MSU Young Scientist Challenge 2015

Management & Science University (MSU) melalui jabatan International and Collegiate me­ng­anjurkan MSU Young Scientist Challenge 2015 edisi kedua bermatlamat memperkasakan ja­ti diri pelajar sekolah dengan tumpuan kepada perkembangan individu yang kompetitif dan dinamik.

Pertandingan yang disertai 735 pelajar dari 54 sekolah mene­ngah di sekitar Selangor, Wilayah Persekutuan, Perak dan Negeri Sembilan ini juga bertujuan melahirkan pelajar yang dilengkapi kemahiran berfikir aras tinggi.

Dalam pertandingan ini, 149 pasukan yang dianggotai lima orang bagi setiap pasukan perlu melalui dua fasa cabaran iaitu Eksplorasi dan Trivia Sains bagi menggalakkan peserta menguasai ilmu sains dan ketrampilan teknologi melalui pendedahan awal tentang kerjaya dalam bidang sains.

Pasukan Fantastic Five Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Tun Dr Ismail muncul juara keseluruhan untuk membawa pu­lang hadiah baju makmal, trofi, pingat, wang tunai RM1,000, biasiswa bernilai RM15,000 dan percutian selama tiga hari dan dua malam ke Jakarta, Indonesia.



Naib johan disandang pasukan Ariel SMK Seafield yang meraih pingat, wang tunai RM800 dan biasiswa bernilai RM15,000 manakala pasukan Valiants Maktab Tentera DiRaja pula menduduki tempat ketiga.

Hadiah tempat ketiga adalah pingat, wang tunai RM600 dan biasiswa bernilai RM10,000.

Kategori peserta terbaik lelaki dimenangi Amirul Ariffi Khalid dari Sekolah Menengah Agama (SMA) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Mumtaz Deeyanah Mohd Razif wakil MRSM Gemencheh meng­ungguli kategori peserta terbaik perempuan.

Majlis penutup pertandingan dan penyampaian hadiah disempurnakan Presiden MSU, Profesor Tan Sri Dr. Mohd Shukri Ab Yajid.

Antara sekolah yang mengambil bahagian termasuklah Sekolah Menengah Sains (SMS) Selangor, Kolej Tunku Kurshiah, MRSM Kuala Kubu Baru, SMS Tapah, SMS Alam Shah, SMK St. John, SMK Bukit Bandaraya, SMK Ami­nuddin Baki dan Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::