|
Kad Ucapan Braille |
Jari-jemari halusnya meraba-raba titik-titik kecil yang timbul di permukaan kad yang dipegang. Perlahan-lahan dia cuba memahami ucapan yang disampaikan oleh pengirim dalam bentuk yang sangat dihargainya iaitu tulisan Braille.
Sebuah senyuman manis dilemparkan Siti Huraizah Ruslan, 30, yang hilang deria penglihatannya sejak zaman kanak-kanak.
Siti Huraizah disahkan oleh doktor mengalami trakoma ataupun jangkitan bakteria pada kedua-dua belah matanya ketika berusia tujuh tahun.
Bagaimanapun, dia masih boleh melihat warna-warna terang dalam keadaan yang samar-samar.
Menurutnya, kad ucapan Braille yang diterima sangat istimewa bagi dirinya kerana itulah pertama kali dia menerima kad seumpamanya.



