Industri Pembuatan Model Bangunan China |
Seiring dengan kelembapan industri pembinaan di China, pembuat model bangunan turut menerima tempiasnya.
China melalui proses pembangunan yang sangat pesat dalam sejarah peradaban manusia. Laporan mendakwa, penggunaan simen antara tahun 2011 hingga 2013 adalah lebih banyak berbanding Amerika Syarikat pada abad ke-20.
Dalam tempoh sama, harga rumah di kebanyakan bandar besar meningkat sebanyak tiga kali ganda. Para pembeli apartmen misalnya membuat tempahan sebelum projek perumahan bermula.
Bagi menarik lebih ramai pembeli, pemaju hartanah mengupah sejumlah besar tenaga kreatif untuk membina model bangunan kecil yang serba lengkap dengan segala perincian untuk diletakkan di bilik pameran mereka.
“Pemaju bergantung kepada pembeli untuk membiayai projek perumahan yang dijalankan. Penggunaan model bangunan merupakan salah satu cara untuk menyelesaikan masalah kewangan mereka.
“Para pemaju boleh menjual unit rumah dengan hanya berdasarkan model tersebut,” kata pakar ekonomi dari Universiti Peking, Zhu Guozhong.
Bagaimanapun, permintaan terhadap kediaman sebenar dan model bangunan itu kini mengalami penurunan.
“Berbanding lima tahun lalu, kami membina sedikit model rumah,” kata seorang tukang, Wang Gang sambil meletakkan perabot mini ke dalam sebuah model plastik vila mewah.
Pembinaan berlebihan dan kawalan kerajaan terhadap pembelian rumah bagi mengekang kenaikan harga rumah yang mendadak telah menyebabkan aktiviti jualan hartanah berkurangan.
Harga hartanah di beberapa bandar besar mengalami kejatuhan sejak 12 bulan lalu. Ia telah mengakibatkan lambakan rumah kosong, bangunan separuh siap dan projek-projek baharu dihentikan.
“Beberapa tahun kebelakangan ini, kejatuhan harga rumah menyebabkan orang ramai takut untuk membeli rumah. Ia turut menjejaskan pendapatan kami,” kata pembuat model bangunan, Zhong Zhaoping yang bermula sebagai pelatih 15 tahun lalu dan kini mempunyai perniagaan sendiri di Guangzhou.
Pasaran baharu
Berikutan itu, dia terpaksa memberhentikan hampir separuh daripada pekerjanya manakala beberapa firma lain terpaksa mencari sumber perniagaan atau pasaran baharu di luar negara.
“Apabila pasaran baharu hendak berkembang, kami menghasilkan banyak model rumah. Bagaimanapun, kami tertumpu kepada projek pembangunan pusat beli-belah. Kami gunakan pencahayaan yang betul supaya ia kelihatan seperti bangunan sebenar. Setiap perincian adalah penting.
“Kebanyakan model yang dihasilkan adalah untuk pasaran di Dubai, Emeriyah Arab Bersatu kerana permintaan lebih banyak di sana.
“Selepas ini, kami akan menumpukan perhatian kepada Brazil dan negara-negara di Asia Tenggara,” kata penyelia sebuah syarikat pembuatan model di Shenzhen, Wen Jun.
Bengkel tersebut masih lagi aktif dengan pelbagai aktiviti dan kelihatan sekumpulan pekerja lelaki sedang menyiapkan sebuah model bangunan pencakar langit.
Wen Jun yang menunjukkan pelan kompleks polis di Inner Mongolia berkata, tempahan untuk bangunan kerajaan merupakan satu peluang cerah meskipun terdapat arahan rasmi supaya projek awam yang baharu dihentikan seketika.
“Pada mulanya, ia kelihatan seperti satu perkara yang pelik namun, lama-kelamaan kita sudah terbiasa dengan keadaan tersebut,” katanya.
Rakan sekerjanya, Wang Panpan berkata, dia telah membina sejumlah 10,000 model bangunan sepanjang kerjayanya dan sangat berbangga dengan salah satu hasil kerjanya iaitu membuat sebuah model untuk bangunan pencakar langit setinggi 606 meter di bandar Wuhan dengan skala 100:1.
“Kami cuba sedaya upaya untuk menjadikan model bangunan yang kami bina sama seperti bangunan sebenar. Ia bukan satu tugas yang mudah,” katanya yang menerima gaji sebanyak 2,500 yuan (RM1,525) sebulan.
Sumber: Kosmo! Online