dr Mak Rony Grilled Burger

Membina empayar perniagaan dalam tempoh tiga tahun memang menakjubkan bagi individu yang tidak ada ilmu dalam bidang itu.

Bagi Rony Hassan, pembabitannya dalam perniagaan makanan berlaku selepas 25 tahun terbabit dalam industri pelancongan.
Atas dorongan suami, Datuk Nik Hassan Shuhaimi Nik Abd Rahman, beliau mengeluarkan modal membuka perniagaan makanan sejuk beku.

Syarikat itu, dr Mak Frozen membekalkan produk daging perap kepada restoran makanan Barat.

Kepercayaan diberikan pengendali restoran menyebabkan produk dagingnya diakui istimewa dan enak.

Rony yang juga pe­ngarah urusan syarikat itu berkata, minat mendalam dalam bidang makanan menyebabkan dia memilih perniagaan itu.

“Mulanya saya hanya menggunakan nama dr Mak Frozen untuk menjual daging sejuk beku dan perapan daging kepada restoran makanan Barat.

“Kami mengkhusus kepada bisnes sejuk beku kepada kebanyakan restoran ternama di Shah Alam, Kuala Lumpur dan Bangi,” katanya.

Ibu kepada empat anak itu berkata, semua bekalan daging diimport dari Australia dan New Zealand.

“Dari segi bekalan, kita import daging dari dua negara ini. Memandangkan kami tidak mempunyai sebarang permit membawa daging, jadi saya berkongsi ruang kontena bersama rakan lain,” katanya.

Menariknya, selain membekalkan daging kepada restoran, syarikatnya juga menghasilkan kambing perap.

Produk ini sedia untuk dimasak bagi mereka yang sibuk bekerja dan mahu menyediakan masakan.

“Kami turut mencipta sos istimewa diperap bersama daging,” katanya.

Kaedah pembakaran dagingnya cukup mudah dengan hanya perlu me­nyediakan kuali tidak melekat, manakala tempoh masa pendek untuk menyediakan makanan itu.

“Letak dua tiga minit dan boleh makan. Daging kambing yang kami perap sangat istimewa kerana lembut dan menggunakan anak biri-biri,” katanya.

Dibantu seorang tukang masak berpengalaman dari hotel bertaraf lima bintang yang meng­khusus dalam makanan Barat, syarikat itu juga menghasil­kan sos perapan istimewa.

“Pertamanya kita punya sos untuk di kedai dan perapan untuk kambing.

“Kita ada sos cendawan dan lada hitam untuk kambing dan ia adalah ramuan rahsia yang ada di kedai ini dan diolah tukang masak berpengalaman luas,” katanya.

Kini, syarikat berkenaan meluaskan perniagaan terbabit dengan memperkenalkan produk perniagaan francais berjenama dr Mak Rony yang mengkhusus kepada perniagaan burger bakar.
Produk subsidiari di bawah seliaan anak sulungnya, Muhamad Zulqarnain Sharipuddin, 21, itu kini melalui fasa pengembangan dengan usaha sama projek dijalankan bersama Bank Perusahaan Kecil & Sederhana Malaysia Bhd (SME Bank).

Menurutnya, lima produk burger bakar dihasilkannya sangat istimewa dan berbeza dengan produk lain terdapat di pasaran.

Produk dijual menggunakan bahasa Argentina seperti ‘solatare’ bermaksud sekeping, ‘gamela’ (berkembar) dan ‘la gendral lamb’ untuk umum.

Menerusi projek francaisi kata­nya, peluang terbuka kepada golongan belia menyertai bidang keusahawan menerusi Dana Usahawan Muda (YEF).

Anak kelahiran Balik Pulau, Pulau Pinang ini berkata, produk francais yang ditawarkan menjanjikan pulangan lumayan.

“Ketika ini perniagaan berbentuk karavan disediakan termasuk pengubahsuaian van, barangan keperluan untuk memulakan perniagaan.

“Perniagaan bergerak ini memberi peluang kepada usahawan muda meraih pendapatan kira-kira RM1,000 hingga RM1,500 sehari dengan purata jualan 150 daging bakar,” katanya.

 
Sumber: myMetro

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::