Sri Angsana Caterer - Part 2

Part 1 of 2 | Part 2 of 2

Cabaran

Menceritakan permulaan Sri Angsana dalam dunia katering, Jasmin berkata, orang tuanya sebenarnya merupakan tukang masak dan mempunyai sebuah kedai makan yang dikenali sebagai Restoran Kita di Jalan Tunku Abdul Rahman pada era 70-an.

Bagaimanapun, restoran tersebut terpaksa ditutup selepas ayahnya meninggal dunia kerana tenaga kerja tidak mencukupi, juga memandangkan adik-beradiknya pada ketika itu masih kecil.

Beberapa tahun kemudian, ibunya kembali membuka sebuah kedai makan baharu dengan nama Restoran Sri Angsana dan mula melibatkan diri dalam dunia katering pada tahun 1996.

Walaubagaimanapun, pada ketika itu Sri Angsana hanya mengambil tempahan untuk kira-kira tiga majlis perkahwinan sahaja.

“Masa itu kami menyediakan sajian di ruang belakang rumah yang terletak di Kampung Pandan.

“Pengalaman itu merupakan antara cabaran buat kami sekeluarga kerana memasak di kawasan yang terhad dan dikelilingi jiran tetangga bukanlah perkara mudah. Ada jiran yang merungut waktu tidur mereka terganggu dengan bunyi tukangan sudip dan periuk belanga seawal jam 3 pagi,” ujarnya tersenyum mengimbau kisah silam.

Pada tahun 2007, Sri Angsana mula dikenali ramai dan berjaya memiliki bangunan penyediaan makanan dan pejabat urusan sendiri yang terletak di Taman Nirwana, Ampang, Selangor.

Mengulas lanjut tentang kualiti juadah, Ramlah berkata, segala ilmu masakan dan resipi telah diturunkan kepada anak-anaknya.

Namun beliau memberitahu, resipi-resipi tersebut telah diolah oleh Mohd. Aslah mengikut kesesuaian memandangkan beliau pernah menjadi chef di hotel-hotel terkemuka seperti Hotel Hilton dan Hotel Nikko Kuala Lumpur.

Ciri-ciri baharu hidangan Sri Angsana mengambil kira jenis ramuan yang digunakan agar juadah yang dihasilkan tahan lebih lama dan menjimatkan masa.

“Zaman saya dahulu, bahan-bahan masakan disediakan menggunakan kaedah tradisional seperti batu giling, jemuran, jeruk dan sebagainya.

“Namun, pada hari ini banyak kemudahan untuk memudahkan kerja di dapur yang disediakan seperti perkakas elektrik dan bahan-bahan yang sedia digunakan seperti santan segar,” jelasnya yang masih lincah membuat kerja-kerja dapur.

Ujarnya lagi, rempah-ratus yang digunakan dalam masakan Sri Angsana dibeli khas dari Johor bagi memberikan rasa asli nasi beriani.

Selain itu, bagi menangani masalah daging ayam yang dikhuatiri tidak elok dimasak, Sri Angsana menggunakan ayam siap dimasak daripada rangkaian Rasamas.

Dalam pada itu, bagi menjaga kualiti makanan, Sri Angsana juga mengadakan sesi ujian makanan yang dibuka kepada orang ramai pada setiap hujung minggu.

Setiap komen dan kritikan diterima dengan hati yang terbuka bagi memenuhi cita rasa pelanggan dan meningkatkan lagi mutu hidangan serta perkhidmatan yang disediakan perniagaan keluarga berkenaan.

Turut melihat kredibiliti Sri Angsana dalam menyediakan makanan adalah Institut Profesional Baitulmal. Menurut Mohd. Aslah, pusat pengajian tersebut telah menghantar beberapa orang pelajar ke Sri Angsana untuk sesi praktikal dalam bidang penyajian.

Dia yang berbesar hati menerima kedatangan pelajar itu menganggap perkongsian ilmu yang dibuat merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat syarikat kepada masyarakat.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi di talian 03-9202 3276.

Sumber: Kosmo! Online

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::