100% Bahan Makanan Organik di Restoran Elsa

Perancis begitu terkenal dengan sajian hidangan yang bertaraf dunia sehingga banyak restoran di negara tersebut mengiktirafkan penggunaan bio atau organik.

Namun, hanya sebuah restoran yang layak diberi gelaran iaitu Restoran Elsa. Restoran yang dianugerahkan satu bintang oleh Michelin kendalian cef Paolo Sari.

Sari yang merupakan warga Itali itu memberitahu, restoran yang mempunyai 40 tempat duduk itu juga memastikan bahawa sajian hidangan Mediterranean iaitu gabungan masakan Perancis dan Itali itu menggunakan bahan-bahan organik daripada pembekal tempatan.

Makanan-makanan seperti sayur asparagus diperoleh dari petani di Provence, safron dari perkampungan di Nice, makanan laut (nelayan tempatan) dan buah badam (Sicily).

Disebabkan Sari mempraktikkan 100 peratus bahan organik, daging-daging lembu terkecuali daripada menu masakannya kerana dia tidak menjumpai penternak tempatan yang terdekat.

“Setiap ramuan, pembekal dan penghantar memerlukan sijil pengesahan yang sah,” kata Sari.

Sari mementingkan struktur organisasi seperti merekodkan semua ramuan yang digunakan dalam masakan dan hidangan yang dihidangkan kepada pelanggan.

“Pegawai pemeriksa akan datang pada bila-bila masa. Jadi, kita perlu bersedia,” ujarnya.

Dalam pada itu, strategi menggunakan bahan-bahan organik membuahkan hasil apabila restoran yang diberikan nama Elsa itu mendapat bintang Michelin pada tahun lalu.

“Selepas bertungkus-lumus mencari bahan organik, saya dapat menghasilkan hidangan yang sempurna.

“Biar makanan saya menjadi bintang pada setiap hidangan kepada pelanggan,” ujarnya.

Mengekalkan konsep organik bukanlah mudah kerana bahan yang diperoleh daripada pembekal adalah 20 peratus lebih tinggi berbanding bahan bukan organik.

“Pada mulanya, memang bahan organik sangat mahal kerana kekurangan pembekal.

“Namun, kini bilangan pembekal semakin bertambah dan pilihan bahan juga semakin luas,” kata Pengarah Pantai Monte Carlo di Monaco, Daniele Gercelon.

Bahan segar

Di samping itu, Gercelon sedang mencari jalan untuk melaksanakan penggunaan konsep organik pada semua tempat makan di sekitar Pantai Monte Carlo.

Restoran Elsa tidak beroperasi pada musim sejuk iaitu dari bulan Oktober hingga Mac. Disebabkan itu, Sari mencari bahan-bahan segar untuk masakan terutamanya pada musim panas, luruh dan bunga.

Selain itu, Sari juga mempunyai ladang kecil seluas 3 hektar di Roquebrune-Cap-Martin iaitu sebuah perkampungan antara Monaco dan Menton. Terdapat lagi satu ladang seluas 2 hektar di San Remo yang hanya 20 kilometer di sempadan Itali.

Sari mempunyai pengalaman bekerja restoran di Jepun, Korea Selatan, China, Switzerland, London, New York, Los Angeles, Moscow dan Venice.

Dia lebih menggemari masakan Asia kerana konsepnya sederhana, sekali gus menggunakan teknik tersebut dalam masakannya.

Salah satu hidangan kegemarannya ialah sajian asparagus bersama trufel hitam di atas beberapa kentang panas. Trufel merupakan sejenis kulat yang boleh dimakan dan sering dihidangkan dalam salad.

Selain itu, Sari juga gemar memasak risoto yang dimasak dengan tulang sumsum dan tulang daging kambing disaluti madu akasia dan sayur saderi.

Pelanggan juga diberi pilihan sajian pencuci mulut antaranya, creme brulee tatin tart dan mini crepe Suzette bersama buah pir yang disaluti karamel atau pastri Saint-Honore bersama kek tiramisu.

Sumber: Kosmo! Online

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::