Pembenihan Ikan Kelah Merah |
Kekurangan spesies ikan kelah merah atau nama saintifiknya Tor tambroides di sungai dan tasik utama di negara ini menjadi pencetus kepada Jabatan Perikanan Malaysia menghasilkan benih ikan itu untuk dilepaskan ke perairan tempatan.
Kini, tugas menghasilkan benih spesies ‘raja sungai’ itu dipikul sepenuhnya Pusat Pengembangan Akuakultur Perlok (PPAP), Jerantut sejak 2006.
Dalam tempoh itu kira-kira 51,741 benih ikan dihasilkan bernilai lebih RM258,000.
Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Adnan Hussain berkata pihaknya mensasarkan 20,000 benih ikan kelah merah tahun ini berbanding 14,000 ekor tahun lalu.
Dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, 4,000 ekor dihasilkan.
Katanya, kini terdapat 1,000 induk betina dan jantan kelah merah berumur antara dua hingga lima tahun menjalani proses pembiakan cara aruhan dalam makmal sebanyak tiga kali setahun.
Semua induk mempunyai maklumat apabila ditanam cip dalam badan.
“Beberapa faktor seperti persekitaran, suhu, air dan kesesuaian menjadi antara penyebab kejayaan pembiakan cara aruhan sejak 2006 hanya mencapai 80 peratus.
“Induk betina kelah merah yang tidak banyak menghasilkan telur turut membataskan usaha PPAP menambah pengeluaran benih kerana ada induk hanya mampu menghasilkan tiga hingga lima telur,” katanya.
Telur yang disenyawakan hanya menetas selepas tiga hari dalam tangki khas dan ia akan berada dalam tangki makmal hingga berusia setahun sebelum dilepaskan ke sungai.
Adnan berkata, PPAP kini muncul pengeluar tunggal benih kelah merah di negara ini.
Katanya, jabatan tidak mengedarkan benih kelah merah kepada individu sebaliknya melepaskan ke perairan utama seperti Sungai Pahang, Pekan, Sungai Belat, Kuantan dan Sungai Tembeling, Jerantut.
Timbalan Ketua PPAP, Hairul Effendy Adzmi berkata, pusat itu membeli anak kelah merah bersaiz 2.50 sentimeter daripada pembekal dengan harga RM15 hingga RM20 seekor.
Beliau berkata, anak kelah merah akan ditempatkan dalam kolam tanah dengan penjagaan rapi, selain diberi pelet apabila mencapai umur matang.
Induk betina boleh dikenal pasti seperti pipinya lebih lembut dan licin apabila dipegang berbanding induk jantan.
“Induk jantan dan betina akan ditempatkan dalam tangki berbeza bagi memudahkan suntikan hormon dan selepas 10 jam proses mengeluarkan telur daripada induk betina dan sperma daripada induk jantan boleh dilakukan,” katanya.
Selepas telur dan sperma disenyawakan, telur akan ditempatkan di atas dulang jaring halus dalam tangki.
Dalam tempoh tiga hari telur akan menetas dan menghasilkan anak kelah atau rega,” katanya.
Katanya, PPAP turut menumpukan kepada usaha penghasilan benih ikan temoleh atau tamalian.
“Dalam tempoh 10 tahun, kami menghasilkan 309,700 benih temoleh bernilai RM619,000 dengan 70 hingga 80 peratus kejayaan pembenihan,” katanya.
Benih temoleh turut dihasilkan Pusat Pengembangan Akuakultur Sungai Perak.
“Tahun lalu kami mengeluarkan 118,230 benih spesies itu dan ikan itu antara spesies ikan terbesar di sungai dan hanya bertelur setahun sekali saja iaitu di antara Januari hingga Mac.
“Di PPAP, ikan itu bertelur di antara November hingga Februari,” katanya.
PPAP turut menyediakan kursus dan latihan jangka pendek kepada individu yang berminat menceburi industri pengeluaran benih ikan air tawar.
“Kejayaan mereka membantu menampung permintaan benih ikan yang sentiasa bertambah setiap tahun.
“Kita juga akan membeli anak ikan kelah daripada penduduk kampung untuk dijadikan induk, ikan kelah merah yang mencapai berat antara sekilogram hingga lima kilogram sesuai dijadikan induk,” katanya.
Sumber: myMetro