Pasar Raya Maridim Niaga |
Pasar raya Maridim Niaga yang dimiliki sepenuhnya Bumiputera bercadang membuka 10 cawangan kedai runcit lengkap 24 jam di seluruh Terengganu dalam tempoh selewat-lewatnya lima tahun membabitkan pelaburan kira-kira RM2 juta.
Menariknya, pemilik pasar raya itu, Norasamsudin Mohamad berkata, beliau tidak bercadang membuat pinjaman bank sebaliknya menggunakan duit simpanan sendiri untuk membuka semua cawangan terbabit.
“Setiap cawangan memerlukan pelaburan kira-kira RM200,000 dan saya percaya tanpa sebarang pinjaman bank akan memberi lebih manfaat kepada syarikat, tanpa perlu memikirkan soal hutang.
“Malah, ketika membuka Maridim Niaga empat tahun lalu juga saya menggunakan wang simpanan sendiri,” katanya kepada Bisnes Metro di Telaga Papan, semalam.
Beliau berkata, kejayaannya dalam perniagaan peruncitan banyak didorong keikhlasan membantu masyarakat sekitar dengan menawarkan harga jualan barangan pada kadar sangat murah.
“Saya berniaga dengan niat beribadat iaitu menunaikan fardu kifayah, maka dengan itu tidak mengambil untung berlebihan. Malah harga jualan sangat sesuai dengan slogan kami ‘Mok Kite Maroh Jual Mahal’ (Emak Saya Marah Menjual Mahal).
“Kejayaan yang diperoleh juga hasil kerja keras dan keinginan untuk belajar berniaga pada setiap masa kerana bidang perniagaan khususnya peruncitan sentiasa berubah dari semasa ke semasa."
"Saya juga banyak bertanya kepada mereka yang lebih berpengalaman dalam bidang ini,” katanya yang turut menceburi perniagaan nurseri. Ditanya mengapa membuka pasar raya di kawasan terpencil, beliau berkata, strategi itu lebih berkesan kerana kurang persaingan.
“Selain itu, saya sentiasa memikirkan idea kreatif contohnya menawarkan jualan ‘Promosi Banjir’ pada musim banjir dan ‘Harga Pasar Malam’ dari jam 8 malam hingga 10 malam, hampir setiap hari,” katanya.
Sumber: myMetro