Seni Tekat Butik Sakura Malaysia

Hanya sekali pandang, pengunjung pasti dapat meneka nilai eksklusif beg-beg tangan yang tersusun rapi di rak kayu putih dengan corak klasik seni tekat benang emas berlatarkan kain baldu.

Benang emas halus yang dijahit silang dan rapat-rapat di atas mempulur sehingga ia tertutup sepenuhnya itu memberikan ketelitian dan kesabaran tinggi dalam pembuatannya.

Kini, corak klasik yang mula di kesan pada kurun ke-15 itu tidak lagi terikat dengan imej sebagai perhiasan pakaian kerabat diraja dan pembesar negeri dalam upacara rasmi apabila kemewahan seni kraf tangan ini diselitkan pada aksesori beg tangan oleh Sakura Malaysia Sdn. Bhd. (Sakura Malaysia).

Menurut pengasasnya, Suraya Shariffudin, perniagaan tas tangan kain tekat itu bermula sejak dua tahun lalu dengan pengenalan koleksi Srikandi Perak yang berbenang emas.

“Saya memang meminati kraf tangan warisan dan memilih tekat kerana tidak ramai yang berani untuk mempromosikannya. Mungkin kerana kos penghasilan sangat tinggi.

“Begitupun, pelanggan pasti memahami jika harga beg tekat ini mahal kerana sedia maklum ia adalah hasil kraf tangan premium.

“Saya menjual beg eksklusif ini pada harga bermula RM800 hingga RM1,200. Namun, kami juga ada menyediakan pelbagai rekaan lain yang mampu dimiliki oleh semua orang bermula pada harga RM38,” katanya ketika ditemui Kosmo! di butik Sakura Malaysia di Menara Mitraland, Kota Damansara.

Jahitan kemas

Butik yang dimiliki oleh bumiputera sepenuhnya itu hanya menggunakan logo sebagai identiti, sekali gus menjadi salah satu strategi pemasaran bagi mengukuhkan lagi jenamanya dalam kalangan pengguna.

Sehingga kini, Sakura Malaysia menawarkan 12 rekaan beg tekat benang emas, perak dan terbaharu, koleksi Srikandi Agung berbenang hitam.

Seni halus tangan itu diselitkan pada aksesori beg tangan kepit, beg silang, beg jinjit, beg syiling dan beg kosmetik.

Mengulas lanjut mengenai proses pembuatan beg premium itu, Suraya memberitahu, jahitan kemas tekat itu tidak dihasilkannya sendiri tetapi disediakan oleh pengusaha seni tekat terkenal di Kuala Kangsar, Azydar Enterprise. Legasi tekat yang diasaskan oleh Azizah Adam itu kini diteruskan oleh anaknya Nor Faizatol Fazleha Mohd. Rasdi.

“Kami hanya berbincang mengenai rekaan yang sesuai dan Nor Faizatol akan menyediakannya di helaian kain baldu segi empat. Corak-corak tekat timbul itu kemudian akan dijahitkan pada beg kulit yang disediakan oleh pereka dalaman kami sendiri.

“Kami menggunakan beg kulit kerana ia secocok dengan nilai eksklusif seni tekat. Setakat ini, kami menggunakan fabrik kulit lembu dari dalam negara dan merancang untuk menggunakan kulit dari Itali kerana strukturnya lebih halus dan premium,” jelasnya.

Dalam pada itu, Suraya berkata, selain beg tekat premium, pihaknya turut menyediakan koleksi tas tangan Inspirasi Tekat. Setiap beg dibuat daripada kemasan vinil Saffiono yang mudah lentur dan mempunyai rupa seakan-akan kulit. Koleksi tersebut disediakan dengan varian warna yang pastinya dapat memenuhi setiap cita rasa pelanggan yang datang.

Mengulas lanjut sambutan yang diterima, Suraya berkata, koleksi premium itu tidak susah untuk dijual kerana ia mempunyai pelanggannya sendiri terdiri daripada penggemar seni tekat dan beg tangan.

Namun, beg tersebut memerlukan penjagaan yang rapi. Kain sulaman amat sensitif dengan kelembapan dan boleh rosak dengan mudah. Sebaik-baiknya pengguna perlu memastikan tangan berada dalam keadaan yang kering sebelum memegang seni kraf tangan itu. Ia juga perlu dielakkan daripada di jemur tengah panas matahari kerana tekat boleh menjadi dawas atau pudar.

Koleksi beg tote

Selain beg tekat, Sakura Malaysia juga menawarkan koleksi beg tote batik cetak serta tote bersulam yang menampilkan rekaan dengan sulaman corak potret atau figura wanita dalam koleksi Miss Chang dan Miss Leiha.

Bahagian dalam beg tersebut dilengkapkan dengan kain batik lukis sebagai tambah nilai eksklusif. Rekaan tersebut sesuai digayakan oleh golongan muda yang gemarkan gaya minimalis.

Suraya berkata, setiap rekaan yang ditawarkan di bawah jenama tersebut mengandungi elemen tradisional sebagai signatur Sakura Malaysia.

“Walaupun beg tersebut mempunyai corak moden di bahagian luar namun, bahagian dalam tetap diselitkan dengan elemen klasik seperti kain batik asli ini.

“Saya mahu setiap rekaan dikeluarkan membawa identiti Melayu walaupun pada hari ini kita sedang menjalani transformasi pemodenan yang aktif,” jelasnya yang tidak pernah kesal dengan keputusan memilih elemen tradisional dalam perniagaannya.

Sehingga kini, beg tangan Sakura Malaysia telah dipasarkan di butik Modvier, Bangsar, Metrojaya, rangkaian Robinsons dan Fashion Valet.

Sementara itu, Nor Faizatol berkata, pembuatan seni tekat ini memerlukan ketekunan dan kesabaran yang tinggi. Tempoh untuk menyiapkan setiap rekaan bergantung kepada saiz corak. Jika corak yang dimahukan itu ringkas, seni tekat boleh disiapkan dalam masa tiga hari.

“Kebanyakan beg tangan tekat yang ditawarkan Sakura Malaysia tidak terlalu besar. Jadi, setiap satu rekaan boleh disiapkan dalam tempoh dua hingga tiga hari. Kami menggunakan benang daripada Jepun dan Jerman untuk tekat emas serta perak manakala tekat hitam dibuat daripada benang songket.

“Untuk kain dasar, kami menggunakan kain baldu dua lapis yang lebih tebal,” katanya ketika dihubungi Kosmo!

Sumber: Kosmo! Online

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::