Kafe Anggun Fusion |
Pertama kali menjejakkan kaki ke restoran yang terletak di Plaza Damas 3, Taman Sri Hartamas, Kuala Lumpur ini, kru Jurnal kagum melihat susun letak perabotnya yang feminin, kemas serta bertenaga.
Ternyata dekorasi kafe Anggun Fusion ini seanggun dan seindah namanya.
Apa tidaknya, jalinan warna merah saga yang sememangnya tampak serasi bersama rona hitam menjadi tema dekorasi restoran bercita rasa moden kontemporari ini.
Selain itu, adaptasi elemen flora sebagai unsur tambahan menzahirkan personaliti pemiliknya, Mimie Azura Mohamad yang feminin dan manis.
Menurut wanita berusia 32 tahun itu, tona merah dipilih kerana ia melambangkan sifat keberanian, ketegasan dan keghairahan yang patut ada pada setiap wanita.
“Merah ialah warna kegemaran saya dan memasak pula merupakan minat saya sejak kecil.
“Jadi, apabila berpeluang memiliki kafe sendiri, saya mahu nilai-nilai kewanitaan itu diterjemah ke dalam bentuk dekorasi supaya ia dapat mencerminkan karakter saya,” katanya.
Premis yang mula beroperasi sejak awal Februari lalu itu turut menggarap elemen Bali secara minimalis di laluan pintu masuk utama dengan menampilkan binaan tembok bata ekspos.
Tembok yang diperbuat daripada bata terakota itu membantu memisahkan ruang hadapan kafe dengan bahagian dalam sekali gus memberi segmen berbeza mengikut kehendak pelanggan.
Ros merah
Di ruang makan utama, kemasan kertas dinding bercorak ros merah mekar melatari sebahagian dinding kafe itu.
Bagi menyerlahkan sentuhan feminin, sebuah pasu bunga comel yang berisi gubahan mawar merah plastik ditempatkan di setiap meja makan.
“Jika saya mendapat tempahan istimewa untuk majlis tertentu, saya akan hias kafe ini dengan bunga mawar segar dari Cameron Highlands.
“Bunga segar lebih cantik dan mempunyai nilai tersendiri dalam seni hiasan dalaman,” katanya yang mengilhamkan sendiri dekorasi premis yang terkenal dengan juadah nasi lemak dan rendang mentega kacang itu.
Dari sudut pandang lain, meja kayu dan kerusi daripada material kulit di ruang tersebut dipilih dalam warna coklat muda dan coklat tanah polos supaya ruang yang terhad tidak nampak terlalu sarat.
Lantai dan dinding juga dipilih daripada elemen kayu bagi menambahkan kemewahan dekorasi kafe yang mampu memuatkan sehingga 80 orang pelanggan pada satu-satu masa itu.
Masih berpegang kepada prinsip tema warna yang sama, gandingan rona hitam dan merah sekali lagi diangkat dalam pemilihan perabot di ruang santai di hadapan kafe.
Sofa
Susunan sofa empuk berwarna hitam dengan corak bunga merah menjadi penyeri kepada sudut libur itu.
Gandingan meja kopi berpermukaan kaca dengan hamparan karpet baldu bulat berwarna merah melengkapkan lagi konsep urban yang ingin diketengahkan.
Menjengah ke ruang makan di bahagian dalam pula, meja makan kayu rona merah dengan corak bunga tabur timbul menambahkan karakter sekali gus menghidupkan ruang kafe tersebut.
“Kami turut menyediakan rak buku yang mempunyai himpunan buku masakan serta bacaan santai untuk para pelanggan.
“Koleksi buku ini bukan sekadar bahan dekorasi malah mempunyai nilai sentimental tersendiri,” ujarnya sambil tersenyum.
Berbeza dengan restoran-restoran lain, kafe yang dilancarkan bekas Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen pada 12 Januari lalu itu turut menyediakan sebuah bilik khas bagi pengunjung yang inginkan privasi.
Ruang berhawa dingin itu tidak dibiarkan kosong sebaliknya digubah anggun dengan mural bunga mekar dan daun menghijau yang dilukis di atas palitan cat putih.
Dari sudut penataan cahaya, lampu sangkar berbentuk bulat dengan limpahan lampu kuning menyerlahkan lagi keanggunan seni reka dalaman kedai tersebut.
Menurut Mimie Azura, ruang itu biasanya digunakan untuk acara-acara rasmi termasuk mesyuarat korporat, sidang akhbar serta sambutan majlis ulang tahun atau hari lahir.
“Pelanggan boleh mengadakan majlis ringkas sambil menikmati pelbagai jenis makanan enak yang disediakan di restoran ini.
“Kami turut menyediakan perkhidmatan sistem pembesar suara untuk kemudahan pelanggan yang mahu mengadakan acara atau program tertentu,” katanya.
Sumber: Kosmo!