Pakaian Pengantin Berinai Bridal |
Mengenakan sepasang busana yang paling sempurna pada hari penting menjadi impian setiap pasangan yang ingin berkahwin terutama wanita. Demi mencapai impian itu, kebanyakan bakal pengantin wanita sanggup meluangkan masa dan tenaga supaya imej yang ditonjolkan pada hari istimewa itu adalah yang terbaik.
Namun, bukan semua orang berkemampuan mengupah pereka fesyen bertaraf profesional untuk menghasilkan busana impian.
Mengambil kira elemen berfesyen terutama kepada golongan kelas pertengahan, Berinai Bridal mengetengahkan beberapa koleksi pakaian pengantin.
Ia bukan sahaja berpatutan dari segi harga tetapi pemilik butik, Sam Samin memastikan koleksi yang ditawarkan mengikut trend dan permintaan semasa.
Minat mendalam terhadap fesyen pakaian yang menyerlahkan kecantikan luaran si pemakai, lebih-lebih lagi busana yang menambah seri pada hari persandingan, mendorong Samin terlibat dalam bidang dandanan dan rekaan baju pengantin.
“Segala-galanya bermula pada tahun 2008 apabila saya membuka sebuah butik kecil. Ketika itu, saya membeli baju pengantin terpakai dan menyewakan semula. Saya kemudiannya mula memahami cita rasa dan keinginan pelanggan terutamanya golongan muda,” kata Samin ketika ditemui pada sesi fotografi di Hotel Palm Resort, Putrajaya.
Pakej lengkap
Dia yang menawarkan pakej lengkap perkahwinan mereka sendiri baju pengantin sebelum mengupah penjahit.
“Saya selalunya mendapatkan inspirasi rekaan pengantin berdasarkan pakaian-pakaian Barat terkini di pasaran. Kemudian, saya akan mengubah suai pakaian tersebut dan mereka semula mengikut kesesuaian pengantin beragama Islam,” katanya.
Pengaruh Barat juga menyebabkan kebanyakan rekaan baju pengantin Samin terdiri daripada dres berbanding baju kurung.
“Saya juga banyak melakukan penyelidikan dan suai padan mengikut keperluan serta kehendak pelanggan. Ini membolehkan saya memberikan pelanggan rekaan yang benar-benar segar dan baharu,” katanya lagi.
Lazimnya, warna-warna pilihan yang menjadi permintaan pengantin menurut Samin ialah rona lembut seperti putih, biru muda, merah jambu dan beige.
Namun, dia turut menerima tempahan warna-warna berani seperti hijau emerald, kombinasi warna hitam dan merah serta warna-warna terang.
Pada sesi penggambaran itu, Samin membawa koleksi baharu pakaian berwarna pastel dan lembut kecuali bagi warna hijau emerald yang turut mempunyai tarikan tersendiri.
Dari segi rekaan dan potongan baju, Samin memberitahu, hampir kesemua pelanggan ingin pakaian yang mengikut tubuh badan, ringkas atau aturan manik berat di bahagian tertentu dan berenda.
Potongan dres yang sedang hangat sekarang ialah potongan ikan duyung yang ketat sehingga ke bahagian separuh kaki dan kembang sama ada bertingkat atau dibiarkan beralun bebas.
“Terdapat juga permintaan untuk baju dres Muslimah iaitu berpotongan longgar dan kami di Berinai Bridal tetap menyempurnakan permintaan itu,” ujar Samin.
Berinai Bridal menawarkan pakej lengkap perkahwinan berharga dari RM15,500 termasuk baju pengantin, makanan, khemah dan pelamin kecuali tidak menawarkan khidmat fotografi serta DJ.
Sumber: Kosmo! Online