Sri Angsana Caterer - Part 1

Part 1 of 2 | Part 2 of 2

Dari jauh kelihatan kepulan asap berwarna putih meresap ke udara dan melepaskan haruman bauan kulit kayu manis, bunga cengkih, lada hitam, bunga lawang dan jintan. Mungkin juga diletakkan serai yang dititik pangkalnya.

Bahan-bahan itu ‘dikayuh’ menggunakan ‘pendayung’ sehingga berwarna keemasan. Selesai kerja menumis, sedikit demi sedikit rencah utama iaitu ayam, daging dan sotong dimasukkan ke dalam kawah oleh chef Mohd. Aslah Alias, 42.

Di penjuru lain pula kelihatan beberapa orang wanita berusia 40-an sedang memotong bahan-bahan hiasan seperti timun dan cili merah besar.

Mengetuai aktiviti itu ialah ibu Mohd. Aslah, Ramlah Arshad, 68, yang mempunyai kepakaran dalam bidang masakan sejak lima dekad lalu.

Kerja-kerja memasak itu merupakan aktiviti rutin bagi perniagaan keluarga di bawah jenama Katerer Sri Angsana (Sri Angsana).

Setiap hujung minggu, seawal pukul 3 pagi hingga subuh, anak-anak Ramlah yang seramai tujuh orang akan sibuk menyediakan sajian buat para tetamu di majlis perkahwinan.

Menurut Mohd. Aslah, tahap disiplin tinggi diperlukan dari setiap ahli keluarga yang terlibat kerana menu akan dihantar ke lokasi majlis perkahwinan tepat pada pukul 8.30 pagi.

Bagaimanapun, anak keempat itu memberitahu bahawa kuantiti sajian pada musim cuti sekolah atau sebarang perayaan tidak seperti hari-hari biasa.

Kebiasaannya, Sri Angsana menyediakan hidangan untuk 20,000 tetamu bagi 20 majlis perkahwinan pada hujung minggu. Namun, jumlah tempahan meningkat kepada 30 majlis perkahwinan setiap Sabtu dan Ahad semasa cuti sekolah.

Rezeki

Ujarnya, tempahan tersebut merupakan rezeki yang tidak mampu ditolak walaupun terpaksa berhempas pulas untuk disediakan.

“Kami tidak sampai hati menolak permintaan pelanggan, apatah lagi sajian ini adalah untuk tetamu yang hadir bagi meraikan hari yang istimewa.

“Ada juga pelanggan meminta kami menghantar makanan jauh dari tempat memasak sehingga sanggup membayar duit minyak, tol dan menanggung sebarang risiko sewaktu penghantaran,” jelasnya.

Tepat pada waktu penghantaran, bekas demi bekas dinaikkan ke dalam lori yang sedia menunggu di hadapan dapur masak.

Dengan menggunakan pembesar suara, anak sulung Ramlah, Jasmin, 48, memberikan arahan kepada pekerja supaya hidangan dimasukkan ke dalam lori mengikut pakej tempahan dan memastikan ia sampai ke destinasi yang betul.

Jasmin berkata, mereka turut menyediakan pasukan bantuan sebagai bersiap siaga jika perkara yang tidak diingini berlaku sebarang seperti tersalah hantar jenis hidangan ke rumah pengantin atau makanan rosak.

Mengulas lanjut tentang pakej hidangan, Jasmin berkata, sehingga kini Sri Angsana menyediakan empat pakej katering dengan jumlah pesanan juadah minimum untuk 1,000 orang tetamu.

Harga setiap pakej bermula daripada RM8.80 hingga RM15.80 untuk setiap orang.

Antara juadah wajib yang disediakan ialah nasi beriani, nasi putih, ayam masak merah, daging hitam, dalca sayur, jelatah nanas dan acar buah.

Sehingga hujung tahun ini, Sri Angsana menawarkan sajian daging kambing golek pada separuh harga, iaitu RM500 seekor kepada pelanggan terawal yang membuat tempahan.

Sepadan dengan harganya, bakal pengantin baharu yang memilih pakej bernilai RM12.80 dan RM15.80 untuk setiap tetamu akan diberikan kek dua tingkat dilengkapi kemudahan meja deejay, sistem audio atau dua set kanopi untuk tetamu utama. Selain itu, mereka juga boleh memilih sepasang persalinan.

Pasangan terawal berkesempatan memilih pakaian baju pengantin koleksi terbaharu rekaan daripada Dwen Raha. Selain pakaian, aksesori seperti kasut, rantai, subang, tiara, tengkolok dan keris turut disediakan.

Pakej itu juga merangkumi set pelamin dengan konsep kain yang dilengkapi dengan barang-barang perhiasan dan laluan pintu gerbang untuk pasangan pengantin.

Sumber: Kosmo! Online

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::