Produk Aura White |
Ketika masih belajar di sekolah menengah, Nurfuryna Mohd. Azmeer atau lebih mesra dengan panggilan Feena, tidak melepaskan peluang membantu ibunya yang memiliki salon kecantikan dan butik pengantin Allya Touch di Greentown Mall, Ipoh, Perak.
“Allya Touch diusahakan sekitar tahun 1998 hingga 2008 dan kemudian berpindah ke Kuala Lumpur.
“Ilmu yang dipelajari di sana dan melihat sendiri bagaimana ibu gigih mengusahakan perniagaan itu daripada seluruh aspek termasuk cara melayan pelanggan dan mutu perkhidmatan yang ditawarkan telah membuatkan saya ingin melibatkan diri dalam dunia perniagaan dan kecantikan,” katanya mengenai penglibatan awal beliau dalam arena perniagaan.
Bagi anak kedua dari tiga beradik ini, kecantikan merupakan satu hubungan yang rapat dengan setiap wanita kerana dia melihat sendiri bahawa semua kaum hawa amat menitikberatkan penampilan mereka bukan sekadar untuk memenuhi kepuasan peribadi tetapi juga untuk suami bagi mereka yang sudah berkahwin.
“Penampilan diri yang menarik mampu meningkatkan tahap keyakinan seorang wanita,” ujar ibu kepada dua orang cahaya mata itu sambil tersenyum.
Menurutnya, pada masa ini, kecantikan menjadi obsesi wanita, terutamanya wanita urban yang amat mementingkan gaya sehingga ada yang sanggup berhabisan ribuan ringgit semata-mata untuk kelihatan menarik.
Pengolah penampilan
Sungguhpun demikian, Feena menyarankan agar rejim penjagaan kulit dimulakan seawal peringkat remaja bagi mendapatkan kulit yang cantik berseri di masa hadapan.
“Berbelanja demi kecantikan bukanlah satu tindakan yang salah. Namun, pastikan perbelanjaan itu mengikut kemampuan diri.
“Lebih penting, suatu kecantikan itu bukan hanya terletak di bahagian luaran bahkan dalaman iaitu mempunyai hati yang bersih, sentiasa berfikiran positif, mengurangkan sifat-sifat negatif seperti hasad dengki dan tidak sombong. Perkara paling mudah dan mujarab untuk mendapatkan penampilan yang menarik ialah sentiasa tersenyum,” jelas Feena mengenai pendekatan yang turut diambilnya sendiri.
Mengakui bahawa perniagaan dalam bidang kecantikan penuh dengan pancaroba dengan persaingan sengit dan cabaran dalam memenuhi kehendak pengguna yang sering berubah, Feena memaklumkan, dia sebelum ini pernah memperkenalkan beberapa jenama produk kecantikan di pasaran.
Usaha perniagaannya membuahkan hasil apabila tahun lalu dia berjaya menemui sebuah syarikat tempatan yang giat melaksanakan usaha penyelidikan dan pembangunan sehingga tampil dengan produk suplemen yang kini dilihat sebagai antara yang mendapat permintaan tinggi di pasaran iaitu Aurawhite Collagen.
“Mungkin kerana kesannya yang mujarab dan orang ramai mula sedar tentang kepelbagaian manfaat produk ini. Sejak diperkenalkan pada Februari lalu, ia terus mendapat permintaan tinggi,” katanya sambil menunjukkan produk Aurawhite Collagen yang kini dijual oleh syarikat pasangan ini, Aura White Beauty Sdn. Bhd. (Aura White Beauty).
Lazimnya apabila memperkenalkan sesuatu produk baharu di pasaran, membina keyakinan pengguna terhadap produk tersebut merupakan usaha paling mencabar kepada peniaga, lebih-lebih lagi apabila ia membabitkan produk suplemen kecantikan yang banyak terdapat di Malaysia.
Resipi kejayaan
Namun, Feena amat bernasib baik, kerana menerusi duta produk Aurawhite iaitu selebriti dan pelakon, Hanez Suraya dan usaha-usaha pengiklanan berserta testimoni ikhlas pengguna yang sering dikongsi bersama, usahanya berjaya, sekali gus mengukuhkan keyakinan pengguna terhadap produk berkenaan.
Dengan permintaan yang terus meningkat saban hari, Feena tidak hanya berlapang dada dengan pencapaian itu. Malah, syarikat berkenaan secara berterusan menjalankan kerja-kerja promosi dan pengiklanan agar jenama Aurawhite tidak tenggelam di pasaran.
Bagi wanita ini, pengenalan Aurawhite dalam pasaran ialah atas tujuan menggalakkan penjagaan awal dalaman dan luaran pengguna.
“Suplemen ini mempunyai 20 jenis ramuan semula jadi seperti ekstrak buah-buahan terpilih, sel stem tomato, roselle, sarang burung, lemon, lobak putih dan sisik ikan tilapia. Ramuan-ramuan ini penting dalam membantu mengatasi masalah kulit, masalah lenguh-lenguh otot dan memberikan tenaga.
“Bukan itu sahaja, pengambilan kolagen ini juga mudah dan enak. Ia ditawarkan dalam perisa beri atau coklat bagi memenuhi selera pelanggan,” katanya.
Sungguhpun dianggap masih baharu dalam dunia perniagaan, Feena beranggapan ia sebagai satu perjalanan penuh pembelajaran untuk memastikan syarikatnya tersebut bertapak kukuh di masa hadapan.
“Perkara penting ialah memastikan penawaran produk berkualiti yang mampu memberi kepuasan pada pelanggan,” ujarnya.
Sumber: Kosmo!