Sajian Korea di Sweetree Ampang |
Satu pengalaman yang berbeza dirasakan apabila pertama kali memasuki ruang restoran sajian Korea, Sweetree yang terletak di Taman Putra Sulaiman, Ampang, Kuala Lumpur ini.
Bunyi hiruk-pikuk kenderaan yang melalui jalan di hadapan premis yang terletak berdekatan persimpangan lampu isyarat itu seolah-olah lenyap sebaik sahaja masuk ke situ.
Perasaan yang kusut akibat mengharungi kesesakan lalu lintas tadi bagaikan hilang apabila melihat sebatang replika pokok besar yang merimbun di tingkat bawah kedai tersebut.
“Pokok ini menggambarkan Malaysia yang kaya dengan khazanah hutan.
“Negara ini terkenal dengan hutan hujan tropikanya. Sebab itulah saya ingin gambarkan elemen tersebut di dalam restoran ini,” tutur Park Kyung-kyoo, 47, pengurus Sweetree.
Semula jadi
Bukan itu sahaja, setiap perincian ruang kedai dua tingkat yang mempunyai keluasan tapak 112 meter persegi ini memiliki nilai estetikanya sendiri.
Ia dapat dilihat menerusi suntikan elemen laut di bahagian lantai kedai tersebut. Sekali pandang ia hanyalah seperti lantai simen polos. Namun, sebenarnya terdapat lukisan cat dengan unsur hidupan laut seperti ikan yang menemani setiap langkah pengunjung.
“Sebahagian lukisan ini diwarnakan sendiri oleh pelajar sekolah rendah yang saya jemput,” ujarnya yang mengusahakan restoran tersebut sejak tiga tahun lalu.
Malah, lebih unik ukiran daun di bahagian dinding merupakan seni tekap daun semula jadi.
“Kami telah mengumpulkan beberapa jenis daun pokok yang tumbuh di negara ini.
“Sewaktu proses menyimen dinding, kami tekapkan sekali daun pokok tersebut untuk meninggalkan kesan urat daun berkenaan,” ujar Jin Hey-jin, 45, yang menjalankan perusahaan tersebut bersama suaminya itu.
Katanya, penggunaan daun asli dapat memberikan impak yang lebih unik.
Menyentuh mengenai susunan perabot, kedai yang boleh menempatkan kira-kira 70 pelanggan pada satu-satu masa ini menggunakan gabungan unsur perabot kayu dan meja batu sebagai meja makan.
Selain ruang makan terbuka, terdapat juga tiga buah bilik yang menempatkan ruang makan khas bagi mereka yang inginkan privasi. Setiap bilik tersebut boleh memuatkan sehingga 10 orang.
Tingkat atas premis tersebut turut menyediakan ruang istirahat. Pengunjung boleh memilih untuk duduk di kerusi sofa ataupun kerusi buaian kayu yang diletakkan berdekatan dengan tangga.
Zon rehat itu dilengkapkan lagi dengan koleksi bahan bacaan ringan seperti majalah yang disusun di rak kayu bersebelahan tangga.
Sesuai dengan konsep restoran Korea, pasangan suami isteri ini cuba mengetengahkan budaya dan elemen yang dikaitkan dengan negara asalnya itu.
Ia banyak diterjemahkan menerusi pameran koleksi barangan peribadi milik mereka seperti pakaian dan alat muzik tradisional Korea.
Budaya Korea
“Saya cuba selitkan budaya Korea seperti alat muzik Janggu dan pakaian Hanbok ini untuk diperkenalkan kepada rakyat Malaysia,” ujarnya yang akan bertutur dalam bahasa Korea ketika mengucapkan selamat datang kepada pelanggan yang bertandang ke restoran tersebut.
Selain daripada itu, pasangan ini juga kreatif apabila kebanyakan barangan hiasan diperbuat daripada barangan terpakai.
“Lihat replika menara KLCC ini, ia diperbuat daripada cawan polisterin yang disalut dengan serbuk kopi,” ujarnya.
Dari aspek pencahayaan pula, restoran ini dihiasi simbahan lampu kuning bagi mewujudkan suasana yang lebih eksklusif.
Sudah pasti rekaan dalaman berunsurkan alam semula jadi ini membuatkan pengunjung berasa tenang.
Apatah lagi ketika menikmati juadah, pengunjung didendangkan dengan alunan muzik lagu-lagu Korea.
“Bukan mudah untuk menyuruh pelanggan masuk ke dalam kedai. Jadi, hiasan seperti ini diharap dapat menarik orang ramai ke sini,” cerita Kyung-kyoo yang berhabis lebih kurang RM100,000 bagi membangunkan seni rekaan dalaman yang diilhamkan sendiri ini.
Sumber: Kosmo!