Memancing Ikan Pantai Bagan Lalang - Part 2

Part 1 of 2 | Part 2 of 2

Ladang ikan

Selain memancing di sangkar ikan di sekitar muara sungai Sepang Besar, kaki pancing juga boleh melakukan aktiviti itu di kelong ataupun ladang ikan di kawasan Pantai Bagan Lalang.

Ladang ikan di Pantai Bagan Lalang dibangunkan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Ia merupakan kawasan perairan seluas dua kilometer persegi dan berada dalam lingkungan lima batu nautika dari pantai serta mempunyai pelbagai jenis spesies ikan.

Bagi mereka yang berminat untuk memancing di kawasan ladang ikan itu pula, terdapat pakej yang disediakan oleh Persatuan Nelayan Kawasan Sepang (PNK Sepang).

Ahli PNK Sepang, Idris Mohd. Rafi, 39, berkata, kawasan sekitar muara dan pantai merupakan destinasi tumpuan pemancing di Bagan Lalang

“Hampir setiap cuti hujung minggu atau cuti umum, pasti beberapa lokasi di kawasan ini menjadi tumpuan kaki pancing untuk melepaskan gian.

“Kebanyakan pemancing datang dari Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan,” ujarnya.

Pelantar

Tambahnya, ahli nelayan yang bernaung di bawah PNK Sepang turut menyediakan perkhidmatan menyewa bot bagi memudahkan pemancing memancing di kawasan muara sungai mahupun laut.

“Kadar sewaan bot ialah RM450 untuk kawasan muara sungai dan RM700 laut bagi tempoh 12 jam.

“Perkhidmatan ini sedikit sebanyak dapat menjana pendapatan tambahan kepada para nelayan di sini,” ujarnya.

Menurutnya, terdapat juga pakej memancing di atas sangkar kupang dengan bayaran RM20 seorang.

“Sangkar tersebut merupakan pelantar yang sebelum ini diusahakan untuk ternakan kupang namun, ia tidak begitu menjadi. Justeru, ia ditukarkan kepada pelantar untuk aktiviti memancing.

“Memancing di sangkar kupang ini menerima permintaan yang tinggi dalam kalangan kaki pancing kerana kita turut menyediakan perkhidmatan bot untuk menghantar dan mengambil mereka,” ujarnya.

Idris berkata, pelbagai spesies ikan muara boleh diperoleh seperti siakap, siakap merah dan sembilang di sangkar tersebut.

“Selain memancing di sangkar, terdapat juga pakej-pakej memancing di sekitar Pantai Bagan Lalang di bawah kelolaan PNK Sepang,” katanya.

Sumber: Kosmo! Online

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::