Homestay Kampung Peruas

Lena diulit mimpi dalam alam semula jadi menjadi taruhan Homestay Kampung Peruas bagi menggamit pengunjung bertandang di 14 calet yang terletak Ulu Dong, Raub, Pahang itu.

Kedinginan waktu pagi dan kicauan burung yang merdu pasti menambah keasyikan percutian tersebut.

Tidak ketinggalan keramahan penduduk yang sering menjadi buah mulut pengunjung di kampung ini. Bahkan pengunjung pasti terpesona dengan hidangan wajib calet berkenaan iaitu pisang wap.

Penyelaras merangkap Koordinator Homestay Kampung Peruas, Amran Husin berkata, Kampung Peruas mempunyai khazanah alam semula jadi yang menarik untuk diterokai.

"Kita mempunyai beberapa pakej yang ditawarkan pada harga yang sangat berpatutan.

"Pakej pertama ialah pakej lawatan sehari berharga RM90 seorang, pakej kedua pula penginapan dua hari satu malam (RM180) dan pakej ketiga ialah penginapan tiga hari dua malam (RM260)," jelasnya ketika ditemui di kampung berkenaan baru-baru ini.

Menurutnya, kesemua pakej tersebut turut merangkumi makanan dan aktiviti.

"Ketiga-tiga pakej itu sesuai untuk kumpulan 20 orang hingga 40 orang dalam satu-satu masa.

"Antara aktiviti yang kami tawarkan ialah melawat sekeliling kampung menggunakan kenderaan khas iaitu Kampung Joy Ride," katanya.

Pengunjung juga berpeluang menyaksikan sendiri bunga Rafflesia yang terletak di kawasan Hutan Lipur Lata Jarum.

Malah, pengunjung juga berpeluang merasai kesejukan dan kesegaran air terjun di situ sama ada untuk berkelah atau mandi-manda bersama keluarga.

Anugerah

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Peruas, Jamaluddin Husin berkata, Anugerah Ilham Desa Peringkat Kebangsaan 2013 yang diterima pada November tahun lalu sebagai bukti penduduk luar bandar turut berpeluang menjana ekonomi yang mapan.

Katanya, ramai dalam kalangan pelancong teruja dengan keindahan semula jadi yang ditawarkan selain keramahan penduduk di kampung ini.

"Kami menganggap pelancong sebagai saudara kandung sendiri sekali gus membuatkan mereka lebih gembira dan selesa berada di sini.

"Walaupun ada dalam kalangan pelancong asing bertutur dalam bahasa Inggeris, ia tidak menjadi halangan untuk kami meneruskan program.

"Meskipun begitu, berlaku juga kejadian lucu apabila melihat penduduk kampung gigih untuk berturut dalam bahasa Inggeris," katanya.

Jamaluddin berkata, pelaksanaan program inap desa ini juga membuka peluang pekerjaan kepada golongan belia di kawasan itu.

"Selepas ini, anak jati di kampung ini tidak perlu lagi ke bandar untuk mencari pekerjaan sebaliknya boleh memulakan kerjaya di sini terutama dalam bidang perniagaan dan pelancongan," jelasnya ringkas.

Sumber: Kosmo! Online

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::