Kecekalan Usahawan Muda Sheikh Nafiq

Kejayaan yang dikecapi hari ini adalah bukti kesungguhannya sejak 13 tahun lalu. Usahawan muda ini tidak pernah kenal erti putus asa walaupun suatu ketika dihimpit kesukaran dalam mengendalikan syarikat telekomunikasi miliknya.

Mengakui bukan mudah untuknya berdiri sama tinggi dengan usahawan berjaya yang lain, namun berbekalkan prinsip tidak mudah mengalah, pemilik nama Sheikh Nafiq Alfirdaous Sheikh Abd Rahman, 33, kini sudah boleh tersenyum bangga.

Bermula dengan perniagaan kecil-kecilan sewaktu masih dalam pengajian di Universiti Multimedia, dia terus mengorak langkah dan kini berjaya memiliki syarikat telekomunikasi, perusahaan makanan tradisi, simpul kasih dan membeli beberapa rangkaian makanan Tutti Frutti di luar negara.

Semua itu dilakukan berdikit-dikit berbekal semangat inginkan kejayaan. Tidak hairanlah pada usia sebegitu muda, Sheikh Nafiq pernah merangkul Anugerah Belia Negara pada 2009.

“Saya amat berterima kasih kepada ibu bapa yang menjadi aspirasi terhadap kejayaan saya hari ini.

“Saya melihat kegigihan mereka sejak kecil lagi. Walaupun mereka ada pekerjaan tetap ketika itu, namun meniaga seolah-olah memberi kepuasan terhadap mereka. Rasa itulah yang membuatkan saya juga ingin berniaga,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Holiday Villa, Jalan Ampang.

Ruang pejabat dibeli setelah menyewa bilik di kawasan sama sejak memulakan perniagaan.

“Tidak ada jalan mudah untuk berjaya. Saya pernah menyewa bilik dalam ruang pejabat orang lain kerana tidak mampu. Tapi, dengan usaha saya bersama dua lagi kakitangan ketika itu, kami sama-sama berusaha untuk terus memajukan syarikat telekomunikasi.

“Saya mendapat kepercayaan beberapa agensi kerajaan bagi menyediakan peralatan telekomunikasi,” katanya.

Modal pertama daripada keluarga

Mengakui bukan mudah untuk membuka perniagaan lebih-lebih lagi pada usia 25 tahun, Sheikh Nafiq mendapat kepercayaan penuh daripada ayah dan arwah datuknya yang melihat potensi bidang telekomunikasi boleh berkembang dengan baik.

“Mereka memberi wang modal sebanyak RM150,000 untuk saya memulakan perniagaan ini.

“Ia cabaran besar kerana saya perlu buktikan kemampuan diri kepada keluarga. Jadi saya berusaha keras dan akhirnya dapat kembali wang modal berkenaan, tetapi ayah dan arwah datuk saya tidak mahu mengambil wang itu dan mahu saya meneruskan kerjaya ini,” katanya.

Setapak demi setapak, Sheikh Nafiq sudah boleh berbangga apabila bermula dengan dua kakitangan, kini sudah mempunyai hampir 30 kakitangan mengendalikan syarikatnya.

“Saya rasa 30 itu sudah mencukupi. Saya mahu lahirkan pekerja yang serba boleh dan tidak terhad kepada satu-satu kemahiran sahaja.

“Kerana itu, saya tidak ada ramai pekerja kerana yang sedia ada mampu melakukan pelbagai tugas kerana mereka berkemahiran,” katanya.

Mengimbau sewaktu di awal perniagaannya, Sheikh Nafiq berkata, berniaga sewaktu belajar bukan perkara mudah, namun kecekalan dan minat mendalam membuktikan segala-galanya dapat diatasi.

“Dalam tempoh belajar dulu, saya pernah menyertai Pameran Komputer Peringkat Negeri Melaka yang diadakan di dewan universiti tempat saya belajar. Dalam tempoh tiga hari, saya dapat tempahan 90 buah komputer. Sejak itu saya tahu, kalau kita rajin berusaha pasti akan ada hasil,” katanya.

