarkannya untuk mengorak langkah kepada yang lebih besar.

Mengakui sedikit ralat selepas permohonannya untuk mendapatkan permit pekerja asing tidak diluluskan membuatkan Muhammad Sohaimi merancang memindahkan perniagaannya ke luar negara.

“Kami bukan sahaja menawarkan perkhidmatan menjahit pakaian tradisional Melayu, malah nama Bak tidak asing dalam memperkasakan nilai tradisi. Saya percaya, label ini juga merupakan aset dalam mempamerkan identiti negara kerana ia masih mengekalkan potongan klasik sejak lebih 40 tahun lalu.

“Saya kira sudah tiba masanya untuk Bak menonjolkan jenamanya di gedung-gedung pakaian di pusat bandar. Bagaimanapun, ia memerlukan tenaga kerja yang mencukupi. Malangnya, permohonan saya untuk mendapatkan permit pekerja asing tidak diluluskan walaupun semua dokumen diperlukan telah disediakan.

“Disebabkan itu, jika keadaan ini berterusan, saya bercadang untuk menjalankan perniagaan di negara jiran untuk menaikkan jenama Bak,” katanya sambil menegaskan rekaan baju Melayu tradisional sememangnya dikagumi oleh pereka dan orang ramai di luar negara kerana potongan dan penggunaan fabrik yang eksklusif seperti songket.

Generasi kedua legasi tersebut, Sharief Hidayatullah yang bertugas memantau operasi Bak berkata, label berkenaan telah pun mempunyai tiga rumah produksi termasuklah di Bandung dan Surabaya, Indonesia. Sehingga kini, Bak mempunyai kira-kira 200 orang pekerja di luar dan dalam negara.

Koleksi sedondon

Sementara itu, Mohammad Sohaimi menegaskan, disebabkan perhatian kurang diberikan kepada pengusaha bumiputera, tidak mustahil suatu hari nanti perniagaan pakaian tradisional juga akan dimonopoli oleh peniaga asing yang kini telah pun membanjiri ibu kota, terutamanya di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Bukan itu sahaja, kepakaran menjahit juga menjadi kebimbangannya kerana jumlah tukang jahit semakin berkurangan berbanding pereka fesyen.

Ia gara-gara kebanyakan masyarakat pada hari ini lebih mementingkan reka atur potongan dan siluet.

Sementara itu, sempena menyambut Aidilfitri tahun ini, Bak menawarkan koleksi pakaian keluarga sedondon iaitu baju kurung mini moden Marmara kain kapas dan baju kurung Pahang mikropoli.

Koleksi Marmara ditawarkan dalam 10 varian warna manakala mikropoli terdiri daripada 20 spektrum rona termasuk palet paste dan terang berdasarkan warna kegemaran ramai sejak awal Januari lalu.

“Untuk koleksi ini, palet biru diraja telah habis dijual sebelum Ramadan dan dihasilkan semula bagi memberi peluang kepada setiap pencinta palet tersebut memiliki busana raya rona kegemaran masing-masing,” katanya.

Sumber: Kosmo! Online

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::