Jubah 4 Dalam 1 Ainon Kaman |
Menunaikan ibadah haji atau umrah menjadi impian umat Islam. Bagaimanapun, ia memerlukan persediaan rapi dari segi fizikal dan mental.
Begitu juga, pemilihan pakaian yang perlu dibawa ketika menunaikan ibadah tersebut terutama kepada wanita. Sekiranya pakaian dibawa dalam kuantiti yang banyak pasti memerlukan lebih banyak beg sekali gus menganggu kelancaran ibadah.
Justeru itu, pemilihan pakaian yang ringkas, menutup aurat, mudah dan selesa dipakai merupakan pilihan yang terbaik.
Melihat situasi tersebut, Aimon Kaman Marketing Sdn. Bhd. mengeluarkan jubah ibadah eksklusif Ainon Kaman inovasi terbaharu yang menawarkan keselesaan, ringkas, memudahkan pergerakan dan menutup aurat dengan sempurna.
“Jubah ini direka khas bagi memenuhi keperluan jemaah Muslimah ketika menunaikan ibadah haji atau umrah. Jubah 4 dalam 1 ini menggabungkan baju, seluar, telekung dan sarung lengan.
Pakaian ini tidak memerlukan ruang besar dan banyak untuk disimpan di dalam beg malah mudah dibawa dan mempercepatkan pergerakan jemaah.
“Jubah ini juga dapat mengatasi kesukaran Muslimah mencari tempat untuk menggantung tudung atau telekung ketika hendak mengambil wuduk. Ini kerana, pemasangan zip membolehkan tudung yang dibuka tergantung di belakang jubah,” kata Pengarah Urusannya, Nor’Adzimah Hassanuddin.
Keunikan jubah ini juga terletak pada kaf tangan yang boleh laras mengikut keselesaan pemakai, kaki seluar panjang yang bercekak di pergelangan kaki bagi mengelakkan meleret ke tanah selain mudah ditarik ke atas ketika mengambil wuduk.
Bahagian poket baju turut dipasang zip bagi mengelakkan barang-barang di dalamnya hilang.
Selain itu, rekaan bahagian muka telekung amat kemas tanpa perlu memakai anak tudung selain selesa dan sesuai bagi semua jenis bentuk muka.
“Rekaan jubah ini menggunakan fabrik yang ringan, mudah dibasuh dan tidak perlu digosok. Ia amat memudahkan musafir wanita kerana tidak perlu lagi membawa telekung secara berasingan terutama ketika menunaikan ibadah di Mekah,” katanya.
Ainon Kaman menawarkan jubah eksklusif ini dalam empat warna pilihan iaitu putih, hitam, kelabu dan coklat.
Sumber: Kosmo! Online