|
5C Bonjour Garden |
Ungkapan Timur Bertemu Barat bukan baharu. Ia juga tidak asing, bukan sahaja dalam aplikasi teknologi dan perniagaan tetapi juga dalam masakan dan pengeluaran makanan. Apabila pakar kulinari Jepun yang memenangi beberapa anugerah kerana kejayaannya menerapkan cita rasa Eropah dalam inovasi masakannya, ia sememangnya layak diberi perhatian.
Bonjour Garden sebuah restoran terbaharu di Intermark Mall, Kuala Lumpur memberi peluang kepada warga kota kosmopolitan menikmati cita rasa Timur bertemu Barat. Ia merupakan cawangan kelima yang dibuka selepas memulakan perniagaan di Kota Damansara pada 2011.
Dilancarkan oleh Ketua Chef merangkap Pengarah Urusan, Yukichi Matsubara, Bonjour Garden merupakan bakeri dan restoran berkonsep gaya hidup dalam taman serta inspirasi masakan ala Perancis.
Keprihatinan warga urban terhadap pemakanan sihat, menyebabkan Bonjour Garden terpanggil untuk menyediakan makanan sihat dan kreatif. Suasana ceria di kafe membolehkan pelanggan meluangkan masa untuk menjamu selera secara santai dan selesa.



