Masakan Nyonya Kafe Fat Spoon

Mengenang kembali waktu kanak-kanak memang menyenangkan. Apatah lagi jika ia boleh dizahirkan menerusi pengalaman masa kini. Sekiranya anda rindukan momen istimewa itu, apa kata anda berkunjung ke kafe Fat Spoon.

Beroperasi di kawasan sibuk di Damansara Utama, Petaling Jaya, Selangor, kafe dengan kapasiti maksimum 80 orang itu bagai sebuah rumah pusaka di kampung yang masih terpelihara nilai sentimentalnya.

Pintu masuk yang diubah suai daripada kayu usang memberi impresi positif pertama buat pengunjung. Ruang dalaman kemudiannya menjemput damai, ibarat berada di rumah sendiri.

Penggunaan dekorasi klasik seperti almari dan perkakas lama termasuk pemilihan perabot Fat Spoon menciptakan ambien kampung yang mengagumkan.

Meja dan kerusinya juga dicampur aduk secara kreatif tanpa keseragaman bentuk, warna dan material agar suasana semula jadi dapat dihidupkan.

Pemilik bersama kafe yang dibuka sejak Ogos 2010 itu, Melissa Pong, 25, menceritakan almari lama yang diletakkan di Fat Spoon diambil dari rumah kampung neneknya di Perak.

Begitu juga resipi yang diterapkan Fat Spoon. Majoriti sajiannya diinspirasikan daripada masakan di rumah dan mempunyai nilai tradisi yang tinggi. Setiap hidangan tradisional itu diolah selari selera moden untuk diterapkan ke dalam konsep restoran.

Juadah tradisional nyonya seperti nasi perut ikan antara signatur di sini. Menu ini menggunakan sekurang-kurangnya enam hingga tujuh jenis sayur. Namun, ia hanya digemari sesetengah individu.

“Sup makaroni daging pedas kami pula disediakan dengan campuran rasa tradisional dan moden kerana mahu menepati selera orang Asia Tenggara,” jelas Melissa.

Nasi goreng ulam dan mi lou shu fun juga termasuk dalam sajian popular di Fat Spoon. Golongan lelaki pula lebih tertarik kepada nasi daging moo moo yang mampu memberi kekenyangan sekadar perlu.

Kuantiti setiap pinggan di kafe yang dibuka ibu dan kakak Melissa itu boleh dikategorikan sebagai standard. Ia tidak terlalu besar namun mencukupi untuk mengisi perut seorang perempuan.

Variasi pencuci mulut seperti popia cempedak pasti menambat selera kampung anda. Selain itu, jangan lupa untuk mencuba puding sago bersama aiskrim gula Melaka The Polka dan kek buatan sendiri kafe tersebut.

Setiap Selasa hingga Khamis, set makan tengah hari ditawarkan bermula pukul 11.30 pagi hingga 3 petang. Ia akan dibuka semula pada pukul 5 petang hingga 10 malam untuk makan malam.

Bagaimanapun, pada Jumaat hingga Ahad, operasinya berlanjutan dari pukul 11.30 pagi hingga 10 malam dan ditutup pada Isnin.

Sumber: Kosmo! Online

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::