Butik Bella Luna

Label Bella Luna mengembangkan popularitinya dengan koleksi terbaharu yang diinspirasikan daripada bunga orkid.

Sebanyak 18 rekaan diperagakan daripada konsep kasual sehingga jubah muslimah. Kesemua himpunan itu dipentaskan di butik Bella Luna yang baru dibuka di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.

Pembukaan butik tersebut memberi peluang kepada pelanggan setia Bella Luna dan orang ramai menggayakan rekaan-rekaan baharu, sekali gus membina kepercayaan untuk jenama tersebut.

Sebelum ini, label Bella Luna berjaya melonjakkan namanya menerusi laman sosial Instagram.

Pengasas Bella Luna, Datin Seri Syafiqa Melvin dan Syatilla Melvin menyediakan koleksi feminin untuk wanita Muslimah dengan rekaan-rekaan adunan harmoni kuntuman bunga orkid berwarna ungu, merah jambu dan gabungan warna hijau daun.

Salah satu rekaan anggun potongan dres labuh dengan perincian bunga orkid yang menjalar dari bahagian atas ke bawah.

Rekaan tersebut dipadankan dengan tudung satin berwarna hijau gelap.

Beberapa rekaan lain termasuk dres orkid potongan empire yang mengetengahkan rekaan bunga orkid diperincikan di bahagian dada.

Koleksi tersebut ditawarkan dengan empat rekaan Varda, Alba, Flava dan Aurora. Fabrik yang digunakan ialah kain satin berkualiti tinggi.

Menurut Syafiqa, motif bunga orkid dipilih kerana ia sinonim dengan keperibadian seorang wanita.

“Saya memang gemar bunga orkid. Ia adalah sejenis bunga yang sangat lembut dan memerlukan penjagaan rapi.

“Begitu juga sifat wanita-wanita Bella Luna yang lemah lembut dan bijak dalam mengatur langkah menjadi seorang wanita berjaya serta berketrampilan,” jelasnya.

Pentas peragaan turut diserikan dengan koleksi yang diperagakan oleh Syatilla pada malam tersebut.

Sementara itu, koleksi dres Kiska menampilkan rekaan dengan perincian berstruktur jaluran di bahagian depan dan segi tiga di tepi untuk memberikan kesan ramping kepada si pemakai.

Dres tersebut ditawarkan dalam fabrik sutera kapas berkualiti tinggi dengan tiga warna iaitu biru laut, hitam dan hijau lumut.

Dres Lateefa juga menggunakan konsep serupa dengan rekaan lengkungan dari bahu sehingga pinggang. Penggemar Bella Luna boleh memilih untuk menggayakan warna coklat lembut, coklat gelap, hijau abu dan kelabu lembut.

Kepada mereka yang selesa memakai seluar boleh mendapatkan rekaan potongan longgar palazzo, Scarlet Palazo, yang popular pada musim panas dan cantik digandingkan bersama blaus Silvia.

Selain corak-corak jubah yang lebih segar, label Bella Luna turut menjadi pilihan ramai kerana koleksi-koleksi anggun itu ditawarkan pada harga berpatutan.

Tahun 2015 merupakan tahun yang mengujakan buat Bella Luna untuk menyediakan produk-produk lebih istimewa, asli dan eksklusif khas untuk para pelanggannya.

Sumber: Kosmo! Online

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::