Seni Doodle Beg Tote Sun-Tree

Gaya santai dan ringkas menjadi budaya popular anak-anak muda pada hari ini. Penampilan bersahaja dengan padanan seluar denim, baju-T tanpa corak dan aksesori sering dilihat di jalanan.

Ia kelihatan minimalis tetapi bergaya. Salah satu gaya santai aksesori termasuklah beg tote.

Beg tote biasanya menggunakan fabrik kanvas berat yang diwarnakan atau dirawat untuk menahan kelembapan dan kulapuk.

Jut adalah satu lagi bahan tradisional yang sering digunakan untuk membuat beg tote.

Bagaimanapun, dalam beberapa dekad kebelakangan ini, nilon berat dan fabrik sintetik sering digunakan untuk beg tote, sekali gus kualitinya menjadi rendah apabila terdedah dengan cahaya matahari secara berterusan.

Istilah tote membawa makna membimbit pada abad ke-17 dan tidak dipanggil sebagai beg. Beg tote mula menjadi kegilaan di Amerika Syarikat (AS) selepas pelancaran LL Bean Boat Bag pada tahun 1944.

Bag itu menjadi fenomena kerana ia lebih mudah dibawa berbanding bagasi. Pada tahun 1950-an, bag tote kemudian berubah menjadi sebahagian daripada budaya di AS, terutamanya dalam kalangan wanita.

Rekaan beg tote semakin diperbaharui dengan suntikan gaya peribadi. Jenama terkenal, Bonnie Cohen melancarkan koleksi beg tote iaitu Cashin Carry Tote Bags yang menggabungkan gaya dan fungsinya.

Kate Spade kemudian menembusi persepsi budaya beg tote apabila dia mula memperkenalkan beg tote sebagai aksesori fesyen pada tahun 1990-an.

Pada hari ini penggemar beg tote boleh mendapatkan pelbagai jenis rekaan dan tema untuk pelengkap gaya itu termasuklah rekaan corak rawak (doodle) yang semakin mendapat tempat dalam kalangan anak-anak muda di negara ini.

Seni doodle

Menurut salah seorang pelukis doodle, Hazizah Hussain, 23, minatnya mencoret doodle sejak di bangku sekolah mendorong dirinya untuk terus menghasilkan seni garis bentuk itu di beg tote yang dijualnya.

Kebanyakan seni doodle yang dihasilkannya menggunakan motif flora dan fauna serta figura ikonik. Corak-corak kecil, padat dan mempunyai tema untuk tiap-tiap rekaan itu dicoret dengan teliti menggunakan pen jenis artline.

Jelas Hazizah, beg tote dipilih kerana kebanyakan beg tersebut terdiri daripada fabrik kanvas yang mudah dilukis corak doodle dipermukaannya. Selain itu, kanvas juga mudah untuk dicetak dan dibasuh.

"Saiz pen yang selalu di gunakan ialah 0.2, 0.4, 0.6 dan 1.0. Bagaimanapun, untuk membuat doodle di atas kain kanvas saya menggunakan akrilik untuk mewarna dan marker sharpie (fabrik) ketika melukis.

"Setiap rekaan mempunyai mesej atau konsep tersendiri dan saya akan memastikan corak setiap beg tidak sama.

"Membuat doodle bukan perkara yang mudah dan memakan masa bergantung kepada rekaan kerana ia memerlukan ketelitian supaya corak tidak begitu padat sehingga tenggelam dalam corak yang lain atau comot. Paling lama masa yang diambil untuk menyiapkan satu rekaan doodle adalah selama satu hari," jelasnya memberitahu hasil kraf tangan itu dijualnya dengan jenama Sun-tree.

Ujarnya, jenama tersebut turut diusahakan oleh dua rakannya iaitu Ain Farhanim Mohamad Johari, 23, dan Farhanah Abdul Halim, 24.

Sementara itu, Hazizah memberitahu, kehalusan corak dan ketelitian konsep menjadi pengukur kualiti rekaan doodle yang dihasilkan.

"Kebiasaannya, kami cadangkan beg tote dengan doodle cetakan kerana ia lebih halus dan terperinci selain kualiti cetakan seperti di baju-T. Ia juga tahan lebih lama.

"Harga beg tote dengan cetakan lebih murah berbanding lukisan tangan iaitu sekitar RM15 hingga RM25," jelasnya yang menerima banyak tempahan daripada golongan belia.

Sehingga kini, Sun-Tree mengeluarkan beg tote dengan dua pilihan warna iaitu hitam dan putih. Beg tote tersebut dijual untuk rekaan sedia siap dan tempahan mengikut corak yang diminta pelanggan.

Sumber: Kosmo! Online

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::