Extreme Team Building - Tadom Base Banting Selangor

“Eh, tak nak lah buat... tak confident...”

“Aduh, mana pernah aku main buai macam tarzan ni..."

“Eeee... perlu ke masuk dalam air berlumpur tu? Mana tahu ada lintah...”

Itu antara kebimbangan yang diluahkan oleh sekumpulan sembilan petugas media sebelum mencuba aktiviti lasak di Tadom Base di Kampung Orang Asli, Bukit Tadom, Banting Selangor pada pertengahan April lalu.

Namun, selepas berhempas pulas selama empat jam untuk menghabiskan kesemua 30 halangan tersebut, ternyata mereka dapat mengatasinya walaupun pada peringkat awal terasa mahu menyerah kalah.

Salah satu sebabnya ialah aktiviti itu mempunyai keseronokan tersendiri walaupun nampak sukar pada pandangan mata kasar.

Tadom Base merupakan tapak sukan lasak dan gelanggang yang sesuai untuk aktiviti ekstrem bagi mencabar serta membina keyakinan diri.

Terletak kira-kira 12 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Tadom Base direka dengan 30 halangan sukar.

Ia memerlukan peserta memanjat, menyusup dan bergayut demi memberikan pengalaman sukan lasak yang sebenar.

Tiga zon halangan

Selain aktiviti berkumpulan, Tadom Base juga sesuai untuk diadakan acara team building bagi syarikat yang ingin menambah keyakinan diri kepada para pekerja mereka yang memerlukan kerjasama berpasukan ketika menjalankan tugas.

Tadom Base dibahagikan kepada tiga zon iaitu hijau, merah dan biru.

Antara halangan yang ada di zon hijau termasuk hurdle’s run, tarzan swing, log traverse, tyre ladder, ascending wall, spider's web, monkey rack, rope traverse, swinging log traverse, chain wall dan commando crawl.

Zon merah pula mempunyai halangan double zip-line (flying fox) dan zon biru membolehkan peserta melakukan aktiviti water zorbing, stand-up paddle dan bamboo rafting.

Pihak pengurusan juga sedang membina beberapa lagi aktiviti di zon coklat yang dijangka siap pada Oktober nanti seperti menunggang all-terrain vehicle (ATV).

Untuk merasai sendiri pengalaman tersebut, sekumpulan sembilan pengamal media daripada pelbagai agensi telah diberi peluang untuk mencabar diri masing-masing bagi melepasi kesemua 30 halangan yang disifatkan sebagai cukup ekstrem.

Sebaik tiba, salah seorang kru teknikal di Tadom Base, Amirul Fadzlie Zulkefli, 24, atau lebih mesra dipanggil Angah memberikan taklimat ringkas sebelum melakukan senaman ringan untuk meregangkan otot.

Kami kemudiannya dibahagikan kepada dua kumpulan digelar Go Go Harimau dan Belasah Je bagi memudahkan penentuan juara.

“Penting bagi kita melakukan regangan sebelum melakukan aktiviti sukan lasak kerana ia dapat mengelakkan otot kita tercedera,” katanya ringkas.

Selepas kira-kira 15 minit, maka aktiviti sukan lasak petugas media bermula dengan berusaha melepasi halangan di hurdle's run. Di sini, peserta dikehendaki memanjat halangan yang disediakan iaitu susunan kayu dan dinding setinggi dada lelaki dewasa.

Sebaik selesai, halangan kedua pula menunggu iaitu abseiling yang memerlukan kepakaran tersendiri untuk menuruni curam setinggi kira-kira 10 meter menggunakan tali tanpa diikat pada pinggang.

Peserta hanya perlu memegang tali yang telah disimpul dengan beberapa simpulan dan memijak pada permukaan curam dengan tepat untuk sampai ke bawah dengan selamat.

Pada mulanya, ada dalam kalangan peserta yang mengaku kalah sebelum mencubanya namun, setelah diberi perangsang oleh rakan-rakan lain, mereka berjaya juga melakukannya walaupun ada yang terjatuh hingga tersembam muka di atas tanah ketika mencuba halangan tarzan swing.

Walaupun ada beberapa halangan yang terpaksa diabaikan kerana susah dan kepenatan. Pencapaian petugas media kali ini boleh dibanggakan terutama selaku pihak yang tidak 100 peratus berkecimpung dalam dunia sukan lasak.

Lebih 20 daripada 30 halangan di Tadom Base dapat diatasi atas semangat persahabatan dan kerjasama berkumpulan.

“Tapak sukan lasak ini dijangka siap sepenuhnya pada bulan Oktober depan dan kami akan membina lebih banyak halangan, calet serta kafe buluh terapung di atas tasik yang ada di sini.

“Tapak ini dibuka secara rasmi pada 21 Mac lalu dan kami lebih menggalakkan orang dewasa untuk menyertai aktiviti di sini bagi melakukan team building.

“Tahap kesihatan juga diambil kira sebelum melakukan aktiviti dan penghidap asma dilarang sama sekali menyertainya. Mereka yang cedera selama tiga bulan sebelum datang ke sini juga tidak digalakkan melakukan aktiviti lasak,” kata Angah ketika ditemu bual selepas petugas media selesai melakukan aktiviti flying fox sejauh 300 meter.

Kerjasama berpasukan

Tambah Angah, selain dia, terdapat empat lagi kru teknikal dan dua ketua yang akan mengawasi serta membimbing peserta untuk melakukan aktiviti lasak.

Tadom Base juga menawarkan hadiah menarik bagi pertandingan Warrior Sprint 2015 yang diadakan pada 10 Mei lalu merangkumi larian sejauh 3 kilometer dan melepasi 30 halangan sukar dalam tempoh dua jam.

Pada akhir permainan, kami semua bersatu untuk mengangkat roda traktor anggaran berat lebih 300 kilogram. Pada ketika itu, dua kumpulan yang dibentuk pada awalnya iaitu Go Go Harimau dan Belasah Je bersatu tenaga untuk mengangkatnya.

Sumber: Kosmo! Online

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::