Strawberi Kampung Taman Sedia

Kampung Taman Sedia di Cameron Highlands antara penempatan orang Melayu di kawasan tanah tinggi itu.

Menurut cerita diperturunkan secara lisan dari generasi ke satu generasi, kampung ini adalah sebuah taman yang sangat indah dan ditumbuhi bunga liar serta tumbuhan menjalar yang cantik sehingga menjadi tempat permainan puteri bunian.

Selain itu, alur sungai yang amat jernih dan dingin selain hidupan liar seperti rusa bebas bermain di taman itu.

Pengerusi Kampung Taman Sedia, Rostam Odin, berkata penempatan itu dikenali Kampung Taman Sedia yang bermaksud taman tersedia.

Taman itu mulanya terdiri dari 48 lot dengan tiap satu seluas 0.25 ekar dan ditambah empat lot menjadikannya 52 rumah dengan jumlah 400 penduduk.

Menurutnya, Kampung Taman Sedia adalah penempatan orang Melayu pertama di Cameron Highlands yang dibuka secara bergotong royong pada 1959.

“Penempatan itu dimajukan sebagai perkampungan oleh Lembaga Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) pada 1969 dan dirasmikan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah pada 11 September 1974,” katanya.

Sudah namanya inap desa, pengunjung pastinya berpeluang mengunjungi beberapa kebun strawberi berkonsepkan agro perlancongan seperti KHM Strawberry Farm, Al-Mashoor Strawberry Farm, YZ Strawberry Farm , Opah Strawberry Farm dan juga Ros Strawberry Farm.

Deretan tanaman strawberi dalam kebun yang diusahakan di sebelah kediaman penduduk menjadi kelebihan kerana pengunjung boleh menikmati hidangan berasaskan ‘buah kulit merah’ menerusi kiosk layan diri.

Perkampungan itu juga terkenal dengan jolokan Satu Daerah Satu Industri (SDSI) dan pastinya industri berasaskan strawberi menjadi keutamaan seperti jem, ais krim, halwa dan jus.

Selain strawberi, ada penduduk mengusahakan tanaman sayuran seperti kobis, kobis bunga, daun pudina, daun bawang, kacang buncis dan cili.

Sikap ‘murah hati’ pengusaha yang membenarkan pengunjung melawat kebun strawberi menjadi bonus kerana dapat melihat buah-buahan yang bergayutan atas para secara lebih dekat.

Bagi pengunjung yang berminat menginap di inap desa untuk menikmati suasana tenang damai desa di Cameron Highlands, Kampung Taman Sedia, mereka boleh mengikuti beberapa aktiviti riadah yang disediakan mengikut pakej.

Rostam berkata, antara inap desa yang menjadi tumpuan ialah Marina Chalet, Ros Chalet, MZ Homestay, Lily Homestay dan Al-Mashoor Homestay.

“Kampung ini turut menyediakan kemudahan surau, balai raya, asrama, chalet dan laluan pejalan kaki selain aktiviti mendaki gunung,” katanya.

Bagi peminat golf, mereka juga boleh menginap di sini kerana jarak antara kampung ini dan Kelab Golf Sultan Ahmad Shah (KGSAS) hanya bersebelahan taman itu.

Sumber: myMetro

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::