Labu Sayong Xtream Craft

“Assalamualaikum. Sila masuk dan lihat barang-barang yang dipamerkan. Jika ada yang berkenan, beritahu kami. Saya sedia membantu.”

Itulah kata-kata pemanis bibir Zulkifly Amir Hashim, 49, setiap kali pelanggan menjejakkan kaki di pusat jualan labu sayong, Xtream Craft di Kampung Sayong Tengah, Kuala Kangsar, Perak.

Dia tidak pernah jemu untuk memberikan layanan bertaraf lima bintang kepada semua pelanggan yang singgah di premis miliknya itu meskipun kadang-kadang mereka sekadar menjamu mata.

Ayah kepada empat orang cahaya mata tersebut gigih mengusahakan produk labu sayong bagi meneruskan warisan nenek moyang yang dianggar sudah berusia ratusan tahun itu.

Zulkifly berkata, dia belajar membuat labu sayong daripada neneknya tetapi hanya mengkomersialkan produk itu kira-kira tujuh tahun lalu.

“Sejak kecil lagi saya sudah belajar membuat labu sayong tetapi saya tidak berminat untuk menjadikan produk ini sebagai sumber utama pendapatan.

“Saya memilih untuk ‘makan gaji’ berbanding mengusahakan produk ini. Saya pernah bekerja di Kuala Lumpur dengan menggalas jawatan sebagai pengurus operasi di sebuah syarikat swasta di Sandakan, Sabah.

“Selepas lebih dua tahun bekerja di Sabah, saya pulang ke kampung halaman kerana mendapat tawaran bekerja di Ipoh, Perak pada tahun 2008.

“Selepas menghadapi masalah kewangan, baru saya terfikir untuk mengkomersialkan produk labu sayong. Kini, saya tidak mahu menoleh ke belakang lagi dan bertekad untuk berjihad ekonomi dalam perniagaan ini,” katanya yang mempunyai empat orang pekerja tetap dan tiga orang pekerja separuh masa termasuk Mohd. Nizar Jamahudin, 47.

Zulkifly berkata, dia perlu menyediakan kira-kira 200 biji labu sayong dalam tempoh sebulan meskipun jumlah jualan produk itu kadang-kadang tidak menentu.

Berkualiti

Zulkifly mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford, Kuala Kangsar sebelum bekerja di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur.

Ketika berkhidmat di syarikat itu, dia berpeluang menimba ilmu dalam bidang kejuruteraan di Jepun sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1995 dan 1998.

Dia juga berjaya memperoleh diploma dalam bidang pentadbiran dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai pelajar separuh masa pada tahun 2003.

Kini, Zulkifly yakin gabungan ilmu moden dan tradisional yang dimiliki mampu menghasilkan produk kraf tangan berkualiti tinggi.

Selepas lebih lapan tahun berkecimpung dalam perniagaan itu, produk labu sayong yang dihasilkan Zulkifly mula menjadi buah mulut para pelanggan.

Jualan semakin rancak selepas Zulkifly memberikan suntikan nafas baharu ke atas produk yang dihasilkan, sekali gus memastikan ia tidak lapuk dek zaman.

Sejak bulan September tahun lalu, dia mula mengukir kaligrafi Islam berbentuk tulisan Jawi atau Arab.

Pada mulanya, ia dilakukan pada produk-produk bersaiz kecil dan perkataan Allah, Muhammad serta Subhanallah antara ukiran yang menjadi pilihan.

Paling menarik tumpuan ialah ukiran kaligrafi Islam pada produk berbentuk lampu tidur.

Ini kerana, setiap kali lampu dipasang, cahaya berbentuk ayat-ayat suci al-Quran itu akan memancar keluar, sekali gus menghadirkan suasana yang lebih harmoni kepada pemiliknya.

Zulkifly yakin sekiranya corak baharu labu sayong itu mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat tempatan, tidak mustahil ia mampu dipasarkan ke luar negara.

Keyakinan itu semakin meningkat selepas dia menerima tawaran untuk memasarkan produknya ke kota Dubai di Emiriyah Arab Bersatu.

