Portal Perkahwinan iKahwin |
Setiap wanita mengidamkan satu majlis perkahwinan yang lancar dan meriah dengan menyarungkan busana anggun sari sang pereka, pelamin dihias indah dengan kuntuman bunga segar dan disempurnakan dengan kehadiran tetamu yang dijamu santapan menyelerakan.
Kesemua persiapan bagi hari bersejarah itu perlu dilakukan secara teliti kerana kelalaian kecil mungkin mampu mencacatkan kelangsungan majlis idaman tersebut.
Bayangkan, beberapa jam sebelum acara bersanding diadakan, pengantin dikejutkan dengan berita perkhidmatan katering terlupa ditempah. Pasti kalut jadinya.
Jika dahulu, segala persediaan tersebut dilakukan secara gotong-royong bersama ahli keluarga dan bantuan jiran tetangga, namun situasi berbeza pada hari ini ekoran kekangan masa dan lokasi bersesuaian yang terhad, khususnya di kawasan-kawasan bandar.
Disebabkan itu, agak sukar bagi bakal pengantin melakukan sendiri segala persiapan. Malah, ada antara keperluan pada hari bersejarah itu perlu dilakukan sekurang-kurangnya dalam tempoh setahun lebih awal seperti tempahan dewan majlis.
“Perkara paling kritikal untuk ditempah adalah dewan besar untuk majlis persandingan. Saya mengambil masa yang lama untuk mencari lokasi yang sesuai,” ujar bakal pengantin, Nuratieqah Muhammad, 22, yang akan melangsungkan perkahwinan pada Mac tahun depan.
Dia menambah, segala persiapan perlu dilakukan awal bagi mengelakkan tidak mendapat lokasi atau khidmat katering yang dimahukan.
Maklumat lengkap
Selaras dengan kemajuan teknologi hari ini, kebanyakan bakal pengantin mengambil jalan mudah dengan mencari maklumat di laman web dan sosial memandangkan penggiat industri perkahwinan menggunakan internet sebagai salah satu medium promosi.
“Tidak dinafikan, penggunaan internet memudahkan saya dalam persiapan perkahwinan. Sebagai contoh, dalam laman Facebook terdapat banyak akaun yang diwujudkan oleh jurusolek, syarikat katering, pengusaha butik dan perkara-perkara lain yang berkaitan,” ujar Nuratieqah.
Kesedaran terhadap kepentingan teknologi maklumat masa kini telah memberi idea kepada Azmierul Che Mat, 22, untuk mewujudkan satu laman web yang membantu pasangan pengantin membuat persiapan majlis berkahwinan mereka iaitu iKahwin.my.
Laman web itu mengumpulkan semua kategori penting sesuatu majlis perkahwinan secara percuma kepada pengunjung.
“Jika sebelum ini pasangan pengantin perlu mencari satu per satu maklumat perniagaan berkaitan di laman web atau sosial berbeza tetapi menerusi iKahwin.my, kesemua maklumat tersedia dalam satu portal,” ujar Azmierul ketika ditemui Infiniti baru- baru ini.
Portal iKahwin.my memberikan maklumat terperinci kepada pengguna, terutamanya dari segi harga pakej-pakej yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat berkaitan.
“Melalui senarai harga-harga yang terdapat dalam portal ini, pengguna dapat melakukan perbandingan sebelum melakukan tempahan. Ini dapat membantu mereka menguruskan perbelanjaan bagi majlis tersebut dengan lebih baik,” katanya.
Demi terus menarik perhatian pengguna, portal tersebut turut menyediakan satu blog khas dalam pautan laman utama yang berkongsi pelbagai maklumat berguna kepada bakal pengantin seperti petua dan nasihat rumah tangga daripada pakar-pakar motivasi.
“Terdapat juga pautan yang memberikan panduan perbelanjaan perkahwinan. Ia turut disertakan kalkulator elektronik bagi memudahkan bakal pengantin mengatur perbelanjaan mereka,” jelas Pengarang Urusan iKahwin.my, Charmaine Nash.
Tambahnya, kalkulator elektronik itu direka khas dengan senarai semak keperluan yang wajib dalam sesebuah perkahwinan. Bakal pengantin hanya perlu memasukkan amaun yang ditetapkan dan kalkulator itu akan menjumlahkan semua perbelanjaan terlibat.
Kesahihan maklumat
Bagi pengiklan di iKahwin.my, mereka diberikan platform perniagaan yang lebih meluas. Ia berikutan daripada permintaan pengguna muda yang mencari maklumat menerusi laman web.
“Kebanyakan bakal pengantin adalah dalam lingkungan usia 20-an yang aktif dalam penggunaan internet. Disebabkan itu, penggiat industri perkahwinan perlu mengambil peluang ini, khususnya bagi individu atau syarikat-syarikat baharu,” kata Azmierul.
Bagi memastikan pengguna mendapatkan maklumat tepat, pihak pengurusan pemasaran iKahwin.my akan bertemu sendiri para pengiklan.
“Kami akan meminta mereka untuk memberikan maklumat tepat seperti alamat lengkap, nombor telefon dan pautan laman sosial, Facebook atau laman web rasmi,” jelasnya.
Selain itu, harga-harga bagi setiap pakej juga perlu disertakan bagi memudahkan pengguna membuat perancangan perbelanjaan perkahwinan mereka.
“Namun, terdapat pengiklan yang tidak mahu berkongsi harga bagi pakej-pakej tersebut tetapi kami menasihatkan mereka untuk meletakkan anggaran kos sebagai rujukan pengguna,” katanya.
Setiap pengiklan juga perlu menyediakan sekurang-kurangnya lima keping gambar berkualiti. Jika tiada gambar tersebut, pihak penyedia portal akan membantu menyediakan foto-foto menarik kepada mereka.
“Ia menjadi kemestian dalam portal kami memandangkan terdapat pengiklan yang tidak mempunyai foto berkualiti. Ia menyulitkan pengguna untuk mendapat gambaran awal perkhidmatan yang diberikan pengiklan,” jelasnya.
Selain mengambil foto, pihak portal juga membantu pengiklan dalam membuat laman sosial atau web mengikut keperluan pakej.
Sejak diwujudkan pada Januari 2013, iKahwin.my mempunyai lebih 500 pengiklan dan bakal meningkat dua kali ganda pada tahun depan berdasarkan peningkatan trafik pengunjung setiap bulan.
“Lima bulan sebelum ini, kami hanya menerima sekitar 100 sehingga 200 kunjungan sahaja. Sekarang, jumlah trafik meningkat kepada 15,000 sebulan,” jelas Azmierul.
Rancangan
Setakat ini, kebanyakan pengiklan adalah sekitar Lembah Klang tetapi terdapat juga pengusaha dari Kedah dan Johor.
Perkembangan positif tersebut memberi peluang kepada iKahwin.my untuk mencari pengiklan dari seluruh Malaysia.
“Selain itu, kami bercadang untuk menerbitkan majalah dalam talian yang memberi fokus kepada dunia perkahwinan. Intipati majalah itu dapat dijadikan panduan kepada pengguna tanpa perlu membeli naskhah dalam bentuk salinan keras,” katanya dengan penuh optimis.
Dalam masa terdekat, ujarnya, iKahwin.my merancang untuk mengadakan festival perkahwinan di lokasi-lokasi strategik yang bakal disertai oleh pengiklan-pengiklan portal tersebut.
Sumber: Kosmo!