Hiasan Dalaman Sarang Interiors

Konsep pejabat ringkas di rumah atau SOHO (Small Office Home Office) telah lama popular di negara-negara Barat.

Ramai usahawan di sana sekadar bekerja dari rumah dengan menyediakan ruang kerja khas bagi melaksanakan urusan perniagaan.

Malaysia juga tidak terkecuali apabila konsep itu mula dipraktikkan.

Disebabkan ia sangat memudahkan perjalanan sesebuah perniagaan, tiga sahabat yang mengusahakan syarikat hiasan dalaman, Sarang Interiors memilih konsep berkenaan.

Sarang Interiors yang diterajui oleh Pengarah Kreatif, Shaiful Ezhan, Pengarah Urusan, Ariff Ghani dan Pengarah Reka Bentuk, Tengku Norashikin, memilih apartmen di galeri beli-belah Empire Subang, Selangor sebagai lokasi pejabat dari rumah mereka.

Menurut Shaiful Ezhan, konsep tersebut sangat sesuai dipraktikkan apatah lagi segala kemudahan sudah tersedia memandangkan lokasinya yang terletak di dalam pusat beli-belah.

"Tema eklektik merupakan gabungan konsep suai padan yang dipilih mengikut faktor keluasan yang terhad kerana saiz unit SOHO ini lebih kecil berbanding apartmen biasa.

"Untuk itu, permainan warna dan pemilihan perabot yang bersesuaian dengan keluasan terhad ini amat penting bagi mengelakkan ruang nampak sarat dan tidak sedap mata memandang," ujarnya sambil memberitahu, keluasan ruang SOHO itu ialah 71 meter persegi.

Tambahnya, oleh sebab ruang yang terhad, mereka memilih untuk tidak terikat pada satu-satu konsep sahaja kerana sekiranya itu berlaku, sesuatu ruang itu akan kelihatan statik dan tidak ceria.

Buku

"Pemilihan perabot yang mempunyai pelbagai fungsi sangat sesuai diaplikasikan di kediaman ini, misalnya di ruang makan yang boleh dijadikan sudut bekerja dan tempat untuk berbincang bersama pelanggan.

"Selain itu, kewujudan jendela ukuran lantai ke siling yang berlatarbelakangkan Lebuh Raya Persekutuan bukan sahaja berfungsi sebagai titik fokus kediaman malah membawa masuk cahaya dan udara dari luar ke dalam rumah.

"Secara tidak langsung, kami juga dapat menjimatkan tenaga elektrik pada waktu siang," jelasnya yang menjadikan pereka hiasan dalaman antarabangsa, Kelly Weartsler dan Christina Tonkin sebagai idolanya dalam bidang hiasan dalaman.

Menjengah ke ruang SOHO milik tiga pereka muda ini, pemilihan lukisan berkonsepkan seni pop yang melatari dinding ruang tamu berjaya menjadinya sebagai titik tumpu ruang tersebut.

Sofa

Deretan bantal-bantal kecil pelbagai warna dan corak pula menyerlahkan lagi sofa berwarna hitam yang dipilih bagi melengkapi konsep eklektik tersebut.

Selain itu, terdapat juga buku-buku yang dijadikan bahan dekorasi yang memberikan nilai sentimentalnya sendiri.

"Boleh dikatakan di setiap ruang, kami akan menempatkan beberapa buah buku sebagai salah satu sumber dekorasi dan ia memberikan impak yang berkesan.

"Koleksi projek rekaan rumah pelanggan turut diabadikan di dalam bingkai gambar dan diletakkan di satu sudut di ruang tamu ini," tambahnya yang sudah tiga tahun mendiami unit SOHO tersebut.

Jelasnya, warna putih dipilih melatari dinding ruang tamu supaya ia tampak ringkas dan minimum selain memberikan ilusi ruang kelihatan lebih luas.

Warna tanah pula diaplikasikan pada dinding di sepanjang laluan ke aras mezanin yang terletak di sebelah atas unit ini.

Dikenali sebagai mezzanine floor, ruang ini menempatkan sudut bekerja serta turut dijadikan ruang untuk pemilik beristirahat.

Lantai bermotifkan kayu dipilih di samping penggunaan langsir yang bertujuan memberikan suasana privasi.

"Kami mungkin akan menukar konsep di aras mezanin ini supaya suasana di 'pejabat' ini sentiasa segar dan ceria.

"Kami juga ada melakukan pengubahsuaian pada bahagian bawah tangga ini dengan mewujudkan sebuah stor bermotifkan kayu yang disesuaikan dengan rak buku supaya ruang itu tidak nampak terlalu kosong," beritahu beliau.

Sumber: Kosmo!

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::