Cetusan Inovasi Cetakan 3D

Perkembangan arus modenisasi telah membuka ruang buat mesin pencetak menjadi keperluan dalam kehidupan seharian.

Tanpa mesin pencetak, pasti ramai yang akan menghadapi kesukaran untuk menyediakan dokumentasi atau mengabdikan kenangan di atas sekeping kertas.

Bermula daripada pencetak hitam putih hingga pencetak berwarna, penggunaan mesin pencetak masih relevan dan merupakan pelengkap untuk pelbagai bidang.

Hari ini produk pencetak telah melangkah setapak ke hadapan dengan kemunculan pencetak tiga dimensi (3D) sejak pertengahan tahun lalu yang membuka dimensi baharu industri pencetakan.

Inovasi pencetak 3D dilihat mampu mengisi lakuna dalam bidang inovasi malah ia juga membuka ruang kepada bidang perniagaan baharu serta mewujudkan hobi yang bermanfaat.

Sebagai peneraju produk mesin pencetak, RICOH (Malaysia) Sdn. Bhd. (RICOH) mempunyai perspektif yang sama berikutan keperluan pencetak 3D dalam kehidupan masyarakat.

Menurut Pengurus Pemasarannya, Winnie Lim, pencetak 3D menawarkan penyelesaian terbaik buat industri inovasi yang sering tergendala di peringkat penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Kami memahami masalah pereka inovasi yang sering berhadapan dengan pembuatan prototaip.

“Kos untuk menyediakannya menelan belanja hingga ribuan ringgit sebelum produk akhir dapat dipersembahkan kepada bakal pelabur,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Genovasi, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Tambahnya, inovasi bukan sahaja melibatkan produk malah, bidang seni bina turut mendapat manfaat melalui pembuatan model binaan yang mudah dan cepat.

Pencetakan 3D yang menggunakan filamen tahan lasak dan mesra alam membuatkan pereka mampu menyalurkan kreativiti tanpa batasan dalam setiap prototaip mereka.

Proses R&D prototaip bukan sahaja dapat dimudahkan malah, kos produk lebih jimat dan berkualiti.

Selain pelengkap dunia inovasi, pencetak 3D bakal menjadi trend baharu dalam kalangan masyarakat.

Bersifat moden dan futuristik, mencetak secara 3D merupakan aktiviti bermanfaat melalui pembuatan replika mahupun rekaan fesyen aksesori.

Aktiviti yang lebih cenderung kepada hobi tersebut merupakan pemangkin kepada proses pembelajaran yang menyeronokkan.

Seorang pengguna pencetak 3D, Ew Chee Guan, 45, minatnya terhadap hobi pembuatan replika seperti karakter kartun menjadi lebih mudah melalui cetakan 3D.

Perhatian

Menurutnya, selain membuat replika sebagai koleksi, Chee Guan juga turut menjadikannya sebagai hadiah buat saudara-mara mahupun sahabat handai.

“Rekaan menjadi lebih mudah malah perinciannya juga setanding dengan replika sebenar.

“Kemunculan pencetak 3D, pelbagai masalah seperti hiasan yang rosak mampu diselesaikan dengan cetakan semula,” jelasnya yang juga merupakan pemenang kategori individu, Pertandingan Imaginasi 3D anjuran RICOH.

Seiring pembuatan replika, dunia fesyen juga mampu menjadi perhatian melalui pencetak 3D. Di sebalik perbezaan bidang, ia dihubungkan dengan revolusi teknologi dalam pembuatan aksesori. Melalui cetakan 3D, pembuatan aksesori fesyen menjadi lebih mudah malah, pelbagai rekaan dapat dibentuk untuk menjadikannya lebih menarik.

Aksesori seperti rantai, cincin, gelang dan anting-anting merupakan antara produk yang mampu dihasilkan oleh pencetak 3D.

Bidang pendidikan tidak terkecuali daripada mendapat tempias pencetak 3D. Keperluan kepada alat bantuan mengajar adalah antara yang diperlukan oleh guru-guru.

Sebagai contoh penggunaan barang mainan menggantikan gambar binatang tidak banyak membantu berikutan perincian yang tidak tepat.

Kerjaya

Cetakan 3D memudahkan warga pendidik untuk membuat alat bantuan mengajar bukan sahaja di peringkat sekolah malah di universiti yang lebih memerlukan perincian model rujukan sebenar.

“Pelbagai keperluan boleh dilengkapi dengan penggunaan pencetak 3D malah, ia merupakan inovasi yang amat bermanfaat,” ujar Chee Guan.

Peluang kerjaya khususnya bidang keusahawanan menawarkan pelbagai bidang baharu yang telah menjadi pilihan usahawan muda.

Potensi yang besar turut menjadi faktor sesuatu bidang keusahawanan berkembang pesat.

Melalui pencetak 3D, industri pencetakan telah membuka platform baharu buat bakal usahawan untuk menjadikan bidang berkenaan sebagai salah satu cabang perniagaan.

Selain menjanjikan pulangan menguntungkan, potensi industri cetakan 3D dilihat mempunyai peluang besar yang boleh diperkembangkan.

Usahawan percetakan 3D, Gan Yu Han memberitahu, cetakan 3D membolehkannya menawarkan khidmat kepada pelbagai pihak yang ingin mencetak idea kreatif kepada produk sebenar.

“Cetakan 3D telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat, malah ada di antara mereka yang berminat untuk mempelajari selok- belok teknologi tersebut.

“Walaupun pada peringkat permulaan akan menelan kos yang tinggi, manfaat daripada pelaburan untuk industri pencetakan akan memberikan pulangan yang memberangsangkan,” katanya.

Kemajuan teknologi dengan pencetak 3D turut tidak melupakan kepentingan yang mesra alam dan pengguna.

Kecanggihan pencetak 3D di luar jangkauan imaginasi namun, ia masih boleh diakses dan dipelajari dengan mudah oleh pengguna. Seperti pencetak lain, pencetak 3D juga dilengkapi dengan perisian yang boleh dimuat turun ke dalam komputer.

RICOH melalui produk pencetak 3D Makerbot, mempunyai rangkaian pencetak untuk kegunaan persendirian hingga keperluan industri.

Dengan julat harga daripada RM4,999 hingga 10,699, produk Makerbot mengekalkan ciri mesra alam dari aspek reka bentuk hingga penggunaan filamen.

Mesra alam

Filamen merupakan asas kepada pencetakan 3D. Ia adalah gentian yang dibentuk seperti wayar halus dan dicairkan semasa proses cetakan.

Dengan pelbagai variasi warna, cairan filamen akan membentuk apa sahaja replika melalui rekaan yang telah dimuat turun ke dalam pencetak Makerbot.

Filamen lebih mesra alam kerana ia dibuat daripada gentian jagung yang selamat digunakan serta lebih tahan lasak.

Penjagaan serta seliaan pencetak 3D adalah mudah malah perkhidmatan baik pulih juga turut disediakan.

Proses cetakan 3D dengan 2D adalah berbeza. Cetakan 3D memakan masa bergantung kepada saiz rekaan yang ingin dicetak.

Menurut Yu Han, proses cetakan kadangkala akan memakan masa sehingga beberapa jam malah pernah memakan masa sehari.

“Setiap cetakan memakan masa namun hasilnya amat memuaskan. Keadaan ini mungkin dilihat sebagai kekurangan, harap ia boleh dipertingkat pada masa akan datang,” jelasnya.

Sumber: Kosmo! Online

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::