Felda Residence Hot Springs

Seorang lelaki sedang mengangkat telur yang direbusnya di dalam air panas. Satu persatu telur tersebut diletakkan ke dalam bekas lain sebelum ia dinikmati bersama rakan-rakannya.

Itulah antara keunikan Felda Residence Hot Springs, Sungkai, Perak yang menawarkan mata air panas semula jadi. Suhunya yang mencecah 98 darjah Celcius membolehkan aktiviti seperti merebus telur dilakukan di kawasan tersebut.

Terdapat hampir 200 punca mata air panas di kawasan tersebut yang dikatakan baik untuk kesihatan seperti mengatasi masalah kulit, tekanan, lenguh-lenguh badan, otot dan radang sendi.

Lebih menarik, kawasan tersebut mempunyai kemudahan untuk orang ramai mandi atau berendam di kolam air panas, merendam kaki atau sekadar berjalan di atas batu refleksologi.

“Para pengunjung bukan sahaja teruja melakukan kesemua aktiviti tersebut, malah alga di kawasan air panas ini juga mempunyai khasiat yang baik untuk kulit.

“Hanya ambil alga di dalam air, hancurkan di tapak tangan dan seterusnya sapu di muka, tangan dan kaki. Hasilnya kulit menjadi cerah dan lembut,” kata Said Saad yang merupakan pemandu pelancong di kawasan tersebut.

Bagi pengunjung yang mahukan aktiviti berendam atau mandi di kolam air panas secara privasi, Felda Residence Hot Springs turut menawarkan kemudahan tersebut.

Lebih menarik, di kolam tersebut turut disediakan bilik istirehat dengan beberapa unit mempunyai pendingin hawa. Air di dalam kolam juga boleh dipanaskan atau disejukkan mengikut kemahuan pengunjung.

Tumpuan

Berlatarbelakangkan Banjaran Titiwangsa dan kehijauan tumbuhan, Felda Residence Hot Springs turut menawarkan kemudahan mandi-manda dengan sumber airnya dari gunung berhampiran.

Justeru itu, tidak hairanlah kolam mandi utama ini menjadi tumpuan pengunjung terutama mereka yang berkeluarga. Keluasan kolam juga agak lebar dan terbahagi kepada dua kedalaman iaitu sesuai untuk keluarga dan dewasa.

Gelak riang kanak-kanak dan golongan remaja jelas kedengaran di kawasan kolam utama ini terutama pada hujung minggu dan cuti persekolahan.

Turut disediakan kemudahan seperti dua tempat gelongsor, air pancut, kanopi untuk istirehat dan gerai.

Berdekatan dengan kolam air panas terdapat kawasan rekreasi hutan terutamanya bagi mereka yang sukakan aktiviti meredah hutan.

Untuk penginapan, tidak perlu risau kerana hanya berjalan kaki beberapa minit, orang ramai boleh menyewa vila atau bilik Deluxe dengan kadar bayaran yang berpatutan.

Vila pula terdiri daripada satu, dua, tiga dan enam bilik dengan kadar bayaran bermula dari RM500 semalam.

Antara kemudahan yang disediakan di kawasan hotel termasuk spa, sewa payung, basikal, peti simpanan, perkhidmatan servis bilik, taman dan restoran.

Selain itu, bagi yang datang berkumpulan, mengadakan seminar, bengkel dan hari keluarga, Felda Residence Hot Springs turut menyediakan pakej-pakej menarik merangkumi penginapan, makanan, tiket ke kolam air panas dan aktiviti.

Sumber: Kosmo! Online

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::