Dalam pada itu, Zulkifly mendedahkan bahawa dia sedang berusaha untuk menarik minat pelanggan bukan beragama Islam untuk menjadikan labu sayong sebagai koleksi simpanan mereka.

Namun, dia belum terfikir untuk mengukir khat tulisan Cina pada produk yang dihasilkan.

Industri kampung

Selain menghasilkan sendiri produk labu sayong di premisnya, Zulkifly turut memperoleh bekalan daripada penduduk kampung.

“Saya mahu menjadikan perniagaan ini sebagai industri kampung. Penduduk-penduduk kampung yang memiliki kemahiran membuat labu sayong akan menghantar hasil tangan mereka di premis saya untuk dijual.

“Dengan cara ini, saya dapat membantu mereka untuk menambah pendapatan, sekali gus meneruskan warisan tradisi penduduk di mukim Sayong ini.

“Bagaimanapun, produk mereka perlu menepati standard yang ditetapkan seperti ketebalan, kehalusan dan reka bentuk. Saya tidak hanya mahu meraih keuntungan tetapi menjaga kualiti produk yang dijual di premis ini,” katanya.

Apa yang menarik di premisnya itu, para pelanggan diberi peluang untuk mencuba dan mempelajari cara-cara membuat labu sayong.

Zulkifly bercerita, aliran kerja membentuk sebiji labu sayong dilakukan secara berperingkat-peringkat iaitu bermula dengan penyediaan tanah yang dibeli daripada penduduk kampung.

Tanah yang dibasahkan dengan air itu akan dikisar sehingga cair sebelum ditambah dengan sodium silikat yang berfungsi untuk menggebu dan mempercepatkan pengeringan.

Cecair tanah liat tersebut akan ditapis bagi memisahkan kandungan bendasing yang biasanya terdiri daripada pasir, daun dan ranting kayu.

Selepas itu, cecair tanah liat tersebut akan dimasukkan ke dalam acuan yang diperbuat daripada simen kapur (plaster of Paris).

Proses pengeringan mengambil masa selama 15 hingga 30 minit. Apabila ketebalan dinding labu sayong yang mengering itu mencapai standard yang ditetapkan, acuan tersebut akan diterbalikkan bagi membuang tanah liat yang masih cair, sekali gus membentuk ruang kosong.

“Labu sayong yang sudah terbentuk akan dijemur di bawah pancaran matahari untuk proses pengeringan, mengelak daripada pecah dan memudahkan proses mengukir corak.

“Selesai mengukir corak, labu sayong itu akan melalui proses pembakaran yang biasanya mengambil masa selama 16 hingga 18 jam. Suhu pemanasan bergantung pada bentuk labu sayong. Kebiasaannya, suhu mencecah 900 hingga 1,000 darjah Celsius menggunakan api gas memasak.

“Bagi menghasilkan labu sayong yang berwarna hitam, ia akan dimasukkan ke dalam campuran sekam padi dan habuk kayu. Warna hitam terhasil menerusi pembakaran karbon.

“Selepas melepasi kesemua proses tersebut, labu sayong sedia untuk digunakan,” katanya.

Harga sesebuah labu sayong berbeza mengikut saiz dan gred. Gred AA dijual pada harga RM20, Gred A (RM13 - RM15), Gred B (RM11 - RM13), Gred C (RM9 - RM11) dan Gred D (RM8).

Selain labu sayong, Zulkifly turut mempelbagaikan hasil produknya seperti bentuk lampu dan tabung duit syiling bagi memikat hati golongan muda khususnya kanak-kanak.

“Kita perlu membuang stigma negatif terhadap labu sayong. Sejak akhir-akhir ini, banyak filem seram Melayu yang menggunakan labu sayong bagi tujuan mistik.

Malah, ada pelanggan saya yang takut untuk membeli labu sayong berwarna hitam kerana ia dikaitkan dengan unsur-unsur mistik yang ditonton dalam filem-filem tersebut.

“Jadi, minda golongan muda perlu dibersihkan supaya warisan labu sayong ini tidak dilupakan pada masa depan,” katanya.

Sumber: Kosmo! Online

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::