Kolagen Rumpai Laut

Sama seperti remaja perempuan lain, Noor Aini Hishamudin, juga tidak terkecuali ingin kelihatan cantik dan begitu menitikberatkan penampilan.

Pada usia belasan tahun, dia sudah mencuba pelbagai produk kecantikan untuk memastikan kulitnya kelihatan lebih menawan.

Pada masa itu, dia merasakan kulit wajahnya agak kusam. Noor Aini, 37, mengakui, pada mulanya dia tidak mengetahui kelebihan setiap produk sehingga pada suatu hari dia terlihat iklan mengenai kolagen yang digunakan oleh sebahagian besar golongan selebriti dan wanita-wanita cantik.

Seminggu selepas menggunakan kolagen, Noor Aini melihat perubahan yang ketara pada kulit wajahnya. Selepas sembilan tahun mengamalkan kolagen, ternyata impiannya untuk memiliki kulit wajah yang mulus, cerah dan gebu membuahkan hasil.

“Saya amat berpuas hati dengan pengambilan minuman dan krim kolagen,” kata pengguna dan usahawan kolagen yang berasal dari Batu Pahat, Johor ini.

Kolagen ialah sejenis protein yang terkandung dalam semua hidupan. Tubuh manusia mempunyai 50 peratus kolagen di beberapa bahagian seperti kulit, tulang dan gigi.

Kandungan kolagen dalam badan akan berkurang mengikut peredaran usia dan menyebabkan kulit berkedut serta rambut mulai gugur. Pengamal perubatan menggunakan kolagen daripada lembu untuk merawat mereka yang cedera akibat melecur dan pelbagai jenis luka lain meskipun pesakit kemungkinan berdepan dengan risiko penolakan tisu ekoran pemindahan silang-spesies.

Ibu kepada tiga anak ini memberitahu, sebelum mengambil kolagen, dia telah membuat kajian melalui bacaan dan nasihat doktor.

Menurut Noor Aini, setelah mengetahui kelebihan kolagen, dia tidak mahu melepaskan peluang untuk mencuba produk berasaskan kolagen kerana ingin kekal menawan dan awet muda.

Setiap hari dia akan mengamalkan secawan minuman berkolagen pada waktu pagi dan malam serta menyapu krim muka berkolagen untuk mendapatkan kesan yang lebih baik.

Pengguna tegar

Sebagai pengguna tegar kolagen, Noor Aini yang mengandung lima bulan tetap berhati-hati untuk mengambil kolagen ketika hamil.

“Saya akan berhenti mengambil kolagen ketika hamil kerana bimbang akan memudaratkan bayi dalam kandungan.

“Saya hanya mengamalkan kembali minuman berkolagen selepas bayi berhenti menyusu badan,” jelasnya.

Sementara itu, seorang lagi pengguna kolagen, Rashila Ab. Rashid, 24, yang berasal dari Tapah, Perak memberitahu, dia mengamalkan minuman kolagen sejak dua tahun lalu.

Rashila yang bakal melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi turut mengakui bahawa tujuannya mengambil kolagen untuk kelihatan berseri pada hari bahagianya pada bulan Ogos nanti.

“Saya mula tertarik untuk mengambil kolagen apabila kawan-kawan termasuk ibu mengamalkan pemakanan tersebut dan hasilnya mengagumkan.

“Saya sangat berpuas hati dengan kolagen kerana selepas mencubanya secara konsisten, saya mendapati kulit saya semakin cantik dan halus. Jerawat dan kesan parut juga mula hilang sedikit demi sedikit,” katanya yang mengambil minuman berkolagen perisa koko dua kali sehari.

Permintaan yang tinggi terhadap kolagen telah melahirkan ramai usahawan produk kecantikan seperti cendawan tumbuh selepas hujan.

Seorang peniaga kolagen Julara Zahid, 33, yang telah menjalankan perniagaan itu selama lima tahun, mengakui bahawa ramai wanita kini beralih kepada penggunaan kolagen berbanding menjalani prosedur menyakitkan untuk mendapatkan kulit lebih anjal dan cantik.

Ekoran promosi dalam pelbagai cara berserta testimoni yang meyakinkan menyebabkan produk kecantikan berasaskan kolagen mendapat sambutan yang hangat daripada pengguna.

