Karya Indie Menongkah Arus Perdana

Seramai 70 usahawan dan karyawan indie mempromosi produk serta karya mereka pada program KL Alternative Book Fest and Art For Grabs di Dataran Undrgrnd,­ Jalan Raja di sini, pada Mac lalu.

Karya indie selalunya menampilkan kelainan, tidak dikongkong oleh sistem sosial atau budaya selain menongkah arus perdana.

Pengarah program itu, Pang Khee Teik berkata, program yang dianjurkan setiap tahun bermula 2008 itu dihadiri kira-kira 3,000 pengunjung yang berminat dengan barangan­ bermutu dipamerkan.

Katanya, antara barangan yang dijual adalah buku-buku indie termasuk novel dan puisi selain lukisan dan pakaian.

“Bagi usahawan dan karyawan indie yang tidak berkesempatan menjual buku-buku di pasaran besar, di sini adalah platform terbaik memasarkan karya mereka selain berjumpa dengan pelanggan.

“Saya tidak menyangka ramai pelanggan terdiri daripada anak-anak muda sekali gus menunjukkan industri ini semakin berkembang dan mempunyai masa depan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.

Selain jualan, turut diadakan bengkel seni, bacaan sajak, pelancaran buku, forum mengenai filem serta tayangan filem pendek anjuran Malaysian Indie Film Makers dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Dataran Undrgrnd, Sazrul Razali berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan penganjuran program seumpama itu di lokasi tersebut.

“Tidak banyak lokasi yang menganjurkan program sebegini yang memberi peluang kepada warga kota khususnya golongan­ belia yang merupakan peminat karya-karya indie berurus niaga. Di Dataran Undrgrnd, kitamemberi alternatif kepada penganjur untuk menjadikannya sebagai acara bulanan,” jelasnya.

Sementara itu, seorang peniaga, Muhammad Daniyal Abd. Kadir, 31, berkata, dia mula menjual buku-buku indie terpakai sejak empat tahun lalu secara online dan menyertai penganjuran bazar di sekitar ibu kota.

Menurutnya, kebanyakan buku bertemakan sastera dan politik dijual dengan harga antara RM5 hingga RM150.

“Misalnya, sebuah buku bertajuk Bendahara Melaka dan Hulubalang-Hulubalang Melayu dijual dengan harga RM100 kerana dicetak pada 1960. Semakin lama usia sesebuah buku, semakin tinggi nilainya kerana sukar didapati di kedai-kedai buku.Kebanyakan buku, saya beli melalui online dan kawan-kawan.

“Perniagaan ini juga menjadi hobi untuk mengisi masa lapang pada hujung minggu dan saya tidak memikirkan keuntungan­ semata-mata,” ujarnya.

Pengunjung, Raja Abdul Quddus Raja Abas, 25, pula berkata, dia sering berkunjung ke acara seperti itu untuk mendapatkan buku-buku hasil keluaran karyawan indie.

Sumber: Utusan Online

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::