Kad Ucapan Braille

Jari-jemari halusnya meraba-raba titik-titik kecil yang timbul di permukaan kad yang dipegang. Perlahan-lahan dia cuba memahami ucapan yang disampaikan oleh pengirim dalam bentuk yang sangat dihargainya iaitu tulisan Braille.

Sebuah senyuman manis dilemparkan Siti Huraizah Ruslan, 30, yang hilang deria penglihatannya sejak zaman kanak-kanak.

Siti Huraizah disahkan oleh doktor mengalami trakoma ataupun jangkitan bakteria pada kedua-dua belah matanya ketika berusia tujuh tahun.

Bagaimanapun, dia masih boleh melihat warna-warna terang dalam keadaan yang samar-samar.
Menurutnya, kad ucapan Braille yang diterima sangat istimewa bagi dirinya kerana itulah pertama kali dia menerima kad seumpamanya.

"Sebelum ini, saya dan rakan-rakan lain yang senasib akan mencetak sendiri kad Braille apabila menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri atau ulang tahun kelahiran. Namun, ia tidaklah secantik kad ini kerana kami hanya menggunakan kertas tebal biasa.

"Saya sangat terharu apabila ada pihak yang tidak melupakan golongan seperti saya dan sanggup bersusah payah menghasilkan kad ucapan dengan frasa yang sungguh bermakna," katanya ketika ditemui.

Anak sulung daripada empat beradik itu hanya mampu tersenyum dan berpuas hati dengan kad Braille yang dipegangnya sambil menambah dia sebenarnya seorang yang mementingkan nilai sentimental.

"Saya lebih menghargai ucapan dalam bentuk kad, berbanding khidmat pesanan ringkas (SMS) atau e-mel.

"Kad ini akan kekal dalam simpanan dan mudah untuk dicari, tetapi ucapan dalam bentuk SMS atau e-mel terpaksa dibuang apabila ruang mesej penuh," jelasnya ketika ditemui.

Kad yang dicetak Tang's Art di Kepong itu bukan sahaja menggembirakan hati Siti Huraizah, malah mereka yang normal.

Menurut Pengasas Tang's Art, Hung Huei Hua, kad Braille atau dot 2 dot itu telah dilancarkan tahun lalu sebagai antara inovasi syarikatnya dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua golongan masyarakat.

"Kad dot 2 dot ini boleh digunakan oleh sesiapa sahaja.

"Kepada mereka yang celik, kami turut melampirkan garis panduan mempelajari tulisan Braille. Jadi, kad ini bukan sahaja dapat mengembirakan hati insan yang teristimewa, malah ia adalah salah satu bentuk pendidikan yang boleh diaplikasikan oleh orang ramai," katanya.

Tambah beliau, kad tersebut juga merupakan salah satu program tanggungjawab sosial korporat yang dijalankan oleh syarikatnya.

"Lima peratus daripada keuntungan jualan kad ini akan didermakan kepada Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB).

Buka minda

Seorang guru Bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan Bangsar, Zulkarnain Ismail, 26, berkata, secara tidak langsung kad itu turut membantu membuka pemikiran rakyat Malaysia.

"Inilah pertama kali saya melihat kad untuk mereka yang cacat penglihatan.

"Selain menggembirakan mereka, ia turut mengandungi mesej yang sangat penting iaitu mewujudkan kesedaran tentang peluang dan ruang yang perlu diberikan kepada golongan ini," katanya.

Zulkarnain memberitahu, kad Braille tersebut juga sesuai dijadikan contoh terbaik untuk golongan belia terus menghasilkan produk-produk yang boleh dimanfaatkan oleh semua golongan.

"Mungkin selepas ini golongan Y boleh menciptakan botol air, kerusi atau apa-apa sahaja yang membantu melancarkan kehidupan seharian golongan istimewa ini," katanya ketika ditemui.

Mengulas mengenai kad ucapan Braille itu, Huei Hua berkata, pelbagai persiapan harus dilakukan sebelum mencetak kad tersebut.

"Kami telah meminta tunjuk ajar daripada pihak MAB untuk memastikan kad ini mencapai standard yang diperlukan.

"Antara perkara yang ditekankan ialah jarak antara titik-titik, ketebalan kertas dan dakwat yang digunakan.

"Dakwat berwarna yang digunakan pada kad ini juga diperbuat daripada bahan semula jadi. Ia sebagai langkah berjaga-jaga kemungkinan ada dakwat yang keluar dan melekat pada jari golongan istimewa ini," jelasnya.

Tang's Art menawarkan 16 jenis corak dengan frasa yang diilhamkan daripada mereka yang cacat penglihatan.

Antara kata-kata hikmah yang dicetak ialah "kehilangan cita-cita adalah lebih teruk daripada kehilangan deria penglihatan anda."

Ujar Huei Hua, sehingga kini, sebanyak 30,000 kad Braille telah dicetak dan diedarkan dalam pasaran tempatan.

"Kad ini telah dijual di 33 buah kedai buku dan hadiah di seluruh negara.

"Antaranya, di Art Workshop di Paradigm Mall, Petaling Jaya; Gemini Flower and Gift di Ampang, Selangor; Cecily's Fashion di Sandakan, Sabah; Book Etc di Shah Alam dan Constance Trading di Kuching, Sarawak. Kad ini dijual pada harga RM5.90 sekeping," katanya.

Pos Malaysia

Dalam pada itu, menurut Huei Hua, pihaknya akan menjalankan kerjasama dengan Pos Malaysia sebagai sebahagian daripada pengedar.

"Ia masih dalam perbincangan kami, namun secara lisan Pos Malaysia telah bersetuju untuk meletakkan kad Braille di cawangan utama mereka di 10 negeri di dalam negara.

"Selain kad ini, pembalut hadiah, kotak hadiah dan beg kertas menarik juga akan dijual bersama," katanya.

Bersama-sama untuk memajukan golongan orang cacat penglihatan, pihak MAB turut memberikan sokongan padu dengan mempromosikan kad tersebut.
Menurut Penolong Pengurus Bahagian Pendapatan Jualan MAB, Ramdas Nayar, pihaknya menyasarkan golongan siswa siswi di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

"Baru-baru ini kami berjaya menjual kira-kira 300 keping di Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU).

"Kami juga menerima sambutan menggalakkan daripada pelajar Universiti Putra Malaysia sempena majlis Hari OKU Peringkat Antarabangsa pada pada 3 Disember lalu," katanya.

Ramdas berkata, tanggungjawab mewujudkan komuniti yang saksama perlu dipupuk daripada barisan pelapis baharu di universiti.

"Di MAB, kami mempunyai alat-alat bantu seperti jam bercakap, pencetak elektronik Braille bercakap, pengukur suhu badan bercakap dan pengukur tekanan darah bercakap. Tetapi, kesemua barang-barang ini dibeli dari syarikat lain di luar negara.

"Jadi, ini antara bentuk pendedahan awal yang diberikan kepada bakal pemimpin negara ini bagi membentuk diri mereka supaya lebih berinovasi dalam menghasilkan produk-produk serta perkhidmatan yang dapat dimanfaatkan oleh semua golongan masyarakat," katanya.

Sumber: Kosmo!

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::