Taman Aktiviti Angry Birds

Sebaik sahaja melepasi pintu masuk, seorang anak kecil berbaju putih yang tadinya datang berpimpin tangan dengan bapanya melepaskan genggaman itu.

Dia bagaikan terpana dengan apa yang ada di kiri dan kanannya.

Dari tadi, mata kanak-kanak lelaki berusia enam tahun itu tidak henti melihat ke arah sekelilingnya.

Barangkali ketika itu dia merasakan dirinya berada di dunia berbeza. Hampir setiap sudut pandangan matanya meliar melihat pelbagai replika dan gambar patung permainan aplikasi kegemarannya, Angry Birds.

Jika sebelum ini, Herman, hanya melihat karakter burung berwarna merah dengan paruh kuning itu di dalam permainan menerusi tablet pintar, namun pada hari itu, dia merasai sendiri pengalaman sama seperti yang dimainkannya sebelum ini.

“Ayah, saya mahu pergi ke sana. Boleh bawa saya melihat patung Angry Birds yang besar itu?” pinta Herman yang turut ditemani adik lelakinya, Desmond yang berusia dua tahun.

Dia kemudian berlari ke arah sebuah replika Angry Birds di situ. Perlahan-lahan tangannya mengusap patung gentian kaca berkenaan. Ada senyuman terbit pada raut wajah anak sulung seorang pelancong yang mahu dikenali sebagai Tsui itu.

“Saya dapat tahu mengenai kewujudan Taman Aktiviti Angry Birds ini menerusi penulisan di blog-blog yang dikongsi oleh bekas pengunjung. Keunikan taman permainan ini membuatkan saya bersetuju untuk bawa keluarga ke Johor bagi merasai sendiri pengalaman di taman aktiviti ini.

“Ia sangat mengujakan kerana selama ini orang hanya bermain Angry Birds di alam siber. Kini kita sendiri boleh merasai suasana itu. Tempat ini pun besar dan sangat sesuai untuk seisi keluarga.

“Lihat sahaja anak-anak saya, mereka cukup gembira dan teruja,” kongsi Tsui yang datang dari Hong Kong untuk bercuti bersama keluarganya di Johor Bahru, ibu negeri Johor.

Taman Aktiviti Angry Birds yang dibina di dalam bangunan pusat beli-belah terkemuka, Komtar Johor Bahru City Centre (JBCC) itu merupakan tarikan pelancongan baharu di daerah Johor Bahru.

Aktiviti fizikal

Dibangunkan dalam keluasan tapak 2,415 meter persegi, ia mula dibuka kepada umum sejak Oktober tahun lalu dan menjadi Taman Aktiviti Angry Birds pertama di Asia Tenggara.

Taman aktiviti itu dihasilkan daripada cetusan idea pengasas permainan aplikasi Angry Birds, Rovio Entertainment dari Finland.

Permainan animasi yang menggunakan replika burung tanpa kepak itu pernah menjadi trend apabila ia diperkenalkan sejak tahun 2009. Sehingga kini, permainan yang direka khas pada mulanya bagi pengguna sistem perisian iOS itu semakin mendapat tempat di hati penggemar permainan di aplikasi telefon pintar.

“Sebahagian struktur seni bina permainan di Taman Aktiviti Angry Birds memang direka khas sama seperti apa yang biasanya dimainkan oleh orang ramai menerusi permainan Angry Birds di dalam komputer. Jadi, ada antara permainan di sini yang dibangunkan dalam suasana sama.

“Jika boleh, kita tidak mahu biarkan orang terus leka bermain Angry Birds sahaja. Kita mahu beri lebih daripada itu menerusi aktiviti fizikal yang boleh dianggap sebagai satu riadah untuk seisi keluarga,” ujar Tony Lika, Peng­urus Besar Taman Aktiviti An­g­­ry Birds.

Menurutnya, pen­gunjung boleh melakukan pelbagai aktiviti dan permainan menarik. Ia bukan sahaja sesuai untuk kanak-kanak dan remaja, malah ia juga boleh dijadikan pilihan buat orang dewasa terutamanya mereka yang bergelar ibu bapa.

Terbahagi kepada dua ruang bahagian utama iaitu Classic dan Space, taman aktiviti itu dipenuhi dengan 24 zon permainan yang setiap satunya mempunyai keistimewaan tersendiri.

Antara menjadi tum­puan pengunjung termasuklah Angry Birds Go! Kart Track, Bird Nest Climbing Track, Space Soccer Cage, Space Drop Airbag dan Balance Bike Lagoon.

“Salah satu tarikan yang kita inspirasikan daripada permainan sebenar ialah Piggy Shooting Gallery. Kebiasaannya karakter Piggy dalam permainan Angry Birds menjadi salah satu karakter yang akan dimusnahkan oleh burung. Jadi di sini, kita mengambil konsep yang sama untuk diketengahkan di dunia realiti,” katanya.

Sinar laser

Ujar Tony, selain menggalakkan orang ramai untuk beriadah di dalam kawasan yang selamat, ada antara permainan yang dibangunkan di Johor Bahru mampu merangsang minda kanak-kanak dan orang dewasa untuk berfikir dalam menyelesaikan misi.

“Sebagai contoh, permainan Lazer Maze Space Ship menguji kreativiti dan kelicikan orang ramai untuk berfikir cara mahu melepaskan diri daripada halangan sinar laser untuk pergi ke ruang lain,” ceritanya.

Mampu memuatkan sehingga 1,000 orang pada satu-satu masa, taman yang dibangunkan dengan kos RM17 juta itu turut dilengkapi dengan pelbagai fasi­liti lain seperti ruang menunggu untuk ibu bapa.

“Bagi ibu bapa yang datang ke sini, jika tidak mahu ikut serta anak-anak bermain, mereka boleh memantau dari ruang khas menunggu yang diletakkan pada aras yang lebih tinggi.

“Mereka dapat memantau pergerakan anak-anak mereka dari jauh,” ujar Tony sambil membe­ritahu terdapat 36 buah te­levisyen litar tertutup yang dipasang di seluruh kawasan bagi tujuan keselamatan dan pemantauan.

Pemantauan

Dalam pada itu, kata Tony, ibu bapa juga tidak perlu bimbang dalam soal pemantauan kerana terdapat penyelia yang akan memerhati pergerakan anak-anak mereka.

“Kita gelar mereka sebagai Flock Members yang ditugaskan untuk mengawal setiap zon permainan.

“Terdapat lebih kurang 30 Flock Members yang akan mengawal selia pengunjung cilik ini pada satu-satu masa. Bagaimana­pun, pada waktu puncak seperti hujung minggu dan cuti umum, kita tempatkan seramai 40 orang,” katanya.

Selain itu, Taman Aktiviti Angry Birds itu juga menitikberatkan soal kebersihan. Ini kerana, mereka tidak mahu pengunjung yang hadir terdedah kepada persekitaran yang tidak sihat.

“Lantai taman ini menggunakan karpet lembut. Jadi, apabila orang ramai melakukan aktiviti, mereka terdedah untuk berpeluh. Bagi mengelak peluh melekat ke lantai, kita mewajibkan pengunjung memakai stoking,” ujar Pengurus Operasi taman aktiviti itu, Zarina Suratmen.

Bukan itu sahaja, katanya, taman itu sentiasa dipastikan berada dalam keadaan segar.

“Kita tidak boleh biarkan ia dalam keadaan berbau. Jadi, pada setiap hari sebelum ia dibuka kepada umum, akan ada pihak yang menjalankan kerja-kerja pembersihan,” katanya.

Sumber: Kosmo! Online

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::