Perkhidmatan Hiasan Rumah Belka Marketing

Syarikat pembekal produk dan perkhidmatan hiasan rumah, Belka Marketing melembarkan sayap ke Pantai Timur apabila membuka cawangan baharu di Star City, Mentakab, Pahang baru-baru ini.

Belka merupakan penyedia perkhidmatan menghias dinding, rumah dan premis perniagaan dengan menggunakan fiber kapas sebagai lapisan alternatif bagi menggantikan cat atau kertas dinding.

Menerusi pembukaan cawangan baharu itu, ia sedikit sebanyak dapat membantu memudahkan pengguna dan kontraktor memperoleh bekalan Belka.

Pengurus Cawangannya, Jason Tee berkata, pembukaan cawangan baharu itu merupakan yang pertama seumpamanya di Pantai Timur.

“Pembukaan cawangan ini dapat membantu pengguna dan kontraktor memperoleh bahan mentah, sekali gus menjimatkan kos dan masa perjalanan mereka.

“Sebelum ini, pengguna dan kontraktor dari Kelantan, Terengganu dan Pahang perlu ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan bekalan. Jadi, menerusi pembukaan cawangan baharu ini, saya harap permintaan terhadap Belka akan terus meningkat,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Cawangan baharu itu turut menempatkan galeri pameran bagi memudahkan orang ramai melihat dengan lebih dekat dan merasai sendiri lapisan Belka.

Terang Jason, pihaknya cuba mengetengahkan konsep galeri seni di cawangan tersebut bagi menarik minat penduduk tempatan yang kebanyakan terdiri daripada golongan pendapatan sederhana.

“Di cawangan ini, kami sengaja menggunakan konsep ala-ala sebuah galeri seni yang menampilkan beberapa imej berbentuk seperti lukisan.

“Ia bagi menarik minat pembeli di kawasan ini kerana ia lebih murah berbanding lukisan sebenar,” terangnya.

Keistimewaan

Antara imej yang dipamerkan di galeri tersebut termasuklah, penyanyi pop terkenal, Michael Jackson, Menara Eiffel dan burung merak.

Sementara itu, Pegawai Pemasaran Belka, Calvin Tan menerangkan, produk itu dihasilkan menggunakan teknologi dari Australia dan 100 peratus dibuat daripada bahan semula jadi.

Jelasnya, Belka juga mempunyai beberapa ciri istimewa antaranya ialah kedap bunyi, antistatik terhadap habuk, mengekalkan suhu bilik dan kalis api.

“Belka adalah alternatif kepada cat biasa namun, ia dilengkapi dengan ciri-ciri menarik yang sangat didambakan oleh pengguna.

“Selain itu, lapisan kapas ini tidak mengeluarkan bau bahan kimia sewaktu pemasangan seperti kebanyakan cat lain dan cara menggunakan juga senang,” ujar Calvin.

Terang Calvin lagi, inovasi lapisan kapas baharu untuk bahagian dalaman bangunan itu menjanjikan ketahanan selama 10 tahun.

“Kebanyakan cat biasa atau kertas dinding memberikan jaminan selama lima tahun tetapi Belka menjanjikan ketahanan untuk tempoh satu dekad.

“Ini kerana, produk Belka menggunakan bahan semula jadi yang tahan lama seperti keberkesanan daya lekatan kanji yang telah digunakan sejak dahulu.

“Tambahan pula, produk kami mengekalkan tahap pH alkali iaitu pH7 yang bertindak sebagai antiserangga,” katanya.

Selain itu, rumusan lapisan kapas dinding tersebut juga bertindak sebagai kalis api kerana tidak mengandungi bahan-bahan kimia seperti campuran petroleum atau bahan tambahan minyak lain yang diketahui merupakan bahan mudah bakar, sekali gus meningkatkan risiko kebakaran.

Calvin berkata, pilihan baharu itu mempunyai ciri fleksibel yang boleh disapukan pada semua jenis permukaan seperti kaca, simen, fabrik, besi dan kayu.

Pengguna tidak perlu bimbang untuk menyediakan permukaan yang rata kerana sapuan lapisan kapas akan memenuhi setiap ruang yang berlubang.

Pihaknya mendapati, kira-kira 60 peratus suhu rumah dinyahkan menerusi siling dan dinding.

Bagaimanapun, lapisan kapas itu dihasilkan dengan sifat penebat haba bagi mengekalkan suhu dalaman bangunan pada waktu hujan atau panas.

Belka menawarkan lapisan kapas dinding dengan pilihan warna sebanyak 60 jenis pada harga RM600 untuk 10 kilogram. Setiap kilogram boleh meliputi dinding berukuran dua hingga 2.4 meter persegi.

Bagi pelanggan yang tidak mahir untuk menggunakan pelapis kapas ini, tunjuk ajar akan diberikan secara percuma dan perkhidmatan pemasangan juga disediakan.

Lapisan ini perlu dikeringkan selama 12 hingga 48 jam untuk ketahanan lebih lama.

Sumber: Kosmo! Online

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::