Nipah Guest House - Teluk Nipah Pulau Pangkor

Mencari rumah tumpangan yang menepati ciri-ciri diidamkan mungkin agak sukar. Bagaimanapun, perkara itu berjaya dijelmakan oleh pemilik Nipah Guest House (NGH), Teluk Nipah, Pulau Pangkor, Perak.

Selain harga berpatutan dan menyediakan sendiri menu sarapan pagi, ciri ketiga yang ada di NGH ialah tetamu boleh melayari internet berkelajuan tinggi secara percuma sepanjang masa.

Berkonsepkan umpama bertandang ke rumah sendiri, NGH menawarkan penginapan yang selesa pada harga serendah RM120 semalam.

Calet kecil yang mampu memuatkan kira-kira 23 orang tetamu pada satu-satu masa ini bukan sembarangan. NGH tersenarai sebagai antara 25 tempat bermalam pilihan di Malaysia bagi tahun 2012, 2013 dan 2015 oleh laman web dan forum percutian antarabangsa, Tripadvisor Travel.

Sesuai dengan konsepnya, NGH hanya menawarkan empat buah kotej (reka bentuk rumah petani Inggeris) iaitu berbentuk A untuk dua orang, sebuah kotej dua tingkat dipanggil Tower yang boleh memuatkan tiga hingga empat orang, sebuah bilik untuk enam orang dan dua bilik untuk tiga orang.

Bilik kotej antara yang digemari tetamu kerana reka bentuknya yang comel dan memikat hati. Tingkat atas kotej yang berupa loteng atau ruang kecil pula boleh digunakan tetamu untuk bersantai.

Setiap bilik dilengkapi televisyen, sistem pendingin hawa dan bilik air yang selesa.

Pemilik bijak menggunakan keluasan kawasan sekeliling rumah tumpangan yang terhad ini. Landskapnya juga tidak berlebih-lebihan.

Keindahan pantai

Sudah puas berehat di bilik, tetamu boleh menghabiskan masa santai berendam di dalam kolam renang atau duduk malas di khemah cabana. Jika ingin menikmati keindahan pantai Teluk Nipah, jaraknya pula cuma 100 meter dari NGH atau lima minit berjalan kaki.

Menurut pengusahanya, Anuar Razak, 38, NGH diusahakan sejak tujuh tahun lalu yang bermula secara kecil-kecilan sebagai sebuah rumah tumpangan biasa sebelum ditambah baik sedikit demi sedikit. Berdasarkan maklum balas tetamu, Anuar membangunkan NGH seperti yang sedia ada hari ini.

“Sejak mengusahakan NGH, saya memang menekankan aspek melayan mereka yang datang bermalam sebagai tetamu dan bukan pelanggan. Tetamu dilayan umpama ahli keluarga sendiri kerana saya juga tinggal di sini,” ujar anak jati Pulau Pangkor itu.

Lain daripada rumah tumpangan biasa, NGH menggunakan konsep dapur terbuka iaitu tetamu perlu menyediakan sarapan pagi masing-masing. Mereka juga perlu mencuci sendiri perkakasan dapur, cawan dan pinggan yang telah digunakan.

Menurut Anuar, konsep berkenaan sememangnya popular di kebanyakan rumah tumpangan di luar negara. Baginya, kaedah itu juga sesuai dengan konsep rumah tumpangan kecil seperti NGH yang hanya dioperasikan oleh empat orang petugas termasuk dirinya.

“Kebanyakan pelancong luar negara tidak kekok dengan konsep ini namun, bagi tetamu tempatan ada juga yang berasa janggal.

“Untuk sarapan pagi, tetamu boleh memasak lempeng, telur dan sosej. Sebagai tambahan, saya sediakan nasi lemak bungkus.

“Begitu juga minuman seperti teh, kopi dan Milo yang boleh dibancuh di dapur. Konsep dapur terbuka ini memberikan tetamu berasa seperti di rumah sendiri dan bukannya hotel yang mempunyai pelayan,” jelas Anuar yang sebelum ini pernah bekerja sebagai cef di beberapa buah hotel.

Anuar memberitahu, kebanyakan urusan tempahan dilakukan menerusi internet.

“Cara begini lebih mudah kerana kita boleh berkomunikasi secara dua hala dengan tetamu. Bagi pelancong luar negara pula, saya akan terangkan semuanya dari A hingga Z termasuk cara-cara ke Pulau Pangkor dan kadar tambang teksi,” jelasnya.

Layanan mesra Anuar dan petugasnya membuatkan tetamu tidak berasa kekok. Pengalaman berkunjung di sini pasti meninggalkan kenangan indah kepada tetamu.

Sumber: Kosmo! Online

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::