Tempoyak Jana Pendapatan |
Bagi memastikan lambakan durian tidak terus berlaku setiap kali kemuncak musim buah itu, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menggalakkan pekebun menghasilkan tempoyak.
Selain mengelak pembaziran, ia turut menyumbang pendapatan tambahan kepada pekebun.
Kos pengangkutan yang tinggi selain permintaan rendah terhadap durian jenis kampung menyebabkan pekebun di kawasan pedalaman gagal memasarkan buah itu.
Justeru, FAMA menggalakkan pekebun menghasilkan tempoyak setiap kali musim durian.
Pegawai Pusat Operasi FAMA Mohd Lukman Muhd Isa berkata, setiap tahun pihaknya membeli tempoyak pekebun di Pahang secara borong pada harga berpatutan.
Katanya, ternyata usaha dilakukan itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pekebun membabitkan beberapa kampung tradisional di kawasan Pahang Barat.
“Sebagai contoh, musim durian yang menyeluruh di Pahang Barat tahun lalu menyebabkan berlaku lebihan buah berkenaan terutama membabitkan jenis kampung.
“Justeru untuk membantu pekebun kita menyarankan mereka menghasilkan tempoyak.
“Menerusi projek itu, FAMA menyelamatkan lebih 60,000 biji durian jenis kampung daripada rosak selain memberi pendapatan tambahan kepada penduduk,” katanya.
Beliau berkata, tempoyak yang dipasarkan FAMA mendapat sambutan menggalakkan pelbagai pihak.
Justeru katanya, untuk memastikan tempoyak dihasilkan berkualiti dan terjamin kebersihannya, kursus jangka pendek diberikan FAMA kepada pekebun yang berminat.
“Selain kursus, kita juga membekalkan alat pengikat, sarung tangan getah dan plastik khas untuk tujuan membungkus sebelum dikumpul,” katanya.
Seorang pekebun, Zariman Abdullah, 42, berkata dia menghargai usaha FAMA membeli tempoyak dihasilkan selepas usaha memasarkan buah berkenaan tidak dapat dilakukan apabila pengeluarannya terlalu banyak.
Menurutnya, masalah lambakan durian jenis kampung dapat dikekang apabila kebanyakan pekebun menghasilkan tempoyak.
“Bagi memastikan tempoyak dapat dipasarkan kepada FAMA, pengusaha perlu menjaga kebersihan bagi mengekalkan kualiti.
“Saya berpuas hati dengan projek ini kerana ia dapat memberi pendapatan tambahan kepada pekebun,” katanya.
“Pekebun khususnya di Merapoh, Lipis kini tidak lagi bimbang dengan lambakan durian kerana mereka boleh membuat tempoyak untuk dijual kepada FAMA,” katanya yang mempunyai 30 pokok durian jenis kampong.
Dia yang juga ketua pusat pengumpulan tempoyak di Kampung Kubang Rusa, Merapoh, berkata masa depan pekebun durian jenis kampung yang sebelum ini gelap kini kembali cerah.
Zariman yang turut mengusahakan kebun getah berkata, sebelum ini pekebun tidak pernah terfikir agensi kerajaan seperti FAMA sanggup membeli tempoyak yang dihasilkan.
Menurutnya, apabila perusahaan tempoyak dapat dilakukan secara komersial, bermakna istilah pembaziran durian tidak akan berlaku kerana buah yang tidak berkualiti seperti bersaiz kecil dan pecah masih tetap berguna.
“Kini hampir semua hasil pertanian membabitkan buah-buahan dan produk makanan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) diterima FAMA dalam membela nasib rakyat seperti mana dijanjikan kerajaan.
“Tidak cukup dengan itu pelbagai bantuan kemudahan dan peralatan disediakan agensi berkenaan semata-mata untuk melihat lebih ramai masyarakat Melayu berjaya dalam bidang perniagaan,” katanya.
Sumber: myMetro