Sosej FaS Delicious Foods |
Tidak ramai memilih bidang perniagaan sebagai kerjaya utama selepas menamatkan pengajian di universiti.
Kekurangan modal dijadikan alasan meskipun sedar ramai yang hidup mewah dengan kerjaya itu.
Bagi Mohd Helmi Mohd Shaari, dia tidak kisah memilih kerjaya luar bidang, meskipun sedar tindakannya itu menjerat diri jika tersilap langkah. Atas faktor minat, pemegang Ijazah Sarjana Muda Elektrik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) ini memilih perniagaan makanan segera, mengeluarkan produk sosej, burger dan daging kisar.
Pengalaman ayahnya berkhidmat dalam bidang teknologi makanan bersama MARDI lebih 35 tahun memberi sedikit kelebihan kepadanya menceburi bidang itu.
Bersandarkan modal permulaan RM10,000 daripada ayahnya, siapa sangka perniagaan diusahakan di belakang rumah semakin dikenali terutama pengguna di Serdang, Bangi, Seri Kembangan dan Kajang.
Pengurus Besar FaS Delicious Foods itu berkata, bermula dengan ‘cuba-cuba’, dia memberanikan diri menguruskan syarikat hingga produk dihasilkan dikenali pengguna.
“Saya terfikir menghasilkan produk pada skala kecil dan mempunyai perancangan meningkatkan bilangan produk serta menambah bilangan mesin.
“Ayah tidak menggalakkan saya berniaga, tetapi saya minat memiliki ‘bisnes’. Mulanya memang saya tidak tahu nak bisnes apa, tetapi nampak potensi produk yang dihasilkan ayah secara kecil-kecilan di belakang rumah.
“Bermula sebagai peserta kursus anjuran agensi kerajaan, saya nampak banyak peluang pemasaran yang boleh diterokai dalam bidang makanan segera,” katanya.
Selain MARDI, Mohd Helmi dibantu Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Pertanian terutama dalam mempromosi, mendapatkan mesin dan pembangunan produk.
Kesediaan Mohd Shaari Nordin mengajar teknologi makanan kepada anaknya menjadikan produk keluaran syarikat lebih berkualiti.
Produk itu melalui fasa penyelidikan dan pembangunan (R&D) MARDI, malah diakui produk terbaik.
Syarikat itu kini menghasilkan sosej cili padi menggunakan resipi masak lemak cili padi.
Kini, syarikat itu beroperasi di lot kedai di Seri Kembangan dengan mengeluarkan 13 produk.
“Lima produk utama, sosej ayam cili padi, bologna ayam atau salami, bebola daging, sos spageti ayam dan sos spageti lembu.
“Produk lain seperti daging ayam kisar, daging lembu kisar, kuah kacang, rendang daging, burger ayam dan burger lembu,” katanya yang menghasilkan 10,000 pek sebulan.
Syarikat juga menyediakan kursus kepada belia mengenai teknik pembuatan sosej dan burger.
“Syarikat kami ada tiga cabang perniagaan iaitu jualan langsung, jualan produk dan kursus.
“Jika berminat berniaga tetapi tidak tahu bagaimana memulakannya, kami akan mengajar mereka teknik perniagaan pembuatan daging berskala kecil dan besar,” katanya.
Kegigihannya menarik minat Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengambilnya sebagai tenaga pengajar bagi usahawan Industri Asas Tani (IAT).
Perancangan masa depan, dia bercadang memperluaskan operasi syarikat menerusi pembukaan kilang di Klang, selain menembusi pasaran di seluruh negara.
Sumber: myMetro