|
Pakaian Pengantin Berinai Bridal |
Mengenakan sepasang busana yang paling sempurna pada hari penting menjadi impian setiap pasangan yang ingin berkahwin terutama wanita. Demi mencapai impian itu, kebanyakan bakal pengantin wanita sanggup meluangkan masa dan tenaga supaya imej yang ditonjolkan pada hari istimewa itu adalah yang terbaik.
Namun, bukan semua orang berkemampuan mengupah pereka fesyen bertaraf profesional untuk menghasilkan busana impian.
Mengambil kira elemen berfesyen terutama kepada golongan kelas pertengahan, Berinai Bridal mengetengahkan beberapa koleksi pakaian pengantin.
Ia bukan sahaja berpatutan dari segi harga tetapi pemilik butik, Sam Samin memastikan koleksi yang ditawarkan mengikut trend dan permintaan semasa.
Minat mendalam terhadap fesyen pakaian yang menyerlahkan kecantikan luaran si pemakai, lebih-lebih lagi busana yang menambah seri pada hari persandingan, mendorong Samin terlibat dalam bidang dandanan dan rekaan baju pengantin.



