Memancing Ikan Pantai Bagan Lalang - Part 1

Part 1 of 2 | Part 2 of 2

Bagan Lalang merupakan sebuah pantai peranginan di Selangor yang sentiasa menjadi destinasi tumpuan orang ramai untuk beristirahat pada hujung minggu.

Terletak di daerah Sepang, Pantai Bagan Lalang merupakan satu destinasi perkelahan keluarga kerana banyak aktiviti santai boleh dilakukan di kawasan itu.

Selain sinonim sebagai destinasi pelancongan pilihan pengunjung, Bagan Lalang juga merupakan tempat strategik untuk aktiviti riadah seperti memancing.

Bagi kaki pancing, Pantai Bagan Lalang merupakan satu destinasi yang wajar dijadikan pilihan kerana pantai berkenaan mempunyai pelbagai spesies ikan.

Lokasinya yang berlatar belakang Selat Melaka itu merupakan kawasan lubuk ikan, sekali gus kedatangan kaki pancing ke pantai itu pasti tidak akan pulang dengan tangan kosong.

Mereka boleh memilih sama ada untuk memancing di sekitar kawasan muara Sungai Sepang Besar atau Pantai Bagan Lalang itu sendiri.

“Satu kepuasan bagi saya apabila umpan yang dilekatkan pada joran disambar ikan,” ujar Abu Zarin Kaat, 52, yang merupakan kaki pancing.

Masa lapang

Abu Zarin yang tinggal di Selayang menjadikan kawasan sekitar Pantai Bagan Lalang sebagai destinasi memancing.

“Setiap minggu, jika ada kelapangan saya datang ke sini untuk memancing sama ada berseorangan ataupun bersama teman-teman.

“Kawasan ini sememangnya mempunyai pelbagai jenis ikan seperti siakap, jenahak dan kerapu. Setiap kali datang ke sini, saya tidak pulang dengan tangan kosong,” ujarnya yang suka memancing di sekitar kawasan pelantar sangkar ikan di muara sungai.

“Harga yang dikenakan amat berpatutan iaitu RM20 dan pengusaha turut menyediakan perkhidmatan bot untuk menghantar serta mengambil pemancing di pelantar sangkar.

“Kebiasaannya, ketika memancing, saya selalunya datang pada sebelah pagi dan pulang pada waktu petang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Borhan Ijai, 57, memberitahu, pengalaman pertama kali memancing di Bagan Lalang merupakan satu pengalaman yang baharu kepadanya.

“Sebelum ini, saya sering memancing di kolam ikan. Saya datang ke sini apabila rakan-rakan memberitahu di sini terdapat banyak spesies ikan.

“Saya rasa tempat ini memang lokasi yang sesuai bagi kaki pancing untuk melepaskan gian memancing,” katanya.

Sumber: Kosmo! Online

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::