Keunikan Teh Gaharu

Teh yang dahulunya digunakan sebagai minuman kesihatan bagi golongan kerabat dan bangsawan di China kini mampu dimiliki masyarakat apabila dikomersialkan sepenuhnya di negara ini sejak 2011.

Pokok gaharu atau dikenali sebagai ‘chen xiang’ di China hanya diketahui umum sebagai bahan penting pembuatan produk wangian.

Namun, tidak ramai tahu pokok gaharu boleh dikomersialkan sebagai minuman teh untuk kesihatan.

Pemilik Ladang Gaharu Tea Valley Gopeng dan syarikat Gaharu Technologies Sdn Bhd, David Ho Kwan Meng berkata, daun serta ranting pokok gaharu boleh dijadikan bahan utama menghasilkan produk minuman teh.

Malah, teh gaharu yang dihasilkan di tanah seluas 120 hektar itu turut mempunyai pelbagai keistimewaan berbanding tanaman teh lain.
“Selain rasanya yang lazat, teh daripada pokok gaharu ini mengubati pelbagai penyakit seperti gout, kencing manis dan darah tinggi.

“Berdasarkan perubatan purba China, 4,000 tahun lalu, ekstrak teh gaharu membantu melancarkan peredaran darah serta me­nguatkan sistem pertahanan badan.

“Malah, jika diamalkan pengambilan ekstrak gaharu secara berterusan, ia mampu menyingkirkan toksin dalam tubuh selain membantu ejen antipenuaan bagi wanita,” katanya.

Menurutnya, teh gaharu juga diperakui dapat mengubati penyakit prostat dan masalah kencing tidak lawas bagi kebanyakan lelaki lanjut usia.

Menurutnya, penggunaan tanaman gaharu sebagai bahan utama dalam produk minuman sudah ditemui sejak 3,000 tahun lalu di negara Asia Barat, China dan Jepun.

“Saya bertuah kerana menjadi antara yang terawal mendapat biji benih pokok gaharu yang diberikan rakan baik di Jepun kira-kira 21 tahun lalu.

“Malah, saya memiliki 36 resipi dan formula untuk menghasilkan produk berasaskan pokok gaharu,” katanya.

Menurutnya, penghasilan teh gaharu tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya tanpa ilmu kerana sebanyak 12 jenis pokok diperlukan bagi menghasilkan bahan teh bermutu.

“Di dunia terdapat hanya 17 jenis pokok gaharu yang hidup di Asia Tenggara.

“Namun, hanya 12 jenis boleh diekstrak menjadikan teh yang baik untuk kesihatan manusia,” katanya.

Menurutnya, keistimewaan tanaman gaharu miliknya terletak pada jenis gaharu itu sendiri dan ia daripada hasil kacukan atau ‘Hybrid’ daripada 12 jenis pokok gaharu yang terpilih.

“Semua 12 jenis pokok gaharu ini disatukan secara kacukan bagi penghasilan teh berkhasiat,” katanya.

Pada masa sama, ladangnya turut menghasilkan 80 peratus pengeluaran kayu gaharu negara dan mendapat pengiktirafan Jabatan Pertanian dan Perhutanan Negara.

Katanya, proses tanaman pokok gaharu dilakukan secara bersistematik dan mengikut piawaian antarabangsa.

Produk yang dihasil­kan dijamin selamat kerana semua pokok gaharu menggunakan bahan organik sepenuhnya.

“Kami menggunakan baja kompos daripada cacing tanah bagi menyuburkan tanah secara semula jadi.

“Sebahagian sampel daun gaharu yang ditanam turut dihantar ke makmal Universiti Sains Malaysia (USM) untuk penyelidikan,” katanya.

Sehingga kini, seba­nyak 200,000 pokok ditanam di tanah seluas 120 hektar dan 19 peratus dieksport ke Asia Barat, Taiwan, Jepun, Hong Kong dan Korea.

Sumber: myMetro
Foto: Gaharu

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::