Proses Pindah Milik Hartanah

Pindah milik hartanah atau lebih dikenali sebagai tukar nama seringkali dianggap sebagai satu proses sukar dan remeh bagi kebanyakan individu di negara ini.

Persepsi itu membuatkan perkara terbabit dipandang ringan oleh pemilik rumah dan tanah sehingga kebanyakan daripada mereka mengabaikannya dalam tempoh masa lama.

Proses pindah milik ini adalah satu perkara yang penting kerana ia akan berlaku kepada kita secara langsung dan tidak langsung kerana apabila individu membeli tanah atau rumah maka ia pasti membabitkan urusan pindah milik tidak kira daripada pemaju kepada pembeli rumah atau pemilik sedia ada kepada pemilik baru.

Pertukaran atau pindah milik tanah perlu dilakukan kerana hak milik atau geran boleh diibaratkan sebagai kad pengenalan hartanah dengan penama yang tercatat dalam geran terbabit adalah pemilik hartanah itu meskipun bayaran dilakukan atau atau hartanah itu diusahakan individu lain.

Tindakan tidak melakukan pindah milik tidak mendatangkan masalah, namun jika ia tidak diberi perhatian maka terjadilah seperti kisah berprofil tinggi yang terjadi di Pulau Pinang dua dekad lalu.

Kejadian itu menyaksikan sebidang tanah milik individu bernama Boonsom Boonyanit dirampas syarikat pemaju, Adona Properties.

Secara amnya, proses pindah milik tanah atau rumah daripada pemilik berdaftar ke atas hak milik kepada pihak seterusnya adalah satu proses yang membabitkan banyak pihak seperti peguam, penilai hartanah, pejabat duti setem dan pejabat tanah dengan urusan bergantung kepada situasi masing-masing.

Proses pindah milik ini perlu diberi perhatian kerana ia membolehkan nama pembeli didaftarkan di atas surat hak milik yang menunjukkan mereka adalah pemilik sah atas harta terbabit sekali gus membolehkan pembeli melakukan urusan jual beli, gadaian dan juga urusan pindah milik kepada waris mereka seperti yang terkandung dalam undang-undang.

Selain itu, ia akan memudahkan pemilik untuk berurusan dengan bank bagi membuat pinjaman semula sekali gus mampu membolehkan pembeli menggunakan sejumlah pinjaman untuk kegunaan lain.

Sumber: myMetro

INFO:

PROSES MANUAL PEMBANGUNAN TANAH

Penafian : Panduan ini disediakan secara umum untuk panduan asas bagi permohonan-permohonan urusan di Pejabat Tanah dan Daerah. Panduan-panduan proses yang dimuatkan di Laman Web ini mungkin berbeza daripada peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh negeri.

MAKLUMAT AM:-

Pindahmilik adalah satu proses untuk menukar nama pemilik berdaftar di dalam suratan hakmilik.

Proses pindahmilik boleh terus dilakukan bagi hakmilik yang tiada sekatan kepentingan atau batasan (kaveat), tetapi bagi hakmilik yang mempunyai sekatan kepentingan atau batasan, kebenaran daripada pihak berkenaan perlu diperolehi terlebih dahulu.

KEPADA SIAPA BOLEH DIPINDAHMILIK:-

- Warganegara yang berumur 18 tahun ke atas.

- Bukan warganegara dan syarikat-syarikat asing dengan kelulusan Pihak Berkuasa Negeri (PBN).

- Perbadanan yang dibenarkan oleh perlembagaan nya untuk memegang tanah.

- Raja raja Pemerintah , Kerajaan , Organisasi dan lain - lain orang yang diberi kuasa untuk memegang tanah di bawah peruntukan Ordinan Keistimewaan Diplomatik dan Konsular 1957.

- Badan-Badan yang diberi kuasa secara nyata untuk memegang tanah di bawah mana - mana undang-undang bertulis lain.

SEKATAN ATAU BATASAN KEPADA PINDAHMILIK:-

Mana-mana tanah yang mempunyai sekatan kepentingan, surat kebenaran pindahmilik perlu diperolehi daripada PBN

- Kaveat: perlu mendapatkan pelepasan/kebenaran daripada pengkaveat.

- Gadaian: perlu mendapatkan kebenaran dari pemegang gadaian.

- Pajakan: perlu mendapatkan kebenaran dari pemegang pajakan.

- Tanah Pertanian kurang daripada 2/5 hektar (1 ekar)

- Tanah Ladang (Lebih 40 hektar atau 100 ekar): perlu mendapatkan kebenaran Lembaga Tanah Ladang

- Warganegara asing/ syarikat asing: perlu mendapatkan kebenaran PBN.

PENYAKSIAN:-

Penyaksian kepada pemberi dan penerima pindahmilik adalah seperti di Jadual Kelima KTN antaranya:

- Pendaftar / Pentadbir Tanah.
- Peguam
- Notari Awam

* Hanya Pendaftar / Pentadbir Tanah yang boleh membuat penyaksian bagi Tanah Rezab Melayu.

ONE PIECE FLOW (NORMA MASA):-

- Pendaftaran pindahmilik boleh diselesaikan dalam tempoh satu (1) hari bekerja sekiranya semua dokumen berkaitan adalah lengkap dan sempurna untuk didaftarkan.

Sumber: Web Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::