Anyaman Rotan Jaya |
Mengusahakan perniagaan berasaskan rotan bukanlah cita-citanya, namun kerana berpegang teguh wasiat arwah abangnya, kini perusahaannya semakin maju.
Kini, Mohd Ismail Haron, 46, dari Muar, Johor satu-satunya usahawan rotan yang masih kekal di Negeri Sembilan.
Pemilik syarikat Rotan Jaya ini berkata, cita-cita asalnya menjadi guru agama, justeru dia belajar di Sekolah Pondok Madrasah Asshamsuddiniah di Muar, Johor sehingga berusia 22 tahun.
Pada 1986, arwah abangnya, Abdul Rashid, membuka perusahaan rotan di Kampung Kuala Jemapoh selain menjadi tenaga pengajar di Institut Kraftangan Kuala Pilah.
Begitupun, takdir menentukan apabila dia meninggal dunia dalam nahas jalan raya pada Disember 1990.
Katanya, pada 2007 dengan modal RM15,000, dia memindahkan perniagaan itu di lokasi baru, kira-kira 300 meter dari premis asal dengan membuka sebuah bengkel kecil di tanah seluas kira-kira 0.1 hektar.
“Pada masa itu hanya ada mesin pemotong rotan dan kerja lain menggunakan tangan.
“Saya mengambil dua pekerja mahir dari Filipina kerana mereka mempunyai kepakaran dalam anyaman rotan.
“Saya juga belajar daripada mereka di samping menjalani kursus di Institut Kraftangan Kuala Pilah,” katanya.
Katanya, bekalan bahan mentah rotan diperoleh terus daripada pembekal di Jelebu dan Dangi.
“Rotan-rotan ini sudah diawet dan direbus dengan diesel supaya tahan lama dan harganya agak mahal,” katanya.
Ismail juga memberi peluang kepada penduduk setempat khususnya wanita dan ibu tunggal mempelajari kelas anyaman rotan secara percuma.
“Selepas mahir, saya akan bekalkan mereka dengan bahan mentah untuk produk anyaman dan ini memberi peluang menambah pendapatan,” katanya.
Dia hanya mempunyai seorang pekerja mahir tempatan yang mengendalikan bengkelnya.
“Begitupun, bengkel saya sekarang kerap menerima pelajar dari Institut Kraftangan Negara (IKN) untuk menjalani latihan sambil belajar.
“Sejak 2004, bengkel ini melahirkan 80 pekerja mahir menghasilkan produk berasaskan rotan,” katanya.
Katanya, syarikatnya sering diundang mengikuti ekspo di seluruh negara seperti Ekspo Hari Kraft Kebangsaan dan Mini MAHA (Pameran Pertanian Holtikultur dan Agro Pelancongan).
“Produk rotan ini memang sinonim dengan hotel, resort dan chalet. Sebab itu syarikat menerima banyak tempahan dari hotel di Port Dickson dan Langkawi, Kedah.
“Selain itu, produk kami juga mendapat tempahan melalui Internet. Kraftangan Malaysia juga mengiktiraf produk Rotan Jaya setanding kualiti eksport,” katanya.
Bagi meningkatkan pengeluaran, beliau melabur dengan membina bangunan baru yang mengandungi bilik pameran khas serta bengkel dilengkapi peralatan moden.
“Saya juga dalam proses membina bilik kediaman untuk pelajar praktikal,” katanya.
Sementara itu, Nasaruddin Mat Salleh, 38, yang juga satu-satunya pekerja mahir Ismail berkata, dia berterima kasih kepada majikannya itu kerana memberi peluang bekerja di Rotan Jaya.
“Saya merantau dari Terengganu dan sebelum ini bekerja di kilang getah di Kuala Pilah. Pada 2009 kilang getah tutup dan Ismail mengambil saya bekerja.
“Walaupun saya tidak pernah belajar mengenai anyaman, Alhamdulillah, kini saya mampu bekerja sendiri tanpa pengawasan Ismail,” katanya.
Rotan Jaya mendapat beberapa anugerah dan pengiktirafan dari beberapa agensi antaranya Anugerah Brigade Usahawan Berjaya Malaysia oleh Kementerian Perusahaan Malaysia pada 2004.
Sumber: myMetro