Perniagaan Julara kini semakin berkembang dan mendapat permintaan yang tinggi daripada kaum wanita. Produk yang paling laris ialah jus minuman kolagen yang mempunyai pelbagai perisa mengikut cita rasa pengguna. Ia boleh diminum ketika haid atau mengandung.

Respons positif

Dalam masa sebulan, dia mampu menjual lebih 2,000 botol minuman berkolagen pada harga serendah RM39.90 yang mampu dibeli oleh pelbagai golongan.

“Ramai yang menggunakan kolagen mengakui kulit mereka lebih lembab dan anjal. Masalah rambut gugur dan tumit merekah juga semakin berkurangan. Kebanyakan pelanggan memberi respons positif dan menjadi pelanggan tetap setiap bulan.

“Kebanyakan pembeli produk saya terdiri daripada golongan belia dan suri rumah yang menyedari tentang kepentingan menjaga kecantikan,” katanya.

Tambahnya, penggunaan kolagen daripada sumber haiwan seperti ikan tidak digalakkan kerana terdapat sebahagian pengguna alahan terhadap bahan tersebut. Alahan kolagen daripada sumber haiwan boleh menyebabkan kulit menjadi gatal dan berjerawat.

Sehubungan itu, Julara memilih sumber kolagen daripada tumbuh-tumbuhan sebagai bahan utama di dalam produk kecantikannya di samping bahan-bahan tambahan lain yang diolah menggunakan resipi kecantikannya sendiri.

Selepas umur 25 tahun, tubuh manusia akan melalui proses degenerasi akibat penuaan, tulang-tulang mula kehilangan kalsium, otot kian lemah dan perubahan terhadap tekstur kulit.

Pada umur melebihi 35 tahun, tanda-tanda penuaan mula kelihatan misalnya kelenjar peluh dan liang pori tersumbat, sekali gus menyebabkan kedutan. Situasi ini berlaku disebabkan jumlah elastin dan kolagen dalam kulit semakin berkurangan.

Kehadiran radikal bebas seperti toksin dan enzim kolagenase akan membantu memusnahkan serat protein sehingga menyebabkan pengurangan jumlah elemen mikro dan vitamin-vitamin penting dalam membentuk kolagen, fibroblas dan kondrosit. Ini menyebabkan penghasilan kolagen secara semula jadi semakin berkurangan.

Sekumpulan penyelidik di Universiti Wisconsin-Madison telah berjaya menghasilkan kolagen yang paling kuat sebagai alternatif yang baik digunakan oleh manusia. Ia juga boleh digunakan untuk merawat penyakit artritis dan tanda-tanda lain yang muncul disebabkan kurangnya kolagen.

“Ia merupakan kolagen yang paling stabil pernah dihasilkan setakat ini,” ujar Ron Raines, profesor yang mengetuai kajian kimia dan biokimia di Universiti Wisconsin-Madison.

Tidak memudaratkan

Sementara itu, Pakar Perunding Syariah Telaga Biru, Ustaz Fauwaz Fadzil berkata, wanita disunatkan menjaga penampilan diri agar kelihatan kemas dan ia wajib sekiranya suami meminta untuk kelihatan cantik.

“Para wanita dinasihatkan supaya tidak terlalu obses untuk kelihatan cantik sehingga memudaratkan diri dan melakukan pembaziran dengan membeli produk-produk kecantikan yang mahal. Bahkan, mereka ditegah sama sekali mengubah ciptaan Allah.

“Islam menganjurkan supaya wanita menjaga akhlaknya kerana itu adalah kecantikan sebenar seorang wanita,” jelasnya yang tidak menghalang wanita untuk cantik tetapi jangan sampai melakukan apa yang dilarang dalam Islam.

Tambahnya, kesihatan tubuh badan juga perlu diutamakan agar dapat menjalani hidup dengan ceria.

Mengulas lanjut mengenai kegilaan wanita terhadap penggunaan produk kecantikan berasaskan kolagen pada masa kini, beliau berpendapat produk tersebut boleh diambil jika sumbernya halal dan tidak memudaratkan.

Sehubungan itu, wanita dinasihatkan mengamalkan gaya hidup sihat dan menjaga pemakanan kerana langkah ini lebih efektif serta selamat.

Sumber: Kosmo! Online

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::