Kafe dan Restoran Grafa

Biarpun terletak di lokasi yang agak tersorok, ia tidak menghalang kru Jurnal untuk ke lokasi Kafe dan Restoran Grafa yang terletak di Seksyen 15, Subang Jaya, Selangor.

Kru Jurnal yang tiba di hadapan premis tersebut telah disambut mesra oleh pelayan dan terus dibawa masuk ke dalam restoran yang dihiasi dengan pelbagai dekorasi antik.

Rasa tidak puas mata dijamu dengan pelbagai barangan klasik seperti basikal antik yang jarang dilihat selain suasana ruang dalam restoran yang tenang dan sejuk meskipun keadaan cuaca di luar agak panas.

Kru Jurnal lantas diperkenalkan kepada pemilik restoran, Fadli Rosli, 34, sambil ditemani isterinya, Haliza Halim, 30, yang juga merupakan pemilik bersama restoran Grafa.

Menurut Fadli, restoran miliknya itu telah beroperasi di Subang Jaya sejak tahun 2010 dan telah mengalami perubahan dari segi konsep sejak tiga tahun lalu.

“Pada mulanya saya membuka perniagaan menjual basikal jenis ‘pixie’ berkonsepkan kafe dari tahun 2010 sehingga 2012.

Konsep klasik

“Bagaimanapun, saya terpaksa membuat pembaharuan dari segi konsep disebabkan ‘trend’ bermain basikal semakin kurang mendapat sambutan selain lambakan penjual yang menjalankan perniagaan dalam talian,” jelas Fadli yang mula mengubah kafe kecilnya menjadi restoran sekitar tahun 2013.

Sewaktu diajukan soalan tentang maksud perkataan Grafa, Fadli memberitahu ‘Grafa’ sebenarnya membawa maksud graphic and fine art sementelah dia pernah menceburi bidang pengiklanan dan grafik selama lima tahun sebelum mengambil keputusan berhenti kerja.

Jelas peminat sukan basikal itu, dia memilih untuk mengetengahkan konsep klasik antik dalam restorannya dengan mempamerkan beberapa koleksi basikal lama kerana minatnya dalam dunia berbasikal.

Restoran Grafa yang berkeluasan 297 meter persegi dibahagikan kepada dua bahagian iaitu ruang tertutup dan terbuka dengan hampir 40 buah meja yang boleh menempatkan lebih 100 orang pelanggan pada satu-satu masa.

Tumpuan pelanggan pasti akan terarah pada sebuah motosikal klasik jenis Yamaha SR400 yang diletakkan di tepi pintu masuk restoran yang dijadikan sebahagian dekorasi sekali gus membangkitkan lagi suasana ‘lama’ dalam restoran.

Bertepatan dengan konsep yang ingin ditonjolkan, pemilik restoran banyak memperoleh barang yang memenuhi segenap sudut dan dinding restoran dengan membelinya dari kedai-kedai barangan terpakai sahaja.

Basikal antik

“Misalnya rotan raga dibeli di sebuah kedai terpakai di Ara Damansara dan digantung di dinding sebagai hiasan,” ujar Haliza yang merupakan graduan jurusan Komunikasi Massa dari sebuah kolej swasta di ibu negara.

Pelanggan yang mengunjungi Grafa pasti akan tertarik dengan meja makan yang dihasilkan sendiri menggunakan kayu pallet yang telah diubah suai supaya tampak unik dan klasik.

Haliza memberitahu, antara barangan yang dipamerkan ialah koleksi basikal jenis unicycle yang dibeli di Ipoh. Ia merupakan koleksi paling berharga kerana sukar untuk dimiliki pada hari ini.

Fadli pula menambah, hampir keseluruhan dekorasi yang terdapat di restorannya tidak memerlukan belanja besar dan mudah dibeli di kedai-kedai barang terpakai selain turut didermakan oleh rakan-rakan.

Menjengah ke ruang makan yang terdapat di bahagian luar tepi restoran, kru Jurnal mendapati, pemilik restoran tidak menggunakan terlalu sarat dekorasi dan membuatkan ruang tampak luas dan selesa.

Tidak lokek berkongsi modal, Fadli memberitahu, dia telah membelanjakan sehingga RM100,000 untuk mengubah suai bahagian restorannya yang dahulunya merupakan sebuah klinik kesihatan yang disewa.

Bercakap mengenai menu yang disediakan di Grafa, pasangan suami isteri itu memberitahu, restorannya menyediakan hidangan pelbagai menu daripada masakan Barat sehinggalah hidangan Melayu.

Haliza memberitahu, Grafa menyediakan lebih 50 jenis menu termasuk pencuci mulut yang ditawarkan dari harga serendah RM6 hingga RM80 sepinggan.

“Apa yang istimewa tentang restoran kami, pelanggan akan mendapat saiz makanan yang besar.

“Misalnya jika pelanggan memesan supreme grill yang merupakan menu paling popular di sini, mereka dapat menikmati hidangan tulang rusuk, daging, ayam dan sosej dalam satu pinggan yang boleh dikongsi sehingga empat orang,” ujar Fadli yang turut menyediakan masakan fusion dan pasta.

Sumber: Kosmo! Online

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::