Novel Dekna Lee |
Minat membaca cerita-cerita cinta ketika di bangku sekolah menjadi pendorong utama kepada Nurul Husna Razali, 20, untuk menulis novel berkaitan genre tersebut.
Ia juga ekoran pengaruh rakan-rakan yang gemar membaca buku seumpama itu ketika mereka remaja.
Novel pertama yang dibaca Nurul Husna ialah Ombak Rindu karya Fauziah Ashari pada tahun 2006. Novel itu berjaya menyuntik minatnya untuk meneruskan hobi membaca.
Ketika di bangku sekolah, Nurul Husna menulis cerita-ceritanya di dalam sebuah buku nota ketika waktu lapang.
"Penulisan saya bermula dengan menulis di atas kertas dan dibaca oleh rakan-rakan yang rapat dengan saya. Mereka memberikan komen-komen yang membina terhadap cerita-cerita tersebut.
"Rentetan itu, minat saya terhadap bidang penulisan semakin meningkat dan saya mula mencari idea-idea dan cerita-cerita yang menarik untuk ditulis," katanya.
Menurut penuntut Diploma Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jengka, Pahang itu, hobi menulisnya menjadi serius selepas dia mula mempunyai komputer riba sendiri.
Kata Nurul Husna, daripada menulis di atas kertas, karya-karyanya kemudian dipaparkan dalam medium yang lebih terkini dan senang untuk dibaca iaitu blog.
"Kehidupan saya sebagai mahasiswi yang agak sibuk membuatkan saya terpaksa membahagikan masa dengan bijak antara pelajaran dan hobi," ujarnya.
Gadis bertubuh genit ini turut memberitahu, novel sulungnya yang berjudul Hantu Punya Bos! mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan.
"Syukur kerana novel ini berjaya disiapkan dalam waktu yang singkat tanpa sebarang masalah yang besar," katanya.
Novel tersebut menerima sambutan yang memberangsangkan dengan memasuki cetakan keempat dan terjual lebih daripada 12,000 buah naskhah sejak diterbitkan pada Ogos lalu.
Ia merupakan satu-satunya karya Nurul Husna yang diterbitkan, manakala selebihnya boleh dibaca menerusi dalam blog deknalee.blogspot.com.
Menurut Nurul Husna atau nama penanya Dekna Lee, novel Hantu Punya Bos! tidak hanya berkisar tentang cinta tetapi turut menyelitkan unsur-unsur komedi untuk terus menarik minat pembaca.
Novel itu menceritakan kisah seorang lelaki bernama Arrayyan Zainuddin yang merupakan ketua di sebuah syarikat.
Perwatakannya yang garang dan suka mencari kesalahan orang lain menyebabkan dia kurang disukai oleh masyarakat sekeliling, terutamanya kakitangan syarikat itu sendiri.
Keadaan berubah apabila satu hari dia bertemu dengan seorang gadis bernama Abby yang gemar melatah.
Ini menyebabkan berlakunya beberapa kejadian lucu yang melahirkan bibit-bibit cinta antara kedua-dua watak yang berbeza itu.
Menurut Nurul Husna, karakter-karakter dalam novel berkenaan dipengaruhi oleh individu yang rapat dengannya.
"Watak Arrayyan sebagai seorang majikan yang garang diinspirasikan oleh perwatakan abang ipar saya, manakala nama Abby diilhamkan daripada adik sendiri," katanya.
Kini, gadis ini sedang giat menyiapkan beberapa manuskrip untuk dihantar kepada penerbit.
Sumber: Kosmo!