Pengusaha Songket Tenunan Terengganu |
Terengganu memang terkenal dengan kehalusan pelbagai seni budaya sama ada kraftangan, makanan dan pakaian tradisi seperti songket.
Kiambang, Awang Larat, Air Muleh, Bunga China, Tampuk Manggis dan Pucuk Rebung antara corak songket buatan Terengganu yang paling popular dan menjadi pilihan ramai peminat songket di seluruh negara.
Sambutan menggalakkan peminat songket ‘memaksa’ pengusaha songket tempatan lebih kreatif mempelbagaikan produk berasaskan songket termasuk beg, sarung kusyen, alas meja, selendang bahu serta barangan hiasan.
Walaupun industri songket tempatan kini dihimpit masalah lambakan songket India dan Pakistan, kehalusan serta kepelbagaian corak yang beridentiti Melayu tetap menjadi pilihan.
Di Terengganu, songket bukan saja dibeli di butik songket ternama seperti Manang Songket, Bibah Songket atau Atikah Songket, malah dijual di Pasar Besar Kedai Payang.
Pengusaha songket Terengganu, Wan Manang Wan Awang berkata, songket Terengganu terdiri daripada dua jenis iaitu berasaskan benang kapas dan sutera.
“Songket berasaskan benang sutera paling bernilai dan mahal berbanding songket menggunakan benang kapas.
“Songket sutera lebih ringan serta lembut, malah coraknya berkonsep kontemporari dengan pelbagai warna moden seperti merah jambu dan perak serta metalik.
“Songket itu mengambil masa antara tiga hingga empat bulan untuk disiapkan, malah motif abstrak menjadi pilihan selain corak bunga,” katanya.
Menurutnya, ramai pengusaha songket di negeri ini tidak bergantung kepada produk kain songket dan kain sarung semata-mata, sebaliknya mempelbagaikan produk mereka.
“Dengan kepelbagaian produk berasaskan songket ini, kita mampu mempromosikan produk buatan Terengganu ke seluruh negara termasuk ke Nusantara dan Eropah.
“Malah, ia mewujudkan peluang pekerjaan selain menambah pendapatan penenun tempatan berikutan keperluan penggunaan songket meningkat,” katanya.
Katanya, selain dipasarkan ke pasaran tempatan, songket Terengganu mempunyai permintaan tinggi di Indonesia dan Brunei.
“Songket mempunyai tiga ciri penting bagi menjamin kualiti terbaik iaitu kepala kain, tubuh kain dan tepi kain. Jika salah satu daripadanya tidak sempurna, ia tidak dikategorikan songket bermutu tinggi.
“Songket yang berkualiti tinggi boleh dijual sehingga melebihi RM10,000 dan paling murah RM100 bergantung kepada corak songket itu,” katanya.
Penenun songket, Afifah Aziz, 21, dari Pulau Pinang berkata, dia melanjutkan pelajaran dalam Diploma Penenunan Songket di Institut Kraf Negara (IKN) Rawang, Selangor kerana yakin dengan potensi songket meraih pulangan lumayan.
“Saya merantau ke Terengganu untuk mencari pengalaman dan mengasah kemahiran dalam bidang tenunan kerana songket yang dihasilkan penenun negeri ini bermutu tinggi.
“Difahamkan terdapat lebih 80 penenun songket yang masih aktif di Kampung Gong Tok Nasek, Pasir Panjang, Tebakang dan Losong yang meraih pendapatan lumayan,” katanya.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, pengusaha dan peniaga songket di negeri ini berperanan memartabatkan songket buatan tempatan yang terkenal dengan kualiti dan cara pembuatannya yang halus.
“Sejak dulu songket tenunan Terengganu mendapat pengiktirafan antarabangsa.
“Pengiktirafan itu perlu dihargai dengan mengekalkan kualiti selain tidak mengambil tindakan yang boleh menjatuhkan reputasi songket Terengganu,” katanya.
Menurutnya, songket dari negeri ini sinonim dalam kalangan peminat tekstil walaupun bukan hanya Terengganu menjadi pengeluar songket selain memiliki kelas tersendiri dalam industri kraftangan dunia.
Sumber: myMetro