Kuih tradisi ke luar negara

Sheikh Nafiq yang juga merupakan graduan Harvard Business School dalam jurusan pengkhususan perniagaan, pemasaran dan kewangan telah membuat perubahan drastik terhadap perniagaan keluarganya iaitu popiah simpul.

“Saya percaya pada penjenamaan semula. Jadi, saya tukar nama popiah tu kepada simpul kasih. Saya mula meletakkan kuih yang sebelum ini hanya popular pada musim perayaan di pasar raya besar untuk menjadi kudapan pada setiap masa.

“Alhamdulillah, kebanyakan pasar raya besar menerima baik walaupun perlu melalui pelbagai syarat ketat. Tidak setakat itu, malah saya menjualnya hingga ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Sungguhpun, mendapat respons positif dan menerima tempahan yang banyak, namun Sheikh Nafiq tidak dapat melunaskan permintaan itu memandangkan tidak menemui mesin yang boleh membuat kuih tersebut.

“Sudah banyak tempat saya merantau mencari mesin yang boleh membuat kuih ini lebih mudah demi memenuhi permintaan, tetapi tidak ada. Biarpun sedikit kecewa, tetapi saya tidak berputus asa dan akan terus mencari,” katanya.

Tidak hanya itu, Sheikh Nafiq turut membuat pelaburan dalam syarikat minyak dan gas sebagai mengembangkan perniagaan yang ada.

“Orang kata, tak mungkin, apa yang ada selamanya begitu. Ada peluang terbuka depan mata, saya akan terus mengorak langkah,” katanya.

Mengakui mendapat saingan hebat khususnya bukan daripada kalangan Bumiputera, Sheikh Nafiq mempunyai strategi sendiri untuk sama-sama mengusahakan perniagaan seperti ini.

Sheikh Nafiq membuktikan dia antara usahawan Bumiputera berjaya walaupun bersaing dengan ramai lagi yang menjalankan perniagaan sama.

“Saya tidak pernah anggap pesaing adalah musuh, sebaliknya jadikan mereka sahabat dan sentiasa memberi dan menerima setiap kekurangan.

“Itu adalah kunci kejayaan. Saya sentiasa belajar dan bertukar pandangan dengan mereka. Cara ini akan membuatkan setiap perniagaan jadi lebih baik,” katanya.

Selalu memburu dalam berniaga

Sepanjang 12 tahun mengabdikan diri sebagai ahli perniagaan, Sheikh Nafiq tidak pernah menganggap ia sebagai perkara main-main.

Baginya, dalam perniagaan perlu ada rasa untuk memburu. Itu yang diamalkan supaya tidak rasa selesa dengan apa yang ada ketika ini.

“Saya selalu tekankan pada kakitangan saya supaya memburulah ketika kenyang. Itu lebih baik daripada berasa selesa dengan kejayaan diraih. Saya rasa perkara itu tidak merugikan apa-apa kerana kita tidak tahu apa nasib kita pada masa depan,” jelasnya.

Katanya, perniagaan hari ini adalah untuk jangka masa tiga atau empat tahun lagi, dan yakin dengan cara ini, akan tahu kemampuan dirinya.

“Sediakan payung sebelum hujan adalah prinsip terbaik diamalkan dalam perniagaan. Perniagaan bukanlah sesuatu yang mudah. Dalam masa sama, peluang yang ada perlu diuruskan dengan baik. Jika mendapat untung yang banyak, agihkan kepada perkara penting dahulu. Jangan untung sikit, tetapi mewah berbelanja.

“Jika ada peluang, pergilah mohon bantuan daripada institusi kewangan kerajaan. Ia lebih baik daripada cuba menguruskan sendiri,” katanya.

Sumber: Sinar Harian Online

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::